#KitaJagaKita

Transgender Dan Kesihatan Reproduksi

transgender

Transgender dan Kesihatan Reproduksi

Lelaki dan wanita diciptakan oleh Allah berbeza dari sudut genotype dan phenotype. Perbezaan ini mempunyai hikmah yang tersendiri untuk memastikan kehidupan di atas muka bumi terjadi secara seimbang serta memastikan kelangsungan spesies manusia ini melalui proses pembiakan yang memerlukan kehadiran lelaki dan wanita.

Memahami asas perbezaan: genotype dan phenotype

Genotype atau genetik bermakna lelaki dan wanita berbeza dari sudut maklumat genetik yang dibawa. Seorang lelaki mempunyai kromosom 46XY dan seorang wanita mempunyai kromosom 46XX. Samada seorang itu ditakdirkan mempunyai genotype lelaki atau wanita bergantung kepada proses percantuman benih lelaki dan wanita samada benih wanita atau ovum disenyawakan oleh sperma yang membawa kromosom 23X atau sperma yang membawa kromosom 23Y.

Phenotype bermaksud perkembangan yang diserlahkan disebabkan oleh perbezaan genotype tersebut iaitu perkembangan fizikal dan organ reproduksi serta tingkah laku. Seorang yang mempunyai kromosom 46XY akan dilahirkan sebagai seorang lelaki yakni mempunyai organ reproduksi lelaki (testis dan penis) dan apabila mencapai kematangan reproduksi atau baligh organ ini merembeskan hormon lelaki iaitu tetosterone lalu terserlahlah ciri-ciri kelelakian seperti bentuh tubuh seperti lelaki, suara yang menjadi garau, perasaan dan sifat kelelakian.

Bagi wanita pula genotype 46XX akan menyebabkan pembentukan organ reproduksi dalaman wanita seperti (rahim dan ovari) dan organ reproduksi luaran wanita iaitu faraj dan apabila mencapai kematangan reproduksi atau puberti, organ reproduksi mulai merembeskan hormon wanita iaitu estrogen lalu terserlahlah ciri-ciri kewanitaan seperti perkembangan buah dada, kedatangan haid serta bentuk tubuh, suara dan lain-lain ciri kewanitaan.

Sesungguhnya Allah SWT telah menetapkan penciptaan manusia dalam Surah an Najmu:

[44]Dan bahawa sesungguhnya, Dia lah yang mematikan dan menghidupkan;

[45]Dan bahawa sesungguhnya, Dia lah yang menciptakan pasangan – lelaki dan perempuan.

MamBio_img039

Transgender

Transgender dilahirkan dengan mempunyai genetik dan phenotype yang normal tetapi dia merasakan seolah-olah terperangkap dalam diri yang berbeza jantina lalu melakukan pelbagai langkah untuk ‘membetulkan keadaan’ termasuk mengambil suntikan-suntikan hormon; misalnya bagi transgender lelaki mengambil hormon estrogen untuk membesarkan buah dada dan melakukan pembedahan untuk mendapatkan organ genitalia seperti wanita. Mereka telah diistilahkan mengalami apa yang dikenali sebagai “Gender Identity Disorder“.

transgender-morphing

I-Medik tidak menafikan bahawa setiap kita dilahirkan berbeza. Walaupun genetik dan “phenotype” lelaki, ada sebahagian lelaki lebih ‘macho’ sementara sebahagian yang lain lebih berjiwa sensitif dan berwatak lembut. Ini banyak dipengaruhi oleh persekitaran, pembesaran serta pendidikan anak-anak oleh ibubapa.

Perbezaan dari sifat lahiriah ini walaupun wujud tidak seharusnya dipupuk sehingga melahirkan tahap seseorang itu ingin hidup sebagai jantina yang lain. Ibu bapa seharusnya prihatin dengan kelainan seorang anak dan membimbingnya seandainya terlihat sebarang kelainan sejak kecil. Justeru, setiap anak lelaki harus diajar menjadi ‘jantan’ sejak kecil dan anak perempuan harus diajar dengan ciri-ciri perempuan sejak kecil lagi. Tindakan ibu bapa memakaikan pakaian perempuan pada anak lelaki atau sebaliknya adalah tidak wajar kerana dikhuatiri menyumbang terhadap permasalah identiti gender ini.

I-Medik juga tidak menolak sepenuhnya dengan istilah “Gender Identity Disorder” atau “Gender Dysphoria” yang telah diberikan melalui International Classification Disorder (ICD-10) ini kepada golongan transgender kerana dalam dunia psikologi atau kejiwaan banyak kecelaruan jiwa dan perasaan yang boleh timbul. Permasalahn jiwa seperti “Obsessive Compulsive Disorder”, “Anxiety Disorder”, ” Personality Disorder” dan lain-lain kecelaruan perasaan ini adalah bukan satu yang ditakdirkan terjadi tanpa ada proses untuk menyembuhkannya. Kebanyakan “disorder’ ini boleh dibantu dan boleh diperbetulkan dengan pelbagai teknik rawatan psikoterapi. Justeru saya merasakan bahawa isu transgender ini bukan perangkap tanpa jalan keluar. Ini terbukti dengan kehadiran beberapa bekas transgender yang telah kembali ke pangkal jalan dan seterusnya menjadi agen perubahan dalam masyarakat untuk memperbetulkan sudut pandang transgender dan kesihatan reproduksi.

Keputusan mahkamah yang mencatat sejarah

Keputusan mahkamah rayuan terhadap hak golongan transgender berpakaian silang dan menyerlahkan identiti transgender mereka telah membatalkan enakmen mahkamah syariah Negeri Sembilan. Keputusan baru-baru ini merupakan satu titik tolak yang memperakukan hak golongan transgender ini dan memperkecilkan institusi kehakiman syariah. Adakah keputusan ini berlaku adil kepada mereka?

08hm017aa_transformed

Jika dilihat sepintas lalu ianya seolah-olah adil kerana itu apa yang dituntut. Tetapi jika dilihat kepada perspektif yang lebih luas lagi ia mempunyai implikasi yang besar bukan saja kepada golongan transgender sendiri tetapi juga kepada masyarakat amnya. Ianya mengiktiraf apa yang mereka alami adalah satu penyakit yang tidak ada jalan keluar justeru mereka harus diizinkan untuk kekal dalam identiti baru mereka. Sedangkan apa yang mereka alami adalah kecelaruan yang memerlukan bantuan untuk keluar daripada perangkap identiti yang mereka hadapi. Ianya tidak mustahil kerana persoalan kejiwaan boleh diatasi dan dibantu dengan kemahuan yang tinggi. Jika kita mengiktiraf maka kita sebenarnya mengiyakan kecelaruan identiti yang mereka hadapi dan memberi dokongan terhadap apa jua tindakan yang bakal timbul ekoran dari ini.

Tidak mustahil jika selepas ini pelbagai tuntutan seperti pertukaran jantina, perkahwinan sesama jantina dan keinginan untuk mempunyai anak melalui pelbagai teknik bantuan reproduksi akan juga melakari sejarah Malaysia. Sebagai rakyat Malaysia yang beragama Islam, I-Medik merasakan setiap hak harus didahului dengan hak kepada agama. Jelas agama tidak mengizinkan perkara ini kerana implikasi yang besar terhadap kestabilan hidup masyarakat. Marilah kita menjadi masyarakat yang prihatin dengan menghulurkan tangan unuk membantu mereka keluar dari kecelaruan dan mengembalikan mereka kepada fitrah kejadian yang selari dengan kesihatan reproduksi.

Disediakan oleh:
Dr Murizah Mohd Zain
Pakar Perubatan Reproduktif dan Pakar Perunding Kanan Obstetrik dan Ginekologi
Pengerusi Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik) Kedah