#KitaJagaKita

“Saya Ada Diabetes dan Saya Nak Buat Rawatan Gigi. Masalahnya …”

Pernah tak anda pergi klinik gigi untuk cabut gigi. Kemudian doktor gigi tanya, “Ada kencing manis tak?”

Atau anda ialah seorang pesakit kencing manis. Gigi anda dah bergoyang sangat dah. Anda ke klinik gigi untuk melakukan cabutan gigi. Tapi doktor gigi suruh buat ujian gula dalam darah dulu.

Maka anda pun buat ujian darah dan doktor gigi dapati bacaan gula dalam darah anda ialah 20 mmol!

“Tak boleh cabut ni, encik. Bacaan gula dalam darah tinggi sangat.”

Anda selaku pesakit yang dah lama terganggu dengan gigi yang bergoyang ni rasa marah. Dah lah datang jauh-jauh, tunggu punya lama di ruang menunggu semata-mata nak cabut gigi. Tiba-tiba doktor tak nak cabut gigi.

“Alaa doktor, dah goyang sangat dah ni. Cabut je doktor. Takde apa lah!”

Doktor masih berkeras tak mahu teruskan cabutan.

“Apa kena mengena gula dalam darah saya ni dengan cabut gigi doktor? Doktor cabut je la, saya tanggung lah akibatnya nanti.”

Oh pesakit. Andainya kamu tahu akibatnya.
Jadi, marilah sini. Doktor nak ceritakan kaitan kencing manis, atau dalam bahasa perubatannya, diabetes, dan juga kesihatan mulut.

Diabetes merupakan penyakit metabolik yang diakibatkan oleh sel-sel pankreas yang tidak mampu menghasilkan dan menggunakan insulin secara optimum.

Insulin merupakan hormon yang penting yang menukarkan gula atau glukosa dalam darah kepada tenaga atau disimpan di dalam hati.

Apabila penghasilan insulin terganggu, maka berlaku pengumpulan glukosa dalam darah yang akan menyebabkan bacaan glukosa dalam darah menjadi tinggi. Keadaan ini dipanggil hyperglycemia.

Semakin tinggi bacaan glukosa, semakin bahaya keadaan pesakit yang mana pesakit akan berdepan dengan masalah diabetic ketoacidosis iaitu kandungan asid berlebihan dalam badan. Keadaan ini mampu mengancam nyawa.

Jadi, apakah kaitannya dengan kesihatan mulut dan seterusnya rawatan pergigian?

Pesakit diabetes cenderung untuk mengalami masalah rongga mulut kering akibat berkurangnya penghasilan air liur. Pengurangan rembesan air liur boleh meningkatkan risiko gigi berlubang (karies).

Pesakit diabetes juga mempunyai risiko yang tinggi terhadap jangkitan kulat kandida (oral candidosis) dan kuman. Ini adalah kerana sistem imuniti mereka yang semakin lemah akibat keadaan hyperglycemia yang dialami mereka.

Jangkitan kuman yang berlaku dalam gusi boleh merosakkan tisu gusi dan melambatkan proses penyembuhan. Maka berlakulah radang gusi yang disebut gingivitis. Sekiranya dibiarkan tanpa rawatan, gusi akan semakin membengkak dan sangat mudah berdarah, paras ketinggian tulang sekitar gigi menurun, gigi kelihatan memanjang dan gigi akan bergoyang. Keadaan ini dipanggil periodontitis.

Prosedur cabutan gigi akan mendedahkan pesakit kepada risiko jangkitan kuman akibat terbukanya saluran darah kepada persekitaran yang dipenuhi bakteria jahat dalam mulut tadi terutamanya dalam soket gigi.

Setelah cabutan dilakukan, kuman-kuman ini boleh masuk ke dalam saluran darah (septiceamia). Ini boleh mengakibatkan jangkitan yang lebih serius kepada tulang (osteomyelitis) yang akan mengambil masa yang lama untuk sembuh. Septicemia juga boleh menjadikan kadar gula dalam darah pesakit kencing manis menjadi tidak terkawal yang seterusnya mendedahkan pesakit kepada risiko diabetic ketoacidosis.

Sekarang anda dah nampak kaitannya dengan kencing manis?

Penyakit kencing manis yang tidak terkawal boleh menjadi punca penyakit mulut dan penyakit mulut juga boleh memburukkan penyakit kencing manis yang sedia ada.

Maka sangat penting bagi pesakit kencing manis menjaga kesihatan mulut agar sentiasa berada di tahap optimum. Pastikan kebersihan mulut dijaga, dapatkan rawatan dan nasihat pergigian daripada doktor gigi bertauliah dan kawal kencing manis anda 🙂

 

Dr. Dhuha binti Mohd Shahrain
Pegawai Pergigian KP Bandar Kuantan
Sukarelawan I-Medik

 

 

Sumber rujukan:
1. Nordin MM, Rahman SA, Raman RPC & Vaithilingam RD 2014, Periodontal Status and Oral Health Knowledge Among Selected Population of Malaysian Type-2 Diabetics, Sains Malaysiana 43 (8), pp. 1157-1163

2. Diabetics and Gum Disease: What’s The Connection?, https://www.ontrackdiabetes.com/related-conditions/teeth-gum/diabetes-gum-disease-whats-connection

3. Diabetes and Dental Complications, https://www.google.com/amp/s/www.ontrackdiabetes.com/amp/4043#ampshare=https://www.ontrackdiabetes.com/related-conditions/teeth-gum/diabetes-dental-complications

4. Diabetes, https://www.ada.org/en/member-center/oral-health-topics/diabetes

5. Lamster IB, Lalla E, Borgnakke WS &Taylor GW 2008, The Relationship Between Oral Health and Diabetes Mellitus, Journal of the American Dental Association (1939) 139, pp. 19-24