#KitaJagaKita

Puasa Bukan Halangan Untuk Suntikan Vaksin Dan Swab Test

WhatsApp Image 2021-04-28 at 3.17.15 PM

Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) sedang giat dijalankan di seluruh Malaysia. PICK ini dijalankan selaras dengan Dasar Vaksinasi COVID-19 di mana vaksin COVID-19 diberikan secara sukarela dan percuma kepada semua penduduk Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas. Dasar ini menyasarkan 80% penduduk dewasa Malaysia mencapai tahap imuniti yang diperlukan untuk mengawal jangkitan Vaksin COVID-19 melalui suntikan vaksin. Fasa 1 yang melibatkan kira-kira 500,000 di kalangan petugas barisan hadapan telah hampir selesai. Mereka ini antaranya terdiri daripada kakitangan kesihatan, anggota polis, tentera serta ahli bomba.

 

Malaysia kini telah memasuki fasa kedua. Fasa ini menyasarkan 9.4 juta warga emas Malaysia berumur 60 tahun dan ke atas serta golongan berisiko tinggi yang menghidapi penyakit jantung, obesiti, kencing manis, darah tinggi, kerosakan buah pinggang, strok serta paras kolesterol tinggi. Ini disebabkan oleh golongan ini lebih cenderung untuk mendapat komplikasi yang lebih teruk jika didapati positif COVID-19 dengan kadar pemulihan yang lebih lama serta boleh menyebabkan kematian. Dalam masa yang sama, strategi yang digariskan dalam PICK ini penting bagi mengurangkan beban kepada sistem kesihatan awam Malaysia.

 

Pada tahun ini, Minggu Imunisasi Sedunia yang disambut pada 24 April hingga 30 April jatuh pada bulan Ramadan. Teka-teki yang menjadi persoalan dalam masyarakat umum adalah adakah suntikan imunisasi vaksin  COVID-19 boleh membatalkan puasa kita? Menurut Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), suntikan vaksin Covid-19 pada bulan Ramadan adalah harus dan tidak membatalkan puasa. Ini adalah bertepatan dengan fatwa yang telah dikeluarkan daripada Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam berkenaan isu ini. Ini disebabkan oleh vaksin ini tidak diberi melalui rongga badan manusia. Vaksin juga bukanlah sejenis makanan dan minuman serta tidak menghilangkan lapar dan dahaga.

 

Orang ramai dinasihatkan untuk bersahur secukupnya dengan gizi yang seimbang bagi mempersiapkan diri pada hari yang dijadualkan untuk suntikan vaksin. Jika individu tersebut merasa letih atau sakit kepala sesudah disuntik vaksin COVID-19, adalah disarankan untuk berehat dan elakkan aktiviti yang menggunakan banyak tenaga. Sebarang kesan sampingan yang lebih serius seperti alahan teruk kepada suntikan vaksin perlu dimaklumkan segera kepada para petugas kesihatan untuk dirawat. Jika pesakit tidak mampu untuk meneruskan puasa pada hari tersebut disebabkan faktor kesihatan atas nasihat doktor, pesakit diberi keringanan untuk tidak berpuasa. Namun, pesakit perlu menggantikan puasa sebanyak hari yang ditinggalkan.

 

Vaksin COVID-19 akan diberi dalam 2 dos (dengan sela masa berbeza mengikut jenama) untuk sistem imuniti badan kita membina perlindungan terhadap jangkitan vaksin. Walaupun tidak dapat memberi perlindungan 100 peratus, vaksin ini tetap penting bagi mengurangkan risiko jangkitan dan penularan virus COVID-19 di kalangan masyarakat serta mengurangkan gejala jangkitan yang serius. Justeru itu, golongan sasar yang telah menerima suntikan vaksin untuk kedua-dua dos masih perlu mengamalkan penjarakan sosial, memakai pelitup muka di tempat awam atau sesak serta kerap mencuci tangan dengan sabun atau hand sanitizer.

 

Bagaimana pula jika seseorang itu perlu melakukan ‘swab test’ atau ujian calitan ketika berpuasa?

 

Ujian saringan untuk pengesanan jangkitan COVID-19 dijalankan dengan kaedah Nasopharyngeal swab (melalui hidung) dan Oropharyngeal swab (melalui tekak) bagi mendapatkan sampel mukus. Menurut keputusan mesyuarat khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam (MKI) kali ketiga untuk tahun 2020, kaedah-kaedah ini tidak membatalkan puasa kerana proses calitan tidak sampai ke kawasan rongga dalam. Oleh sebab itu, jika kita dikehendaki untuk melakukan ‘swab test’ ketika berpuasa, usah khuatir. Berilah kerjasama sepenuhnya kepada petugas barisan hadapan untuk melaksanakan tugas mereka.

 

I-Medik dengan ini menyeru orang ramai dan badan bukan kerajaan untuk menyokong usaha Kementerian Kesihatan Malaysia mempromosikan pendaftaran vaksin COVID-19 terutamanya bagi negeri yang mencatatkan kadar pendaftaran yang rendah seperti di Terengganu, Kelantan dan Sabah. Di antara kaedah yang boleh dilakukan adalah membuka kaunter pendaftaran vaksin COVID-19 sebagai pemudahcara bagi masyarakat terutamanya golongan tua mendaftar untuk vaksin COVID-19 seperti yang dilakukan oleh I-Medik cawangan Johor baru-baru ini.

 

Jangan lupa untuk mendaftarkan diri anda dan ibu bapa tersayang untuk vaksin COVID-19 melalui salah satu  cara-cara di bawah:

  1. Aplikasi MySejahtera
  2. Web portal vaksincovid.gov.my
  3. Hotline 1800-888-828

 

Individu yang sudah mendaftar akan diberikan maklumat temu janji secara berperingkat sesuai dengan fasa yang dikenalpasti untuknya.

 

 

 

Oleh:

Norhidayah binti Nor Zailan

‘Aisya Nabilah binti Abd Rahman

Ahli Farmasi

Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia

(I-Medik)

 

Sumber:

1.https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/03/798530/fasa-1-vaksinasi-covid-19-capai-kemajuan-80-peratus

2.https://www.muftiwp.gov.my/en/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-khas-ramadhan-cat/4749-irsyad-fatwa-khas-ramadhan-siri-ke-176-hukum-swab-test-ketika-sedang-berpuasa

3.https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/04/806151/pendaftaran-program-imunisasi-covid-19-masih-rendah

4.http://covid-19.moh.gov.my/vaksin-covid-19/faq/faq-vaksin-covid-19-oleh-imr