SIPITANG, 28 Ogos: I-Medik Sabah sekali lagi telah mengadakan sesi pemeriksaan kesihatan melalui program Promosi Kesihatan Sipitang, semalam. Dengan kerjasama Fakulti Perubatan dan Kesihatan Universiti Malaysia Sabah (UMS), program ini diadakan untuk memberi kesedaran kepada penduduk setempat tentang pentingnya kesihatan diri dan keluarga dalam kehidupan seharian.
Perjalanan yang memakan masa hampir tiga jam dari Kota Kinabalu ini tidak menghalang 12 orang aktivis i-Medik Sabah untuk turun padang menyertai 16 orang pelajar UMS yang lain bagi menjayakan program ini.
Bermula jam 9 pagi, sesi pemeriksaan kesihatan yang bertempat di Sekolah Kebangsaan (SK) Pelakat, Sipitang ini telah dihadiri hampir 50 orang peserta. Selain pemeriksaan kesihatan, program turut dimeriahkan dengan sesi ceramah kesihatan yang disampaikan oleh Dr Mohamad Sobri bin Mohamad Saupi dan Dr Abdul Rahman bin Ramdzan yang merupakan JKC I-Medik Sabah.
“Kencing manis, darah tinggi dan obesiti adalah tiga penyakit berangkai yang akhirnya boleh membawa kepada penyakit jantung dan mengakibatkan kematian. Satu kajian yang dikelolakan di negara-negara Asia menunjukkan bahawa Malaysia mempunyai penduduk yang paling tinggi kadar obesiti dengan 44.2%, diikuti dengan Thailand 32.2% dan Singapura 30.2%,” ujar Dr Mohamad Sobri bin Mohamad Saupi, dalam ceramahnya yang bertajuk ‘Perang Pembunuh Senyap’.
Dr Abdul Rahman pula dalam slot kedua telah menerangkan tentang penyakit-penyakit berjangkit (communicable disease) yang sering berlaku di Sabah seperti demam denggi dan malaria. Pengisian beliau dimeriahkan dengan video ‘Upin Ipin: Skuad Bebas Denggi’ yang menarik minat masyarakat kampung.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah Dr Wan Salman Wan Saudi, pensyarah di Fakulti Perubatan dan Kesihatan UMS, merangkap penasihat dan penyelia program dan Encik Ladis Majid, Ketua Kampung Pelakat, serta Encik Junaidi Lamat selaku Pengerusi PIBG SK Pelakat.
“Saya merasa amat bangga apabila mengetahui program Promosi Kesihatan ini akan diadakan di kampung kami. Inilah yang pertama kali seumpamanya diadakan di sini. Program sebegini bukan saja memudahkan kami untuk mengetahui penyakit-penyakit merbahaya, bahkan membantu kami untuk mengetahui status kesihatan diri sendiri. Terima kasih saya ucapkan kepada I-Medik selaku NGO yang terlibat dan juga pihak UMS atas kesudian mengadakan program ini,” ujar Junaidi Lamat, 54 tahun.
Program ini merupakan siri yang kelima dalam program khidmat masyarakat dan pemeriksaan kesihatan i-Medik Sabah yang telah diadakan sepanjang tahun 2016.
Oleh: Dr Mohamad Sobri bin Mohamad Saupi, Aktivis I-Medik Sabah.