PENJELASAN I-MEDIK BERHUBUNG RANCANGAN SYARIAH MEJA BULAT TV3 BERTARIKH 18 FEB 2020
Saya mengambil perhatian akan maklumbalas dari rancangan ini dan suka dinyatakan di sini, saya tidak sesekali bermaksud bahawa mereka yang hidup dengan HIV (People Living with HIV atau PLHIV) tidak boleh sama sekali berkahwin. Dengan pengambilan HAART atau “Highly Active Antiretroviral Therapy” secara efektif, ia dapat merendahkan paras virus kepada tidak dapat dikesan atau “undetectable”. PLHIV yang mencapai paras ‘undetectable’ tidak dapat memindahkan virus atau ‘untransmittable’ maka, dengan pengawasan berkala doktor, tiada halangan bagi mereka mendirikan rumah tangga.
Begitu juga saya akur bahawa dalam keterbatasan waktu, saya telah tidak sempat menerangkan sepenuhnya bahawa jangkitan vertikal yang suatu masa dahulu merupakan stigma dalam perkahwinan PLHIV, telah dapat ditangani dengan baik oleh program saringan dan rawatan yang dijalankan bagi PLHIV dan ibu-ibu yang mengandung. Oleh kerana itu, pada tahun 2018 Malaysia telah diikitiraf oleh WHO sebagai negara pertama di Asia Pasifik yang mempunyai sifar kadar jangkitan vertikal.
Walaubagaimanapun intipati penerangan saya adalah konsep pencegahan yang perlu dititikberatkan dengan mengelakkan faktor-faktor berisiko tinggi bagi mendapat jangkitan HIV, iaitu hubungan seksual lelaki-kepada-lelaki (men sex with men), biseksual, seks rambang dan perkongsian jarum suntikan dadah, baik di kalangan mereka yang belum dijangkiti, mahupun dikalangan PLHIV.
Konsep pencegahan ini adalah bertepatan dengan syariat Islam dan dari sudut ‘Maqasid Syariah’ dalam menjaga nyawa dan kesihatan, yang sentiasa menjadi prinsip asas I-Medik.
Saya memohon maaf di atas salah faham yang timbul dari perkongsian saya semalam.
I-Medik sentiasa bekerjasama dengan semua komuniti dalam memastikan hak kesihatan dan pesakit untuk mendapat rawatan. I-Medik juga komited untuk bersama-sama dengan semua pihak memberi kesedaran kepada masyarakat berkenaan isu pencegahan HIV dan AIDS.
Sekian.
Dr Azizi Ayob
Timbalan Presiden I-Medik