#KitaJagaKita

PENGAMBILAN AIR BERLEBIHAN BOLEH MEMUDHARATKAN KESIHATAN PESAKIT KRONIK DI BULAN RAMADHAN

Apabila tibanya bulan Ramadhan, kita sering kali diingatkan supaya melebihkan pengambilan air ketika bersahur dan selepas berbuka puasa. Namun, tahukah anda bahawa pengambilan air berlebihan juga boleh memudaratkan badan sesetengah orang? Tanpa kita sedari, terdapat beberapa golongan yang berisiko tinggi, apabila kandungan air berlebihan di dalam badan mereka seperti pesakit lemah jantung, pesakit kegagalan buah pinggang dan juga pesakit kegagalan hati.
Pesakit lemah jantung:
Jantung yang normal akan dapat mengepam darah ke seluruh anggota badan. Tetapi, jantung yang bengkak akan lemah mengepam darah secara efektif menyebabkan darah terkumpul di sesuatu bahagian. Natijahnya, kandungan air yang terkumpul akan menyerap keluar dari darah ke tisu-tisu dan organ-organ badan mengakibatkan bengkak air. Antara contoh gejala bengkak air di kalangan pesakit lemah jantung adalah seperti sembap kaki dan juga paru-paru berair yang boleh menyebabkan kesukaran bernafas.
Pesakit kegagalan buah pinggang:
Kebiasaanya, buah pinggang berfungsi untuk menyahkan air dan bahan kumuh dari badan melalui air kencing. Kehilangan fungsi ini akan mengakibatkan air dan bahan kumuh berkumpul di dalam badan. Begitulah yang terjadi kepada pesakit buah pinggang tahap akhir di mana pengeluaran air kencing menjadi kurang atau tiada langsung mengakibatkan pesakit perlu menjalani rawatan cucian darah atau dialisis.
Pesakit kegagalan hati:
Hati berfungsi menghasilkan albumin, sejenis protein yang berfungsi mengikat air agar ia kekal berada di dalam salur darah. Pesakit yang mengalami kegagalan hati akan berisiko mengalami bengkak air di seluruh anggota badan akibat dari lebihan air yang bebas dari ikatan albumin. Kekurangan albumin di dalam darah, akan menyebabkan air yang berlebihan meresap keluar dari salur darah dan menyebabkan sembap di organ-organ seperti paru-paru, peritoneal, kantung buah zakar, kaki dan lain-lain.
Secara umumnya, pesakit-pesakit ini telah dinasihatkan oleh doktor yang merawat supaya mengurangkan pengambilan air sama ada dalam lingkungan 1 liter ke 800ml sehari dan ada juga yang hanya sebanyak 500ml sehari mengikut tahap keseriusan penyakit individu tersebut. Jumlah kawalan pengambilan air ini bukan sahaja mengawal pesakit dari meminum air, malah merangkumi kesemua pengambilan air sama ada dari segi makanan berkuah mahu pun pengambilan buah-buahan yang sarat dengan air.
Jika pesakit tidak mengawal pengambilan air seperti yang disarankan, pesakit boleh menjadi cepat penat/mengah, kesukaran bernafas atau sakit pada anggota badan akibat daripada bengkak air. Antara rawatan kecemasan yang akan diberikan kepada pesakit adalah seperti alat bantuan pernafasan, ubat penggalak mengeluarkan air kencing bagi membuang lebihan air dari dalam badan. Bagi pesakit yang tidak lagi menghasilkan air kencing pula, rawatan dialisis kecemasan akan dijalankan bagi mengeluarkan lebihan air tersebut.
Kesimpulannya, pesakit haruslah mengambil berat berkenaan pengawalan jumlah pengambilan air seperti yang ditetapkan oleh doktor. Selain itu, sokongan dan rasa empati keluarga pesakit juga amat penting untuk membantu pesakit kekal patuh dengan arahan doktor. Bertimbang rasalah dalam menyediakan juadah yang bersesuaian ketika bersahur dan berbuka. Semoga kesihatan yang optimum di kalangan pesakit dapat dicapai dan dimanfaatkan sebaiknya untuk beribadah di bulan Ramadhan.
Oleh:
Dr Siti Nur Syamimi Bt Mohamad Asaad
Aktivis I-Medik Negeri Sembilan