#KitaJagaKita

Pengajaran dari Covid 19: Amalan Kebersihan Asas Kesehatan Sejagat

unnamed

Coronaviruses disease 2019 (COVID-19) sejak diumumkan sebagai pandemik oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 11 Mac yang lepas telah memberi kesan yang cukup mendalam hampir ke seluruh dunia samada dari sudut keberlangsungan & kesehatan manusia, ekonomi, amalan/budaya hidup, teknologi dan pelbagai lagi. Kesan ini mungkin tidak terjangka oleh kebanyakan negara ketika wabak ini baru bermula di Wuhan, China pada akhir 2019 dengan kehadiran beberapa kes kluster pneumonia ganjil. Sehingga kini, COVID-19 telah menjangkiti lebih 2 juta penduduk seluruh dunia dengan jumlah kematian sebanyak 145 ribu lebih orang. Malaysia juga antara 184 buah negara yang menerima kesan pandemik COVID-19.

Beberapa kajian menunjukkan COVID-19 yang disebabkan oleh virus SARS-CoV-2 ini mempunyai struktur genetik virus yang hampir sama dengan virus pada kelawar, tenggiling, unta, kucing civet dan sebagainya yang dinamakan SARS-like coronaviruses (SL-CoVs). Kajian ini telah bermula sejak pandemik severe acute respiratory syndrome (SARS) yang bermula pada 2002 hingga 2003. Wabak COVID-19 ini didapati bermula pada pasar basah tempatan di Wuhan yang menjual banyak hidupan laut juga haiwan eksotik. Kebanyakan kes awal COVID-19 ini mempunyai sejarah kontak secara langsung dengan pasar basah tersebut dan umum mengetahui amalan makanan haiwan eksotik di kawasan setempat. Virus ini (SL-CoVs) yang kebiasaannya mendiami haiwan-haiwan berikut telah mula bermutasi dan akhirnya berupaya menjangkiti antara manusia yang seterusnya menyebabkan pandemik yang pantas merebak.

Mungkin pandemik COVID-19 ini adalah pengajaran buat masyarakat dunia tentang erti pengamalan kebersihan sebenar dalam kehidupan sendiri dan bermasyarakat. Malah ia adalah pengalaman baru bagi kebanyakan orang apabila mereka terpaksa membiasakan diri dengan amalan kebersihan yang mungkin kurang diberi perhatian sebelum ini. Kebanyakan penularan penyakit berjangkit sememangnya bermula dengan amalan kebersihan yang diambil mudah. Ramai yang bersikap tidak kisah dengan kebersihan diri, dengan pakaian yang kotor, tangan yang tidak dibasuh, batuk dan meludah disana sini, malah ada yang lebih teruk sehinggakan sanggup membuang air kecil di tempat yang tidak sepatutnya. Menjadikan haiwan eksotik sebagai makanan rutin juga sudah menjadi amalan sesetengah manusia. Mereka mungkin tidak kisah atau jahil terhadap kesan amalan pengotor terhadap diri sendiri, tetapi yang lebih menyedihkan, mereka tidak mempedulikan kesan amalan itu kepada orang disekeliling hatta ahli keluarga sendiri.

Pengalaman baru ini mungkin suatu pengajaran yang cukup berat buat kita semua. Kerana ia bukan lagi soal adab dan sikap atau hak seseorang dan hak masyarakat, ia sudah menjadi soal hidup dan mati manusia, soal keberlangsungan sebuah generasi, soal jatuh dan bangun sebuah tamadun. Dalam beberapa bulan sahaja, kita sudah biasa dengan beberapa amalan kebersihan yang disarankan dan diulang-ulang pihak kerajaan seperti kerap membersihkan tangan, penjarakkan sosial, mandi selepas balik dari kerja atau dari tempat luar, etika batuk yang betul dan lain-lain. Sebenarnya amalan-amalan ini adalah kebiasaan bagi mereka yang berkerja dalam bidang kesehatan dan mempunyai kesedaran yang tinggi terhadap kepentingan menjaga kebersihan. Cuma mungkin berbeza dari sudut ketegasan dan pengamalan amalan tersebut.   

Mari kita lihat beberapa amalan kebersihan yang sekarang amat ditekankan. Kerap membersihkan tangan adalah satu amalan yang paling penting yang disarankan oleh WHO. Malah lebih penting daripada memakai sarung tangan getah (bagi orang umum) dan memakai topeng muka (bagi orang umum). Ini kerana tangan adalah organ badan utama yang boleh menyebabkan jangkitan virus berlaku. Terdapat banyak kuman (meliputi bakteria, virus, kulat dll) pada tangan kita melalui sentuhan kepada pelbagai objek dan permukaan, dan kuman dapat hidup pada permukaan tangan kita dalam jangkamasa yang pelbagai bergantung kepada pelbagai faktor. Beberapa kajian juga menunjukkan kita menyentuh muka kita dengan tangan antara 8 ke 23 kali sejam, kebiasaanya tanpa disedari. Jadi dengan kerap membasuh tangan dengan sabun atau sanitasi tangan beralkohol akan dapat memutuskan rantaian jangkitan virus ke muka kita. Sudah menjadi budaya kita malah saranan agama untuk sentiasa membasuh tangan sebelum makan sebagai salah satu asas amalan kebersihan.

Nabi SAW bersabda, maksudnya : “Sesiapa yang ingin Allah memperbanyak kebaikkan di dalam rumahnya, hendaklah dia berwuduk sekiranya makanannya telah dihidangkan (sebelum makan) dan selepas diangkat (selesai makan)”                                                                                                                                  

HR Ibn Majah (3260)

Penjarakkan sosial pula menjadi satu frasa yang popular malah juga sensitif bagi masyarakat sekarang. Kita mengetahui penyakit berjangkit merebak dengan pelbagai cara, antaranya melalui titisan pernafasan, kontak langsung dengan orang atau haiwan yang dijangkiti, sentuhan permukaan objek dan salur permakanan. Bagi COVID-19, diketahui penyebarannya melalui titisan pernafasan dan kontak langsung. Titisan pernafasan mempunyai pelbagai saiz tetapi secara umumnya bersaiz diameter lebih 5 mikrometer. Atas faktor saiz dan berat, pergerakan diudara dijangka antara 1-2 meter sebelum ia jatuh ke bawah tanpa mengambil kira faktor-faktor luaran yang lain. Maka, penjarakkan sosial adalah amalan kebersihan yang penting bagi diri kita agar kita tidak terhidu titisan pernafasan yang telah dijangkiti di udara yang terhasil melalui batuk, bersin malah percakapan. Ia juga merupakan amalan yang penting sekiranya kita dijangkiti virus bagi mengelakkan penyebaran kepada orang lain pula. Ini ditambah dengan amalan kebersihan lain bagi mereka yang dijangkiti virus seperti etika batuk yang betul, pemakaian topeng muka apabila diluar rumah dan kuarantin diri di rumah. Berasaskan konsep yang sama, ia merupakan satu amalan kebersihan yang bersifat menjaga kepentingan kesehatan umum. Ini dikuatkan dengan hadis Nabi yang menyarankan agar kita mengelak daripada memasuki kawasan wabak dan juga agar kita tidak keluar daripada tempat yang telah dijangkiti wabak.

Diriwayatkan oleh Sa’d Ibn Abi Waqqash R.A beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda, maksudnya : ”Apabila kamu mendengar bahawa taun menimpa sesuatu tempat maka janganlah kamu masuk ke dalam kawasan tersebut. Dan apabila kamu berada di dalam kawasan yang terdapat padanya taun, janganlah kamu keluar daripadanya.”

Riwayat Al-Bukhari (5728)

Dua contoh amalan kebersihan ini menunjukkan bahawa kebersihan adalah asas kepada pencegahan penyakit berjangkit. Malah boleh disimpulkan kebersihan juga merupakan sebahagian daripada asas kesehatan manusia sejagat. Berdasarkan kepada definisi Kesehatan oleh WHO, ia adalah keadaan yang sempurna dari segi fizikal, mental dan sosial dan tidak hanya ketika ketiadaan penyakit atau kelemahan. Keadaan yang sempurna ini sudah pasti berakar umbi daripada pembinaan kekuatan dalaman (melalui senaman secara tetap, makanan seimbang, terapi mental etc) dan juga pencegahan factor kerosakan daripada luar (melalui amalan kebersihan, vaksin, rawatan awal etc). Dan kita boleh dapati banyak saranan amalan kesihatan dalam Islam samada melalui al-Quran mahupun hadis. Semoga kita dapat menginsafi pandemic COVID-19 yang sedang melanda dunia serta memperbaiki gaya hidup kita kearah lebih aktif dan bersih.

Penulis:

Dr Ahmad Muslim Bin Ahmad Roslan

Pelajar Sarjana Perubatan Keluarga UiTM

Aktivis I-Medik

Rujukan:

1. https://kpkesihatan.com/2020/04/18/kenyataan-akhbar-kpk-18-april-2020-situasi-semasa-jangkitan-penyakit-coronavirus-2019-covid-19-di-malaysia/

2. Zhang T, Wu Q, Zhang Z. Probable Pangolin Origin of SARS-CoV-2 Associated with the COVID-19 Outbreak. Curr Biol. 2020;30(7):1346–1351.e2.

3. Zhou P, Yang XL, Wang XG, et al. A pneumonia outbreak associated with a new coronavirus of probable bat origin. Nature. 2020;579(7798):270–273.

4. Li W, Shi Z, Yu M, et al. Bats are natural reservoirs of SARS-like coronaviruses. Science. 2005;310(5748):676–679.

5. https://www.who.int/emergencies/diseases/novel-coronavirus-2019/advice-for-public

6. https://www.healthline.com/health-news/how-to-not-touch-your-face#We-touch-our-faces-all-the-time

7. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/books/NBK143281/

8. https://muftiwp.gov.my/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/3974-al-kafi-1520-adakah-membasuh-tangan-sebelum-makan-dan-selepasnya-sunnah

9. https://muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-usul-fiqh/4138-irsyad-usul-al-fiqh-siri-ke-45-bagaimana-mendepani-wabak-dan-penyakit-menurut-perspektif-usul-al-fiqh