Serangan jantung berpunca dari darah beku yang terbentuk di dalam salur darah di dalam jantung. Dari hari ke hari, kita sering mendengar kawan- kawan atau saudara mara kita yang masih muda dan belum pun melangkah ke usia 40-an, telah meninggal dunia akibat serangan jantung. Perkara ini telah dibuktikan melalui data yang dikumpul dari tahun 2007 hingga 2017 di mana didapati bahawa pembunuh utama golongan yang berusia di bawah 40 tahun adalah serangan jantung. Walau bagaimana pun, terdapat beberapa perkara yang menyumbang kepada kecenderungan seseorang untuk mendapat serangan jantung seperti:
- Lelaki
- Perokok
- pesakit kencing manis dan tekanan darah tinggi
- Tinggi kandungan kolesterol dalam badan
- Berat badan berlebihan
- Sejarah ahli keluarga terdekat menghidap penyakit jantung
- kurang bersukan dan beridah
Gejala utama serangan jantung adalah sakit di tengah dada seperti ditekan atau dihimpap oleh batu yang berat. Sakit dada biasanya berlaku ketika rehat dan berlarutan lebih dari setengah jam. Sakit dada kadang kala akan menjalar ke leher, bahu dan tangan sebelah kiri. Mereka yang mengalami serangan jantung biasanya akan turut berasa sesak nafas, berpeluh-peluh, berdebar-debar, loya dan muntah.
Jika anda mendapat gejala-gejala tersebut, adalah dinasihatkan untuk mendapatkan khidmat nasihat doktor di mana-mana pusat kesihatan terdekat secara serta merta. Ini kerana, rawatan awal dapat menyelamatkan nyawa anda dan mengurangkan risiko anda dari mendapat komplikasi dari serangan jantung.
Siasatan utama yang akan dilakukan sekira anda mengalami sakit dada adalah Elektrokardiogram dan beberapa ujian darah. Jika anda disahkan mendapat serangan jantung, doktor akan menjalankan prosedur koronariangiogram dan koronariangioplasti secepat mungkin untuk membuka salur darah yang tersumbat oleh darah beku di dalam jantung.
Walaupun penyakit serangan jantung merupakan satu penyakit yang boleh dirawat, adalah penting untuk kita mencegah penyakit ini. Keadah utama untuk mencegah serangan jantung adalah berhenti merokok, memastikan anda makan makanan yang rendah lemak, rendah karbohidrat dan mengawal pengambilan garam. Mereka yang berisiko juga disarankan untuk mengamalkan gaya hidup yang sihat seperti aktif bersukan, beriadah serta mengekalkan berat badan yang ideal. Pesakit yang menghidap kencing manis dan darah tinggi turut dinasihatkan agar sentiasa mengambil ubat yang dibekalkan mengikut sukatan dan arahan yang diberi serta melakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala.
Dr Mohd Al-Baqlish Bin Mohd Firdaus
Felo Klinikal Kardiologi PPUM/Pensyarah Perubatan UIAM