#KitaJagaKita

Niat yang Betul sebagai Pemangkin

perak

Ipoh, 29 March-  “Niat untuk mendalami ilmu perubatan kerana Allah SWT adalah sangat penting dan boleh menjadi pemangkin untuk terus berusaha dalam menunaikan kewajipan fardhu kifayah,” begitulah kata Dr.  Zulkifly Yusof, Pakar Perunding ENT HSB Alor Setar yang juga merupakan anggota Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik) . Program Sepetang bersama I-Medik Perak dengan kerjasama PEMBINA RCMP ini menarik perhatian pelajar-pelajar perubatan dan sains kesihatan  dari UniKL RCMP sendiri untuk sama-sama memeriahkan program di Akademi Ikatan Muslimin dari pukul dua hingga enam petang tadi.   Penjelasan Dr. Zulkifly mengenai ciri-ciri pengamal perubatan soleh menyedarkan para peserta akan besarnya peranan tarbiyyah serta impak yang dapat diberikan dalam mewujudkan persekitaran yg biah solehah di hospital serta pusat-pusat perubatan.

 perak 3

Antara peserta program, saudari Syazwin Said berkata, “Program I-Medik benar-benar membuka mata saya akan peranan seorang pengamal perubatan yang berfikrah.  Sejujurnya saya sangat mencari-cari kumpulan atau ngo yang menerapkan nilai-nilai islam dalam bidang perubatan. I  Medik membuka jalan untuk para pengamal perubatan berdiskusi dan mengamalkan islam dalam profesion  mereka. Saya juga berasa bersyukur diberi peluang untuk menyertai program I-Medik kerana penceramah serta panel forum masing-masing berkongsi pengalaman dan cara-cara memantapkan diri bagi menghadapi kerjaya yang mencabar ini. Saya menyeru semua mahasiswa dalam bidang perubatan dan sains kesihatan untuk sama-sama menyertai I-Medik bagi melahirkan pengamal perubatan yang mempunyai jati diri muslim yang ampuh,“

 perak

Dengan penampilan panel-panel terhormat seperti Dr. Zulkifli Yusof, Dr. Murizah Mohd Zain, serta Dr. Ahmad Muslim, program disusuli dengan forum yang bertemakan keseimbangan akademik dan tarbiyyah, serta cabaran-cabaran yang perlu dihadapi oleh pegawai perubatan.

 

Dr. Murizah Mohd Zain, Pakar Perunding Reproduktif HSB Alor Setar  banyak menekankan soal tarbiyyah sebagai asas kepada kecemerlangan. Katanya,  “Individu muslim ibarat duta kepada agama Islam, maka sudah menjadi tanggungjawab  para pelajar untuk menunjukkan kehebatan Islam melalui kecemerlangan dalam apa jua bidang yang diceburi. Selain itu matlamat dan objektif itu perlu jelas. Bukankah tarbiyyah mengajar kita kepentingan hidup bermatlamat? Pada hari ini, kebatilan berada di mana-mana dan kita sebagai individu yang cemerlang bertanggungjawab menangani masalah-masalah ini”

 perak 2

Isu  kejutan budaya di kalangan pegawai perubatan siswazah serta cara menghadapi cabaran-cabaran tersebut  pula banyak dirungkaikan oleh  Dr. Ahmad Muslim,  Pegawai Perubatan Siswazah di Hospital Raja Permaisuri Bainun. Beliau berpegang teguh dengan prinsip bahawa melalui proses tarbiyyah, segala cabaran yang dihadapi akan dipermudah. Pengamalan sikap-sikap individu muslim yang sentiasa optimis, tidak mudah berputus asa dan sentiasa bersabar merupakan kunci untuk menghadapi alam pekerjaan.

 

PEMBINA RCMP  menyeru semua mahasiswa untuk turut bergiat aktif bersama I-Medik  dan sama-sama kita perbaharui niat menunaikan kewajipan fardhu kifayah sebagai pelajar jurusan perubatan dan sains kesihatan yang punya matlamat jelas.