MANEK URAI, 31 MAC – Umat Islam di Malaysia hari ini banyak terdedah kepada konsep dan fakta kesihatan yang tidak tepat. Kecetekan ilmu menjadikan umat Islam memandang enteng aspek kesihatan mereka dan seterusnya mudah ditimpa penyakit yang sebenarnya boleh dicegah.
Atas kesedaran ini, I-Medik Kelantan telah mengambil inisiatif untuk turun padang menyalurkan informasi kesihatan yang sahih melalui program “Doktor@Masjid”. I-Medik telah diberi kepercayaan oleh pengurusan Masjid Manek Urai Lama, Kuala Krai untuk mengendalikan program ini bersempena forum “Halal Itu Suci” yang menampilkan tokoh ulama terkenal seperti Dr. Abdul Basit bin Hj Abdul Rahman.
Tazkirah Maghrib yang disampaikan oleh Dr. Khairil Afif bin Mahmud, Pengerusi I-Medik Kelantan telah menyentuh betapa Islam memandang serius soal kesihatan umatnya. Rasulullah S.A.W pernah bersabda, “Mintalah kepada Allah kesihatan dan kesejahteraan kerana sesungguhnya tidak ada perkara yang lebih baik dari kesihatan selepas keyakinan (iman).” (Riwayat Ibnu Majah)
Sudah tentu doa untuk kesihatan perlu disertakan dengan usaha yang kental. Umat Islam perlu berusaha bersungguh-sungguh memastikan kesihatan mereka berada di tahap optimum. Amalan gaya hidup sihat seperti bersenam dan pemakanan seimbang bukan lagi pilihan jika seseorang benar-benar beramal dengan hadith tersebut. Perkara ini diakui sendiri oleh Dr. Abdul Basit atau nama penanya Abu Anas Madani yang mengesyorkan masyarakat Islam supaya melakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala dan menghindari tabiat yang menjejaskan kesihatan seperti merokok.
Walaubagaimanapun, manusia sememangnya diciptakan lemah. Sehebat mana pun manusia berusaha untuk kekal sihat, akan tiba waktu ketika diuji dengan kesakitan. Penyakit yang menimpa seseorang adalah asbab untuk Allah menghapuskan dosa-dosanya pada masa silam seperti sabda Nabi S.A.W. “Tidak ada seorang Muslim pun yang ditimpa gangguan seperti tusukan duri atau lebih berat daripadanya melainkan dengan ujian itu dihapuskan Allah perbuatan buruknya serta digugurkan dosanya sebagaimana pohon kayu yang menggugurkan daunnya.” (Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)
Oleh itu, umat Islam ditegah daripada mengeluh dan putus asa apabila ditimpa penyakit. Bahkan seseorang Muslim itu dituntut untuk mendapatkan rawatan yang saintifik disertakan pergantungan yang tinggi kepada Asy-Syaafi (Yang Maha Penyembuh).
“Tiap-tiap penyakit itu ada ubatnya. Apabila menepati ubat terhadap penyakit tersebut, maka sembuhlah dengan izin Allah” (Riwayat Muslim dan Ahmad)
Diharapkan projek Doktor@Masjid dapat membentuk sudut pandang baru umat Islam terhadap aspek kesihatan mereka. Usaha ini adalah sebahagian daripada jihad untuk memantapkan saf ummah demi mempertahankan Islam dan meninggikan kalimah Allah. Sesungguhnya hanya Muslim yang sihat dapat memberikan komitmen dan sumbangan yang besar kepada agama, bangsa dan negara. Pihak I-Medik Kelantan komited untuk meluaskan program ini di masjid-masjid lain pada masa akan datang. Justeru, kerjasama daripada pelbagai pihak amatlah dihargai.
“Muslim Sihat, Islam Hebat”
-I-Medik Kelantan-