Minggu Kesedaran Antimikrob Antarabangsa (International Antimicrobial Awareness Week) disambut setiap tahun pada 18 hingga 24 November 2021. Tema pada tahun ini adalah “Sebarkan Kesedaran, Hentikan Rintangan” oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Antimikrob terdiri daripada jenis:
1) Antibiotik (merawat jangkitan bakteria) seperti ubat Penicillin atau Azithromycin.
2) Antivirus (merawat jangkitan virus) seperti ubat Oseltamivir (atau lebih dikenali dengan jenama Tamiflu)
3) Antifungal (merawat jangkitan kulat / fungus seperti ubat Fluconazole dan Nystatin)
4) Antiparasit (merawat jangkitan parasit contohnya seperti Albendazole dan Ivermectin).
Rintangan antimikrobial (antimicrobial resistance) wujud apabila bakteria, virus, kulat atau parasit yang dirawat tidak lagi memberi tindak balas terhadap ubat yang digunakan. Ini menyebabkan sesuatu penyakit jangkitan tersebut semakin sukar diubati dan memerlukan antimikrob yang lebih kuat serta lebih mahal bagi menyembuhkan jangkitan tersebut. Malah, apabila bakteria, virus, kulat mahupun parasit itu terlalu kuat jangkitan dan rintangannya terhadap sebarang ubat yang ada, ini boleh menyebabkan kepada kematian. Ini juga memberi membebankan ekonomi negara apabila kos rawatan hospital meningkat.
Kes rintangan antimikrobial di Malaysia dan serata dunia semakin meningkat. Antaranya disebabkan oleh masyarakat menyalahgunakan antibiotik untuk merawat jangkitan virus atau demam biasa. Selain itu, ada yang membeli antibiotik tanpa preskripsi dan diagnosis yang betul dari doktor apabila mendapat jangkitan. Ada juga yang menggunakan ubat antimikrob berlebihan yang didapati dari ahli keluarga, jiran atau rakan-rakan untuk merawat sendiri penyakit yang dihadapi. Terdapat juga banyak kes pesakit yang dipreskrib ubat antibiotik oleh klinik atau hospital tetapi tidak menghabiskan rawatan antibiotik/antifungal selengkapnya yang turut menyebabkan kuman atau kulat dalam badan pesakit itu semakin rintang terhadap rawatan yang diberi.
Malah, ada penternak haiwan yang menggunakan antibiotik pada haiwan ternakan, antaranya untuk meningkatkan tumbesaran haiwan tersebut dan juga mengelakkan jangkitan. Ini secara tidak langsung memberi kesan rintangan antibiotik terhadap manusia yang memakan daging haiwan terbabit. Laporan kajian daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar pada 2013 dan 2014 menunjukkan dalam terdapat daging mentah ternakan ayam yang disampel mempunyai bakteria Salmonella yang mempunyai kerintangan terhadap antibiotik-antibiotik biasa yang ada di pasaran.
Semua pihak samada pembuat polisi, pengusaha industri pembuatan makanan haiwan, penternak haiwan dan ikan, para petugas kesihatan (seperti doktor, ahli farmasi, penolong pegawai farmasi dan jururawat) serta masyarakat umum diseru untuk meningkatkan kefahaman tentang kesan-kesan rintangan antimikrob (antimicrobial resistance). Tanggungjawab bersama perlu digalas oleh semua pihak agar ubat antimikrob ini digunakan dengan betul dan selamat bagi menghentikan rintangan terhadap antibiotik, antivirus, antifungal dan antiparasit di Malaysia.
Jom sebarkan kesedaran dan jalankan tanggungjawab kita bersama.
Oleh:
‘Aisya Nabilah binti Abd Rahman
Pegawai Farmasi Hospital Canselor Tuanku Muhriz
Ahli Farmasi I-Medik
Sumber
- https://bmcpublichealth.biomedcentral.com/articles/10.1186/s12889-019-7718-9
- https://www.moh.gov.my/moh/resources/Penerbitan/Garis%20Panduan/Garis%20panduan%20Umum%20(Awam)/National_Action_Plan_-_FINAL_29_june.pdf
Nota kaki: Terima kasih kepada Jabatan Veteriner Negeri Terengganu yang telah berkongsi berkenaan artikel ini di halaman Facebook mereka.