#KitaJagaKita

Memahami Cabaran Warga Emas dan Penjaga dalam Igauan Pandemik

warga emas

Catatan kes COVID-19 kembali meningkat, walaupun menurut laporan sumber utama kes pada gelombang ini berpunca dari kluster penghuni penjara. Rakyat berhak merasa risau disebabkan banyak juga kes disumbangkan dari individu yang pulang dari sebuah pilihanraya negeri yang diadakan baru-baru ini.

Gelombang kedua COVID-19 dan penjarakan fizikal akan terus memberikan cabaran terhadap kesihatan dan kebajikan warga emas, sama ada yang tinggal di rumah-rumah penjagaan warga tua ataupun warga emas yang tinggal bersama keluarga mereka di dalam komuniti. Seperti yang kita tahu, disebabkan oleh keadaan mereka yang lemah dan mempunyai pelbagai masalah kesihatan berkaitan penuaan, mereka menjadi segmen masyarakat yang sangat berisiko menjadi korban COVID-19. The Imperial College of London melaporkan bahawa individu yang berumur 70 tahun ke atas mempunyai risiko 20 kali ganda untuk mendapatkan rawatan di hospital berbanding individu yang berumur 20-an disebabkan oleh wabak pandemik ini.

Menteri Keselamatan Negara, Datuk Dr Ismail Sabri Yaakob, dalam sidang medianya bertarikh 3 Oktober 2020 mengatakan bahawa Perintah Kawalan Pergerakan akan dilaksanakan di peringkat daerah yang berada dalam zon merah. Walaupun tidak menyeluruh di peringkat negara, perkara ini akan memberi kesan psikososial semula (seperti fasa PKP 18 Mac 2020) kepada warga emas yang berada di dalam zon merah tersebut. Sama ada berada di dalam zon hijau atau merah, perkara ini tetap akan menimbulkan kegusaran sekaligus merubah kualiti hidup warga emas.

Menurut kajian, kurangnya aktiviti fizikal disebabkan oleh sekatan sosial juga boleh menyebabkan warga emas menjadi kurang aktif, menjadi lemah seterusnya berisiko untuk mengalami kejatuhan (fall). Begitu juga dengan pengurangan rangsangan kognitif yang disebabkan kurangnya interaksi sosial dan pergaulan dalam dunia fizikal, akan menyebabkan simptom demensia mereka akan menjadi lebih teruk.

Suasana ini akan menjadi lebih memilukan apabila terdapat sesetengah warga emas yang tinggal secara berseorangan. Ahli keluarga dan rakan-rakan mereka mungkin mengelakkan diri atau mengurangkan kekerapan untuk menziarahi mereka kerana kesan risiko jangkitan COVID-19 akan lebih teruk dialami oleh warga emas. Kesannya terhadap warga emas, mereka akan merasa tersisih dan terpinggir dari interaksi sosial dan boleh memburukkan simptom kemurungan mereka. Hal ini mungkin dapat diterima oleh warga emas yang berpengetahuan tentang isu pandemik dan jangkitan, namun kebanyakan warga emas yang tidak celik maklumat memerlukan penerangan yang jelas tentang bahaya COVID-19.

Semakin menambah buruk keadaan, warga emas dan penjaga mereka mungkin merasa takut untuk mendapatkan rawatan susulan di klinik dan hospital kerana bimbang akan risiko jangkitan yang mungkin lebih tinggi jika berada di fasiliti perubatan seperti klinik dan hospital. Natijahnya, pemantauan susulan tahap kesihatan mereka akan terkompromi dan menyebabkan status kesihatan mereka akan menjadi semakin teruk. Dalam kesediaan sistem tele-perubatan kita yang masih belum mencapai piawaian yang membolehkan penilaian dan khidmat nasihat perubatan berlaku dengan berkesan, hal ini akan menyebabkan warga emas tidak mampu untuk menala semula tabiat kesihatan yang baik, yang selalunya terjadi selepas mereka berjumpa pengamal perubatan secara fizikal.

Begitu juga dengan keterlibatan dan ketersediaan penjaga warga tua – yang menjadi tulang belakang kesihatan mereka. Ada dalam kalangan penjaga warga emas yang telah kehilangan punca rezeki kesan daripada COVID-19. Akibatnya mereka mengalami tekanan emosi disebabkan faktor kewangan mereka dan ditambah pula dengan keberadaan warga emas dalam jagaan mereka akibat penutupan pusat jagaan, sudah tentu bebanan emosi yang dipikul penjaga warga emas bertambah berat. Hal ini sudah tentu akan menambah risiko berlakunya kes-kes penderaan emosi dan fizikal warga emas.

Walaupun COVID-19 memberikan kesan psikososial yang agak merunsingkan buat warga emas, hal ini dapat dikurangkan dengan memberikan sokongan sosial kepada penjaga mereka. Sekiranya penjaga mereka mempunyai ketahanan mental, ihsan kendiri (self-compassion), dan kemahiran mengendali tekanan yang baik, secara langsung mereka akan memastikan kebajikan kesihatan warga emas dalam jagaan mereka juga baik.

Langkah kerajaan dalam memberikan bantuan kewangan kepada rakyat melalui PRIHATIN dan memulihkan sektor ekonomi melalui PENJANA adalah tindakan yang mampu melegakan rakyat buat seketika secara keseluruhannya. Ditambah dengan keringanan moratorium pembayaran pinjaman bank, sudah tentu ini akan memberikan ruang kepada rakyat untuk bernafas dalam kesempitan.

Namun begitu, lebih banyak bantuan perlu diperhalusi kepada individu yang mempunyai tanggungan warga emas. Bukan sahaja dari segi kewangan, namun juga dari segi sokongan emosi dan sosial berkaitan penjagaan warga emas. Saya percaya fasiliti perubatan membuka ruang pertanyaan seluasnya untuk berbincang tentang penjagaan kesihatan warga emas, termasuklah dari aspek bekalan ubat-ubatan dan simptom-simptom penyakit kronik.

Walaupun begitu, saya merasakan masih ramai yang belum memanfaatkan saluran-saluran seperti Ubat Melalui Pos (UMP), Farmasi Pandu Lalu dan Talian Sokongan Psikososial COVID-19. Institusi agama seperti JAKIM juga menyediakan khidmat kaunseling psikospiritual melalui Keluarga, Sosial dan Komuniti Care Centre (KSK) JAKIM. Walaupun khidmat di peringkat nasional ini mendapat respon yang tinggi semasa fasa PKP yang lepas, namun saya percaya institusi atau organisasi dalam komuniti setempat boleh melakukan pengesanan dan perawatan yang lebih setempat.

Buat warga emas pula, perhatian yang sewajarnya perlu diberikan perhatian terutama kepada mereka yang mempunyai masalah kesihatan yang kronik, terlantar akibat sakit dan mempunyai masalah kesihatan berkaitan kognitif agar tidak berlaku pengabaian terhadap hak-hak mereka.

Institusi seperti masjid-masjid dalam komuniti boleh melebarkan khidmat modaliti psikospiritualsosial mereka secara organik melalui pengesanan tanda-tanda tekanan yang dihadapi oleh warga emas dan penjaga mereka dalam kejiranan mereka, selain menyalurkan bantuan meringankan beban. Untuk anak-anak yang berjauhan daripada ibu bapa mereka, panggilan telefon dan video amat-amat membantu untuk melegakan kesunyian dan kerinduan mereka terhadap anak-anak.

Kerjasama padu antara kerajaan, agensi bukan kerajaan (NGO), organisasi komuniti dan persatuan-persatuan sokongan penjaga warga emas amat diperlukan untuk memastikan kesihatan dan kebajikan warga emas dan penjaga mereka berada dalam keadaan baik. Bersempena dengan Sambutan Hari Warga Emas Peringkat Dunia pada 1 Oktober 2020, bersama-sama kita menjaga, menyayangi dan menyantuni golongan emas dan memahami beban yang dipikul penjaga mereka, terutama sekali dalam fasa yang sukar sekarang.

Mohammed Rasheedan bin Ellin

Aktivis Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik)