KUALA LUMPUR 5 Jan. – Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik) telah menggerakkan ahli-ahlinya melalui Klinik Bergerak I-Medik ke beberapa lokasi di Pantai Timur bagi memberi bantuan kesihatan kecemasan dan perubatan yang diperlukan selepas bencana banjir besar yang berlaku baru-baru ini.
Setiausaha Agung I-Medik, Prof Dr. Azizi Ayob berkata, ahli-ahli terdiri daripda pakar dan doktor perubatan, doktor pergigian, ahli farmasi, jururawat, pembantu perubatan dan sukarelawan digerakkan secara berkala ke lokasi, terutama di kawasan banjir paling buruk.
“I-Medik mengerakkan 10 pasukan secara berkala yang mana pasukan pertama empat doktor telah berada di Kota Bharu, Gua Musang dan Kuala Krai seawal bencana banjir itu berlaku.
“Kami menghantar peralatan perubatan, ubat-ubatan yang lebih lengkap dengan dua pasukan yang terdiri daripada 10 petugas pada awal 1 Januari lalu, diikuti lima doktor dan petugas perubatan hari ini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut Dr. Azizi, I-Medik akan terus menghantar pasukan perubatan selagi diperlukan penduduk di lokasi bencana terbabit dan tidak terhad dengan waktu-waktu tertentu sahaja.
Kata beliau, Klinik Bergerak I-Medik menggunakan perkhidmatan kenderaan pacuan empat roda untuk memasuki beberapa lokasi sasaran yang memerlukan bantuan segera yang sukar ditembusi kenderaan biasa pihak kesihatan lain.
“Misi ini ada risikonya, bagaimanapun dengan pengalaman luas ahli-ahli I-Medik dalam misi bantuan kemanusiaan dalam dan luar negeri, kami yakin usaha ini boleh memberi manfaat kepada mangsa banjir,” katanya.
Untuk maklumat lanjut berkenaan misi I-Medik, orang ramai boleh layari www.imedik.org. – UTUSAN ONLINE