POKOK SENA, 25 DISEMBER 2017 – Perkampungan KEDA atau Lembaga Kemajuan Kedah(Kedah Regional Development Authority) ialah perkampungan yang dibina untuk menempatkan penduduk miskin. Rumah-rumah kecil dibina untuk memberikan mereka tempat berteduh yang selesa.
Pada hari tersebut, program Kit Bantuan Ke Sekolah telah berjaya diadakan dengan jayanya. Terpancar wajah-wajah ceria pelajar yang menunggu seawal jam 8 pagi untuk menerima sumbangan. Program dimulakan dengan bacaan doa serta ucapan wakil KEDA dan Dr Zulkifli selaku pengarah Program Kit Bantuan Ke Sekolah.
Sumbangan yang telah diberi oleh para dermawan dari kalangan rakan taulan ISMA Alor Setar serta I-Medik Kedah telah disampaikan kepada 104 pelajar dari KEDA Daerah Derang, Pokok Sena. Sumbangan berupa wang tunai, hamper peralatan tulis dan sebuah Al-Quran.
Pemeriksaan kesihatan secara percuma juga disediakan oleh petugas sukarelawan I-Medik semasa program berlangsung. Seramai lebih 30 orang penduduk dari kawasan sekitar tidak melepaskan peluang menjalani saringan kesihatan seperti pemeriksaan tekanan darah, paras gula dalam darah serta BMI. Terdapat juga perkhidmatan rundingan bersama doktor dan ubatan secara percuma diberikan kepada pelawat yang mempunyai masalah kesihatan.
Di samping itu, terdapat juga ‘Free market’ diadakan untuk waris yang menemani pelajar. Sambutan yang sangat menggalakkan dari kalangan pelajar dan waris amat mengujakan para sukarelawan.
Majlis disudahi dengan jamuan makanan ringan serta sesi ramah mesra bersama penduduk. Majlis bersurai sekitar jam 1130pagi.
Semoga Allah memberi ganjaran yang sebaiknya kepada yang telah menghulurkan bantuan.
I-Medik Kedah