Khidmat kejururawatan di Malaysia telah bergerak seiring dengan kehendak piawaian kesihatan dunia. Sebagai contoh, kadar nisbah jururawat kepada penduduk setakat pada pertengahan tahun 2016 telah mencapai nisbah 1 kepada 297 penduduk, hampir menyamai nisbah yang dicadangkan oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) iaitu 1 kepada 200 penduduk. Dengan jumlah jururawat sahaja seramai lebih 127, 000, Malaysia, kita telah mengatasi negara jiran Indonesia dengan nisbah 1 kepada 500 penduduk namun masih di belakang Singapura dengan nisbah 1 kepada 150 penduduk.
Sebagai sebuah komuniti penyedia kesihatan yang terbesar dalam sektor kesihatan di Malaysia, sudah tentu komuniti jururawat memerlukan kepimpinan yang berkualiti untuk terus membangun dari segi modal insan termasuklah penguasaan terhadap ilmu pengetahuan tentang dunia perubatan semasa dan juga kemahiran perawatan yang unik dan sentiasa dinamik.
Seiring dengan kehendak semasa dalam dunia perawatan, aspek pendidikan berterusan dan kepimpinan seorang jururawat tidak harus dipandang ringan. Hal ini sangat penting untuk meningkatkan keupayaan individu jururawat dalam pengurusan pesakit, baik dalam ruang klinikal mahupun komuniti. Dalam aspek kepimpinan pula, kemahiran mengurus tadbir organisasi sangat penting untuk menentukan hala tuju profesyen ini di masa hadapan. Pengembangan ilmu dan kepimpinan harus berlaku terhadap setiap jururawat untuk menambah baik imej dan professionalisma. Walaupun begitu, kadar pengembangan dan penaiktarafan ilmu dan kemahiran kepimpinan jururawat kadang-kala berhadapan dengan situasi yang sukar.
Sebagai contoh, jururawat yang mempunyai kelayakan diploma boleh menyambung pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda ataupun sijil pengkhususan pos basik. Namun apa yang berlaku adalah permohonan mereka disekat secara peribadi daripada ketua jabatan atau majikan. Pengalaman yang dikongsi oleh beberapa orang rakan jururawat memaklumkan ada segelintir ketua jabatan atau majikan menolak mentah-mentah permohonan untuk meneruskan pengajian, walaupun calon telah layak bahkan melepasi syarat minimum untuk ke program berkenaan.
Dalam skop kepimpinan pula, dalam organisasi kejururawatan rasmi atau tidak rasmi, barisan pemimpin sepatutnya bersifat lebih terbuka kepada idea-idea baharu yang diutarakan oleh generasi muda yang sememangnya dilakukan untuk kebaikan organiasasi. Wujudnya pemimpin yang berasa takut dengan idea-idea baharu adalah kerana mereka sendiri tidak menyiapkan diri dengan ilmu-ilmu baharu dan selesa dengan posisi yang diberikan. Mereka berasa terancam lantas satu-satunya kaedah untuk menyelamatkan diri adalah dengan menyekat tenaga-tenaga baharu ini dengan kuasa yang diberikan. Harus diingat, pemimpin dalam sesebuah organiasasi ibarat kepala kepada badan. Mereka adalah lambang kekuatan, persatuan, keutuhan dan disiplin organisasi. Kepimpinan yang diteladani adalah kepimpinan yang menjaga kepercayaan ahli kepada diri mereka, bukannya memusnahkan atas kepentingan peribadi.
Ingat, kedudukan pemimpin tidak boleh menjadi rebutan dan tempat untuk melempias cita-cita peribadi kerana kepimpinan adalah tanggungjawab dan amanah yang akan dimintai pertanggungjawaban di hadapan Allah s.w.t. Posisi kepimpinan tidak harus disalahgunakan oleh individu-individu tertentu untuk mengaut kepentingan peribadi, apatah lagi mengaut keuntungan berbentuk pangkat, harta dan wang ringgit yang dikerah daripada ahli-ahli. Sekiranya berlaku sembang belakang daripada ahli-ahli tentang ketidakpuasan terhadap kepimpinan semasa, pemimpin haruslah muhasabah dan melakukan perbaikan yang berterusan. Kini segalanya sangat mudah dan terbuka, kecanggihan teknologi telah menjadikan media sosial seperti “Facebook” dan “Whatsapp” sebagai tempat meluah rasa tidak puas hati dan marah segelintir jururawat kepada pemimpin atau ketua mereka. Sebagai ketua, hal ini harus dipandang serius dan sepatutnya mereka bersifat terbuka mendengar luahan dan menggalakan proses kritik secara sihat dan terkawal.
Jika dikaji, hal ini mungkin berpunca daripada sikap mementingkan diri dan jawatan sendiri, ingin mendominasi dan perasaan tidak ingin orang lain lebih baik daripada dirinya yang lahir daripada sifat ego dan mempunyai hawa nafsu yang besar. Orang Hokkien membahasakannya sebagai “kiasu”. Sifat ini tidak harus wujud dalam diri seorang ketua jururawat, ketua jabatan atau sesiapa sahaja individu yang menjadi pemimpin. Sekiranya wujud, organisasi yang dipimpin akan mengalami kesukaran untuk berubah dan hanya berpegang kepada ilmu lama yang sudah lapuk. Pendek kata, tiada transformasi.
Sebab kedua munculnya sifat hasad itu ialah bersikap sombong (takbur), iaitu merasa diri sendiri yang paling baik, paling benar atau paling hebat. Daripada sifat dan sikap seperti ini, seseorang itu tidak suka terhadap kejayaan dan kemajuan yang dicapai oleh orang lain sehingga kemajuan dan kejayaan orang lain itu harus dihadang, bahkan kalau perlu dihentikan dengan berbagai-bagai cara. Dari sinilah salah satu faktor yang menyebabkan lahirnya perilaku yang tidak diingini dan akhlak tercela dalam hubungan antara manusia terhadap manusia yang lain, bahkan menolak nilai-nilai kebenaran yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w.
Islam menyediakan penyelesaian terhadap apa sahaja isu yang melanda. Di dalam al-Quran, Allah menggambarkan peristiwa di mana golongan kuffar dari kaum Yahudi dan Nasara yang memendam hasad dengki dan iri hati kepada Baginda. Oleh kerana itu, Allah s.w.t berpesan kepada Nabi Muhammad s.a.w dan para sahabat agar bersabar dan terus memperkukuhkan ketakwaan kepada Allah s.w.t dalam menghadapi sikap mereka.
Allah s.w.t telah berfirman, yang bermaksud:
Jika kamu memperoleh kebaikan, nescaya mereka bersedih hati, tetapi jika kamu mendapat bencana, mereka bergembira kerananya. Jika kamu bersabar dan bertakwa, nescaya tipu daya mereka sedikit pun tidak mendatangkan kemudaratan kepadamu. Sesungguhnya Allah s.w.t mengetahui segala apa yang mereka kerjakan. (Ali-Imran: 120)
Oleh kerana kesombongan atau hasad dengki merupakan sesuatu yang sangat buruk, maka sewajarnyalah Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Tidak masuk syurga orang yang di dalam hatinya terdapat sifat sombong meskipun hanya sebesar biji sawi.”
Kepada ketua dan pemimpin jururawat sekalian, Allah swt juga berpesan kepada kita agar menjauhi sifat hasad dengki ini.
“Dan janganlah kamu iri hati terhadap apa yang telah dikurniakan Allah s.w.t kepada sebahagian kamu lebih banyak dari pada sebahagian yang lain.” (Surah al-Nisaa: 32)
Kami di I-Jururawat mengajak kita semua untuk membersihkan semula hati, niat dan perasaan cinta kita kepada profesyen kejururawatan yang mulia ini. Sebagaimana kita mulia kepada pesakit, begitu juga halnya kita sebagai pemimpin harus menunjukkan sifat mulia dan menghargai ahli-ahli di bawah kepimpinan kita. Pemimpin yang didambakan ialah pemimpin yang bersifat terbuka, berpandangan jauh, memberikan inspirasi dan yang paling penting mempunyai hati yang jernih. Saya yakin, sekiranya ahli-ahli kita yang mempunyai kepakaran baru, technology savvy, berkarisma diberikan ruang untuk ke hadapan, profesyen kita akan bingkas bangun lebih cemerlang di masa hadapan.
Wassalam.
Mohammed Rasheedan bin Ellin
Timbalan Pengerusi I-Jururawat
Jururawat UNIMAS