Kemuliaan kerjaya seorang jururawat tertakluk bagaimana seseorang itu mentakrifkan nilai kemuliaan tersebut. Ada yang melihat kesanggupan jururawat yang kerjanya bergelumang dengan najis, nanah dan darah pesakit sebagai satu kemuliaan. Ada yang membayangkan kesabaran seorang jururawat berjaga malam semata-mata untuk memastikan keadaan pesakit sentiasa stabil sebagai satu kemuliaan. Tidak kurang juga, ada yang membayangkan jururawat yang terpaksa meredah hutan belantara untuk memberi khidmat perawatan kepada komuniti terpencil sebagai satu kemuliaan. Ada banyak lagi episod-episod kemuliaan seorang jururawat yang terakam baik di wad hospital, klinik, pusat jagaan mahupun di pusat-pusat kesihatan yang letaknya jauh nun di pedalaman. Semua bekerja atas ikrar seorang jururawat yang akan memberikan khidmat terbaik untuk kesembuhan seorang pesakit.
Sedikit kemuliaan yang sempat diceritakan adalah suatu realiti semasa yang sedang dan terus berlaku, para jururawat terus memberikan khidmat bakti setulus hati bagi memastikan pesakit berada dalam keadaan yang terbaik. Penyelidikan demi penyelidikan dijalankan untuk memastikan seorang jururawat dapat mempraktikkan nilai perawatan yang terkini dan berkesan. Konvensyen, persidangan dan seminar semakin kerap diadakan untuk memberikan pendedahan kepada jururawat tentang penyelidikan dan teknologi terkini. Kemudahan teknologi juga meningkat dengan penghasilan peranti-peranti yang memudahkan jururawat memantau keadaan kesihatan pesakit dengan tepat dan cepat. Boleh dikatakan, secara umumnya, khidmat perawatan di Malaysia telah maju seiring dengan piawaian antarabangsa.
Namun, saya ingin mengalih sebentar perhatian para jururawat sekalian, khusus kepada jururawat muslim. Pendefinisian kemuliaan bagi seorang jururawat muslim tidak cukup dengan kisah-kisah yang saya paparkan di awal artikel. Seorang jururawat muslim sebenarnya mempunyai peranan yang besar dalam bidang kesihatan.
Pertama sekali, seorang jururawat harus memurnikan semula niat yang paling asas dalam kehidupan. Kenapa kita diciptakan dan berada di hospital, wad, klinik dan pelbagai lagi pusat rawatan? Adakah pekerjaan kita itu semata-mata untuk menerima gaji di penghujung bulan dan seterusnya akan habis dan menunggu pula untuk bulan yang berikutnya? Adakah kesetiaan kita terhadap kerjaya semata-mata untuk menerima imbuhan kenaikan gaji tahunan, kenaikan pangkat, khidmat cemerlang dan pelbagai lagi insentif pekerja yang ditawarkan? Adakah kecerdikan kita dalam bidang perawatan cukup sekadar untuk menghasilkan jurnal-jurnal penyelidikan, menghabiskan empat sehingga lima tahun untuk ijazah kedoktoran perawatan? Bagi pengajar jururawat, adakah tanggungjawab mendidik para jururawat cukup sekadar untuk memastikan mereka bekerja mengikut “Code of Conduct” dan “Code of Ethic” sahaja? Sudah semestinya tidak cukup sekadar itu.
Mengapa saya katakan begitu? Saya ingin menyeru kepada jururawat untuk kembali kepada tugas seorang manusia yang paling asas. Mudah. Kita diciptakan untuk menjadi seorang khalifah dan seorang hamba dan ini jelas diperintahkan oleh Allah swt dalam Al-Quran. Justeru, peranan sebagai seorang muslim tidak pernah terlepas dari bahu apabila kita mengenakan pakaian seragam seorang jururawat. Semasa belajar, jururawat telah dididik dengan sifat empati dan cara berkomunikasi dengan berkesan. Ini adalah aset penting yang dimiliki oleh jururawat yang menyebabkan mereka adalah individu yang paling dekat dan berpotensi untuk mendakwahi pesakit-pesakit. Kaedah dakwah di sini bukanlah bermaksud untuk berceramah satu-dua jam kepada pesakit kerana ini bukan tabiee dalam kerjaya jururawat.
Menjadi seorang pesakit bukanlah satu pilihan bagi manusia yang sihat. Tidak seorang pun manusia yang menyukai untuk duduk di hospital dan menerima perawatan yang menyakitkan seperti terpaksa dicucuk jarum, menelan ubat yang pahit selain menahan kesakitan fizikal yang sedia ada. Penyerahan diri dan jiwa mereka untuk dirawat di klinik dan wad hospital sudah tentu mereka telah meletakkan harapan kesembuhan mereka kepada kakitangan hospital. Justeru, ini merupakan satu lagi faktor penting yang menyebabkan jururawat dan anggota kesihatan yang lain mempunyai peluang yang cerah untuk mempengaruhi atau dengan nama lain mendakwahi pesakit-pesakit.
Sudah tentu ada yang bertanya, apakah yang perlu saya lakukan untuk mendakwahi pesakit-pesakit di wad? Ini berbalik semula kepada bagaimana kita memahami tanggungjawab dakwah ini kepada diri kita. Dakwah dengan penjelasan yang mudah adalah untuk mengembalikan semula pengharapan dan ketundukan mereka (pesakit) kepada Allah s.w.t. Hal ini merangkumi cakupan agama yang luas. Antara sudut yang seharusnya menjadi titik-tekan adalah dalam soal aqidah, ibadah dan juga fiqh perawatan.
Aqidah adalah tunjang utama kehidupan manusia. Hal ini tidak cair atau longgar apabila manusia bergelar seorang pesakit, bahkan perkara inilah yang paling harus ditekankan oleh seorang jururawat. Seorang jururawat harus memeriksa kembali pergantungan harapan pesakit ini kepada siapa. Nasihat semudah, “Pakcik, kita akan berusaha yang terbaik untuk kesembuhan pak cik, tetapi segala natijah dan keputusannya, Allah yang akan menentukannya” sudah tentu akan mengetuk pintu hati pesakit untuk sama-sama meletakkan pergantungan mereka kepada Allah swt. Ketika kita memberi ubat untuk pesakit, latih diri untuk memberi nasihat agar pesakit berdoa kepada Allah swt untuk kesembuhan. Ubat yang kita berikan adalah ikhtiar yang wajib dilaksanakan oleh seorang manusia. Beberapa perkara seperti inilah yang perlu dilaksanakan oleh seorang jururawat muslim. Memang pada pengawalannya agak sukar untuk dilaksanakan, tetapi optimislah dengan pepatah Melayu, alah bisa tegal biasa.
Kedua, mengambil perbincangan dalam sudut peribadahan seorang pesakit. Berapa ramai daripada pesakit di wad-wad hospital yang melaksanakan solat? Saya yakin para jururawat muslim mengetahui bahawa menunaikan solat adalah wajib bagi setiap manusia yang masih sedar dan berakal waras. Oleh hal yang demikian, menjadi tanggungjawab seorang jururawat muslim untuk memastikan pesakit-pesakit di bawah jagaannya melaksanakan perintah Allah ini. Cuba lihat susunan buku rujukan perubatan dan perawatan di wad, adakah wad atau unit anda menyimpan sebarang rujukan tentang fiqh perubatan? Hal ini akan menyebabkan jururawat tidak mempunyai sebarang usaha serius untuk mlengkapkan diri mereka dengan ilmu fiqh perubatan. Begitu juga semasa seorang jururawat bergelar seorang pelajar, saya akui, tiada satu silibus pun yang menyentuh akan persoalan penting ini. Baik dalam subjek teras ataupun generik. Yang ada hanyalah seminar sehari dua yang diikhtiarkan oleh persatuan surau. Hal ini sudah tentu tidak mencukupi sama sekali untuk membincangkan isu fiqh perubatan yang agak panjang perbahasannya.
Para jururawat harus sedar, bahawa cabaran yang mereka hadapi tidak sama dengan cabaran seorang jururawat yang bertugas semasa zaman pasca penjajahan. Kini, dengan menularnya usaha gerakan-gerakan dakyah daripada agama lain, sudah tentu menjadi ancaman yang paling merbahaya dalam institusi perawatan. Sepanjang pengalaman saya bergelar seorang jururawat, sudah beberapa kali saya melihat kelompok-kelompok pendakyah Kristian keluar masuk wad hospital. Bukan untuk mengajarkan mereka tentang Kitab Injil dan Kristian, tetapi untuk memberi sedikit sumbangan waima sebiji gula-gula. Lemahnya pergantungan pesakit kepada Allah, goyahnya aqidah Islam, dan tiadanya pemantauan berkesan daripada jururawat-jururawat muslim sudah tentu ini menjadi jalan masuk yang mudah bagi gerakan-gerakan agama lain untuk memurtadkan orang Islam atas tiket kerja-kerja kebajikan. Persoalan buat para jururawat, adakah anda hanya menjadi jururawat yang keluar masuk kerja untuk memerhati keadaan fizikal pesakit semata-mata sedangkan spiritual atau aqidah pesakit telahpun jauh menyeleweng. Sekali lagi, peranan ini tidak akan dirasakan oleh jururawat tanpa diri mereka sendiri memahami hakikat kehidupan sebenar seorang Islam. Lalu jari telunjuk laju menuding kepada golongan agamawan yang tidak berbuat sedemikian rupa, sedangkan tugas itu milik mereka.
Di mana letaknya sebenarnya kemuliaan pekerjaan seorang jururawat? Adakah anda hanya terperangkap dengan pemikiran dan teori-teori kejururawatan yang diimport dari barat sahaja tanpa menelaah ilmu memandu umat yang turun dari langit yang sudah tentunya lebih sejahtera buat mereka? Adakah anda hanya cekap mengendalikan peralatan-peralatan canggih di wad, tetapi pada masa yang sama sifar ilmu fiqh perawatan pesakit? Teman jururawat, tidak perlu untuk anda menjadi jururawat senior baru hendak memulakan kerja-kerja dakwah (itupun jika sudah ada kesedaran). Anda juga tidak perlu bertukar profession menjadi seorang ustaz atau ustazah barulah kata-kata hikmah penuh nasihat keluar daripada bibir anda. Sebaliknya, tetaplah memakai pakaian seragam jururawat, namun lengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan agama dan sebarkanlah nasihat-nasihat yang agung untuk manusia kembali menyerahkan ketundukan dan pengharapan mereka kepada Allah swt dalam apa jua situasi.
Marilah kita menilai semula, sejauh mana ‘noble profession’ yang kita iqrarkan pada setiap kali hari jururawat menjadikan kita manusia yang faham hakikat sebenar kemuliaan seorang insan. Dalam al-Quran jelas sekali menceritakan tentang kata-kata siapakah yang paling mulia? Siapa lagi melainkan kata-kata yang mengajak kepada Allah swt. Seharusnya anda menilai kemuliaan kerjaya anda berdasarkan neraca tersebut, bukan sekadar pengorbanan berbentuk kebajikan manusiawi semata-mata. Jika begitu, tiada bezalah antara anda dan jururawat bukan muslim yang lain?
Mohammed Rasheedan b Ellin
(Penulis adalah seorang jururawat yang berkhidmat di bilik pembedahan, Hospital Pakar KPJ Kuching, Sarawak. Beliau juga salah seorang aktivis Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslimin Malaysia (I-Medik). Menerima pendidikan kejururawatan peringkat Ijazah Sarjana Muda Kepujian dari Universiti Malaysia Sarawak)