#KitaJagaKita

Kempen Katakan Tidak pada Zina langkah wujudkan belia bebas zina

imedik kelate

PENGKALAN CHEPA, 1 Mac- “Penerapan gaya hidup Islam secara keseluruhan di peringkat masyarakat dan juga keluarga adalah penting dan tidak dinafikan dapat mengelakkan golongan belia dari terjerumus ke dalam kancah perzinaan yang semakin meruncing saban hari,” jelas Dr Wan Muhd Riduan Wan Jaffar selaku pengarah program kepada Kempen Katakan Tidak Kepada Zina, di sini hari ini.

Dengan penganjuran program ini, dapat memberi penerangan penting mengenai bahaya zina dari sudut agama, kesihatan fizikal mahupun psikologi kepada golongan belia dan juga pendedahan kepada cara mencegah dan mengatasi masalah ini, demikian tambahnya lagi.
Slot awal program diisi dengan ceramah mengenai ‘Adakah anda sudah remaja/dewasa?- Psikologi dan Peranan’ oleh Dr Siti Nurfazihan Najid diikuti oleh ceramah ‘Remaja dan Kesihatan Reproduktif’ oleh Dr Wan Muhd Riduan sendiri telah banyak memberi penekanan terhadap kesan bahaya zina dalam diri remaja itu sendiri di samping mereka juga banyak berkongsi bagaimana mereka menghadapi pesakit-pesakit yang terlibat dengan kes-kes zina ini.
IMG_2161
Kemudian, program diteruskan lagi dengan forum, menampilkan tiga panel yang terdiri daripada Ustaz Abdul Karim Mohamed, Dr Rozanizam Zakaria dan Saudari Noraini Yusoff membincangkan isu ‘Zina – Pandangan dari Perspektif Islam, Kesihatan dan Psikologi’ yang lebih memfokuskan langkah pencegahan dan juga rawatan kepada masalah zina dari sudut peranan golongan belia dan masyarakat amnya.
Sepanjang program dilaksanakan, wakil I-Medik juga telah menawarkan pemeriksaan kesihatan secara percuma kepada para peserta program di samping memperkenalkan kepada umum mengenai aktiviti sukarelawan I-Medik Kelantan sepanjang ia ditubuhkan.
IMG_2190
“Saya berharap program seperti ini dapat dianjurkan lagi kelak di institut pengajian tinggi tempatan yang lain sebagai langkah yang sihat dan permulaan yang baik dalam membina generasi yang bebas zina serta mengamalkan cara hidup Islam yang sebetulnya,” berkata beliau yang juga seorang doktor di Klinik Kesihatan Tumpat sebagai mengakhiri temu ramah ini.
Program separuh hari yang diadakan di Dewan Terbuka Universiti Malaysia Kelantan Kampus Kota ini berjaya dilaksanakan dengan anjuran bersama I-Medik cawangan Kelantan, PEMBINA Kota Bharu dan juga pihak pentadbiran universiti sendiri.
Oleh,
Wartawan Media I-Medik Kelantan