#KitaJagaKita

Influenza : Sentiasa basuh tangan guna air, sabun

WhatsApp Image 2020-01-13 at 11.20.57 PM

 

Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa mengamalkan cara hidup sihat dan meningkatkan tahap kebersihan bagi mengelakkan dijangkiti virus influenza.

Walaupun trend jangkitan menunjukkan peningkatan, Pengerusi Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik) Kuala Lumpur, Dr Ahmad Muslim Ahmad Roslan berkata, kes influenza di negara ini masih lagi dalam julat normal dan hampir sama seperti tahun sebelumnya.

Bagaimanapun, katanya, langkah pencegahan perlu dilakukan bagi mengelakkan trend jangkitan terus meningkat, khususnya kepada golongan berisiko tinggi seperti kanak-kanak, orang tua, wanita mengandung serta pesakit kronik.

“Kita nasihatkan orang ramai supaya sentiasa membasuh tangan dengan menggunakan air dan sabun atau ‘hand sanitizer’. Influenza berjangkit melalui titisan pernafasan dari orang yang telah dijangkiti, sama ada dari batuk, bersin atau percakapan.

“Ia juga kadang-kadang berjangkit melalui sentuhan pada permukaan atau objek yang ada virus dan kemudian menyentuh kawasan ke muka sendiri,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Dr Ahmad Muslim berkata, jangkitan influenza juga boleh membawa gejala ringan kepada komplikasi lain seperti wabak radang paru-paru (Pneumonia), jangkitan telinga, sinus dan berisiko membawa maut.

“Gejala ringan biasanya bagi individu yang mempunyai daya imun yang kuat. Gejala itu antaranya demam selsema, sakit tekak, batuk, sakit kepala, sakit otot, sakit sendi dan kelesuan.

“Bagaimanapun, ada juga yang mendapat muntah dan cirit-birit, di mana kebiasaannya berlaku pada kanak-kanak,” katanya.

Sehubungan itu, Dr Ahmad Muslim menasihatkan orang ramai supaya mendapatkan vaksinasi influenza di klinik, terutama bagi golongan yang berisiko tinggi.

“Bagi mereka yang dijangkiti pula diingatkan untuk berehat di rumah dan kurangkan pergaulan rapat dengan orang lain, selain memakai topeng muka jika perlu.

“Pastikan hidrasi badan cukup dengan minum air banyak, selain segera berjumpa doktor sekiranya gejala menjadi lebih teruk atau tidak berkurangan,” katanya.