PUTRAJAYA, Sabtu – Malaysia tidak boleh mengukur keberkesanan pendidikan seksual terhadap masyarakat tempatan berdasarkan kepada indeks yang ditetapkan oleh negara barat.
Pengerusi Pengerusi Pertubuhan Ikatan Wanita Antarabangsa bagi Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (WAFIQ), Prof Dr. Rafidah Hanim Mokhtar berkata, masyarakat di Malaysia mempunyai budaya yang berbeza daripada negara barat serta mengamalkan gaya hidup berdasarkan nilai-nilai agama Islam.
Tambahnya, masyarakat di negara barat menganggap kadar penggunaan pil perancang yang tinggi adalah satu petanda yang baik, namun jelas bertentangan dengan budaya di Malaysia dan ajaran Islam.
“Indeks kita bukan indeks yang ambil pil perancang. Ini indeks daripada reproduktif barat. A good society kepada mereka adalah peratusan penggunaan pil perancang yang tinggi. Itu bukan indeks kita.
“Jadi kita ingin jaga hubungan yang baik antara anak-anak apabila mereka masuk ke alam perkahwinan. Kita tak sedar bila hubungan seksual yang tidak dipandukan oleh perkahwinan ini merosakkan banyak hubungan-hubungan yang sihat akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pelancaran ReproAlert Modul Pendidikan Seksualiti dan Kesihatan Reproduktif di The Everly, Putrajaya, hari ini.
Pelancaran modul itu disempurnakan oleh Ahli Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Zainal Abidin Shaik Zakaria.
Dr Rafidah juga menegaskan kepentingan menilai semula sesetengah perbuatan yang sering dilakukan atas dasar budaya dalam kalangan masyarakat, namun hakikatnya adalah satu bentuk antun seksual.
Gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) i-Medik dan WAFIQ membangunkan modul berkenaan sebagai panduan merangkumi aspek rohani, psikologi, kognitif, emosi, sosial, fizikal dan biologi.
Modul ini mengambil masa lebih dua tahun untuk disiapkan dan mempunyai 14 topik berkait rapat dengan situasi dan sosiobudaya Malaysia.
Pada masa yang sama, kempen tanda pagar say no to zina juga masih diteruskan seiring pelancaran modul retrop alert ini , kerana kaitannya terutama bagi remaja Islam.
Majlis turut dihadiri NGO I-Medik dan Yayasan Ikhlas, sebagai rakan kerjasama untuk menyebar luaskan modul reproalert untuk meningkatkan kesedaran masyarakat berkaitan kesihatan reproduktif.