#KitaJagaKita

I-Medik: KAWAL SELIA ROKOK ELEKTRONIK, VAPE PERLU KE ARAH PENGHARAMAN DEMI KESIHATAN RAKYAT

12241171_997082937024276_2662104069502491911_n (1)

Pada 28 Oktober 2016 yang lalu, mesyuarat Jemaah Menteri telah memutuskan penggunaan rokok elektronik dan vape dikawal selia oleh tiga kementerian, iaitu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Sehubungan dengan itu, Pertubuhan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik) berpendapat langkah tersebut harus dilihat sebagai hanyalah langkah awal ke arah usaha yang lebih tegas untuk mengharamkan penggunaannya sama sekali.

Ini kerana rokok eletronik dan vape, samada mengandungi nikotin atau tidak tetap akan mendatangkan kesan sampingan kepada kesihatan.

Usaha berterusan harus dijalankan agar rokok elektronik tidak membudaya di dalam masyarakat sebagaimana rokok, terutama bagi generasi remaja. Ini penting kerana dilaporkan bahawa terdapat 300,000 pengguna rokok elektronik dari kalangan remaja.

Dalam satu kajian melibatkan pelajar-pelajar sekolah di Selatan California, Amerika Syarikat, dimana pelajar dipantau penggunaan vape atau rokok selama 16 bulan, dilaporkan pelajar yang menggunakan rokok elektronik mempunyai 6 kali lebih kecenderungan memulakan tabiat merokok.

Manakala kajian saintis dalam laporan terbaru 2016 menunjukkan formaldehyde yang terhasil dari proses pembakaran “combustion ” cecair vape, yang melalui rongga hidung dan paru-paru, boleh merosakkan gen-gen yang berfungsi untuk melawan jangkitan kuman sama seperti asap rokok, walaupun cecair vape itu tidak mengandungi nikotin. Ini meningkatkan risiko penyakit ke atas pengguna vape.

I-Medik mengalu-alukan keputusan bahawa Kementerian Kesihatan Malaysia kekal mengawal selia penjualan cecair rokok elektronik yang mengandungi nikotin di bawah Akta Racun 1952, dan Akta Jualan Dadah 1952, menjadikan penjualan sediaan yang mengandungi nikotin hanya dibenarkan oleh farmasi berlesen dan pengamal perubatan berdaftar untuk tujuan rawatan perubatan.

Penggunaan vape tanpa nikotin pula akan tetap dikawal ketat di bawah akta baru Kementerian Kesihatan Malaysia bagi menggantikan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 bagi mengawal seliaan penjualan, promosi dan pelabelan yang berkaitan dengan kesihatan , juga larangan penggunaannya bagi orang di bawah umur.

Ini harus dilihat sebagai satu titik permulaan agar penggunaan rokok elektronik dapat diharamkan sepenuhnya di masa hadapan. Selain dari sebab kesihatan, pengguna Muslim wajar mematuhi pengharaman rokok elektronik seperti yang diputuskan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan dan Majlis – majlis Fatwa Negeri .

round_DrRafidahProf Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar
Naib Presiden
Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik)