#KitaJagaKita

I-Medik hantar misi pertama perubatan ke Gaza

gaza 2

KUALA LUMPUR, 17 Julai – Krisis peperangan yang berlaku di Palestin telah mendorong Ikatan Pengamal Perubatan dan Sains Kesihatan Malaysia (I-Medik) untuk menghantar misi perubatan ke Gaza. Di fahamkan bahawa kumpulan 5 pakar perubatan yang di hantar merupakan kumpulan perubatan pertama daripada Malaysia ke sana.

gaza 3

Dalam temubual bersama Timbalan Presiden I-Medik yang merupakan ketua misi Dr Mohamad Nor Sundari, Pakar Perunding Bedah Ortopedik, misi ini adalah bertujuan untuk memberikan bantuan perubatan kepada mangsa serangan ketenteraan penjajah Zionis ke atas Gaza yang dilakukan secara bertubi-tubi sejak 7 hari yang lalu.

gaza 2

Selain daripada melakukan pembedahan dan memberikan rawatan perubatan yang diperlukan, pasukan ini juga akan membawa ubat-ubatan dan peralatan perubatan ke wilayah yang terkepung ini dan akan menilai sejauh mana keperluan perubatan bagi membantu persiapan untuk kumpulan-kumpulan yang akan menyertai misi selepas ini.

gaza 1

Selain Dr Mohamad Nor Sundari yang sudah menyertai misi buat kali ketiga, misi kali ini merupakan misi perubatan pertama bagi empat pakar yang lain iaitu Dr Zairul Nizam Zainol Fitri (Pakar Perunding Bedah Ortopedik dari Hospital Pakar Senawang, Seremban),Dr Mafeitzeral Mamat Bin Mamat (Pakar Perunding Bius Anaesthesiologist dari Fakulti Perubatan UiTM), Dr Hasbe Zuraina Abu Bakar (Pakar Bedah Bius dari Hospital Columbia, Setapak) dan Dr Kamarul al-Haq B. Abdul Ghani (Pakar Bedah Trauma dari Hospital Serdang).

Semoga misi kali ini berjaya dan menjadi salah satu bukti solidariti umat Islam di Malaysia dengan umat Islam di Palestin.