#KitaJagaKita

I-MEDIK: BANTAHAN KE ATAS CUKAI DUTI EKSAIS ROKOK ELEKTRONIK DAN VAPE

KENYATAAN MEDIA

I-MEDIK: BANTAHAN KE ATAS CUKAI DUTI EKSAIS ROKOK ELEKTRONIK DAN VAPE

(5 November 2021)

Cadangan kerajaan melalui Belanjawan 2022 untuk mengenakan duti eksais ke atas rokok elektronik (e- cigarette) dan vape yang mengandungi nikotin telah dibantah oleh 43 buah NGO, badan-badan kesihatan dan perubatan serta masyarakat sivil yang sedar akan keburukannya kepada kesihatan rakyat dan generasi muda. Kenyataan rasmi mereka telah dikeluarkan pada 30 Oktober 2021 yang lalu untuk menggesa kerajaan agar terus mengharamkan penjualannya di Malaysia.

Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik) turut bersama gabungan NGO ini berpendirian bahawa pengenalan cukai ini akan terus membuka peluang kepada industri rokok elektronik dan vape berkembang di Malaysia. Ini akan merencatkan usaha Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam mengurangkan jumlah perokok daripada 40% kepada 15% populasi menjelang 2025 dan mencapai END GAME iaitu 5% populasi pada 2045.

I-Medik turut menggesa kerajaan untuk komited dengan Framework Convention on Tobacco Control (FCTC) di bawah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk mengurangkan jumlah perokok dan kesannya di kalangan penduduk melalui polisi dan undang-undang yang lebih ketat.

Kawalan ke atas rokok penting bagi mengurangkan risiko komplikasi penyakit jantung, stok, asthma dan paru- paru kronik serta penyakit kanser mulut dan paru-paru kepada penghisapnya yang telah dibuktikan melalui kajian-kajian saintifik. Kesan kepada orang sekeliling sebagai secondary smoker juga dapat dilihat pada pasangan dan anak-anak para perokok.

Alternatif Rokok Konvensional

Rokok elektronik adalah peranti elektronik yang digunakan untuk memanaskan cecair bagi menghasilkan wap untuk disedut oleh penggunanya. Pada asalnya ia adalah alternatif kepada perokok tegar untuk berhenti merokok kerana kandungan nikotin yang boleh dikurangkan sehingga mereka berhenti merokok.

Vape pula dicipta menggunakan konsep yang sama namun kandungan cecairnya boleh diubah oleh penjual atau pengendali vape sendiri. Vape juga seringkali dikenali dengan pelbagai nama lain seperti ‘E-Cigs’, ‘mods’, ‘E-Hookahs’, ‘pod’ ataupun ‘Vape Pen’.

Kandungan Cecair Berbahaya

Kandungan utama cecair rokok elektronik dan vape adalah propylene glycol yang berasaskan sisa petroleum dan minyak gliserin yang berpunca dari tumbuhan. Kedua-duanya digunakan kerana mudah dipanaskan menjadi wap air yang tebal. Perisa manis seperti perisa anggur, mangga dan strawberi kemudiannya ditambah untuk menghilangkan rasa pahit dari propylene glycol.

Cecair vape ini boleh ditambah kandungannya termasuklah nikotin dan dadah seperti marijuana yang boleh menyebabkan ketagihan. Selain itu, formalin, timah, serta merkuri juga ditemui di dalam cecair vape dan ini boleh meningkatkan risiko untuk mendapatkan kanser.

Oleh yang demikian, tanpa kawalan, sebarang bahan berbahaya boleh dimasukkan dan dibimbangi menyebabkan bukan sahaja kerosakan kepada paru-paru tetapi kerosakan kepada otak dan saraf pengguna. Strategi penjualan vape pula menjadikan ia lebih mudah diterima kerana dipakejkan mengikut pelbagai perisa, bentuk dan saiz. Dengan cara ini, ia lebih mudah mempengaruhi golongan kanak-kanak dan remaja untuk mengambilnya kerana kelihatan seperti alat mainan serta gula-gula atau lolipop dan disangka tidak berbahaya.

Kawalan Penjualan Produk Bernikotin

Penjualan rokok elektronik bernikotin sepatutnya dikawal di bawah Akta Racun melalui pemantauan KKM. Di negara-negara Eropah pula, rokok elektronik dijual di farmasi dengan dos nikotin yang terkawal sama seperti ubat menghentikan ketagihan rokok contohnya nicotine patch. Beberapa negara Islam dan Asia Tenggara pula telah mengharamkan penjualan rokok elektronik dan vape. Dari sudut agama, Majlis Fatwa Kebangsaan juga telah mengharamkan penggunaan rokok dan vape.

Namun begitu, sehingga hari ini, tiada undang-undang khusus berkenaan kawalan penjualan rokok elektronik dan vape di Malaysia. Ini menyebabkan industri vape telah berkembang dengan sangat pesat sehingga hampir 3000 kedai vape dibuka di seluruh Malaysia dengan pendapatan bernilai purata hampir RM400 juta setahun.

Mengejutkan lagi apabila industri vape Malaysia adalah kedua terbesar di dunia selepas Amerika Syarikat (USA) dan yang terbesar di Asia. Satu kajian International Tobacco Control (ICT) Project mendapati Malaysia merupakan negara dengan kadar penggunaan vape tertingggi iaitu 14% (seramai 1.12 juta orang) berbanding Korea dan Australia yang hanya pada kadar 7% setiap negara.

Statistik ini bukanlah suatu kebanggaan malah Malaysia perlu mengambil iktibar dari pengawalan dan pengharaman vape di beberapa negara di seluruh dunia. Ini kerana mereka lebih prihatin dan beretika dalam mengutamakan kesihatan rakyat berbanding sumber ekonomi negara.

Tambahan pula kos perubatan penyakit-penyakit disebabkan oleh rokok adalah RM3 bilion setahun dan ia semakin meningkat. Adakah berbaloi untuk kita menanggung kesan kesihatan penduduk demi meningkatkan pendapatan negara?

Perketatkan Undang-Undang

Sehingga kini undang-undang kawalan produk tembakau di bawah Akta Makanan 1983 hanya terpakai untuk penjualan rokok di kedai-kedai dan restoran. Ia juga melibatkan penguatkuasaan larangan merokok di kawasan awam dan restoran yang telah dimulakan pada tahun 2020 dan merupakan tindakan penting dalam mengurangkan pendedahan asap rokok sekunder kepada penduduk.

Justeru, kerajaan digesa menilai semula peruntukan undang-undang kawalan rokok elektronik dan vape agar penjualannya disekat, bukannya sekadar dicukaikan sahaja. Polisi kerajaan ini hendaklah selari dengan Dasar Kesihatan Kebangsaan yang menjadi rujukan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) dalam membina Keluarga Malaysia yang sihat.

  • Medik berharap cadangan-cadangan ini dapat membantu negara memastikan kesihatan penduduk Malaysia terjaga khususnya semasa pandemik COVID-19 demi kemajuan dan pembangunan negara pada masa kini dan akan

Oleh:

  1. Prof Dr. Azizi bin Ayob, Presiden I-Medik
  2. Mohd Ihsanuddin bin Abas, Bahagian Kajian Tembakau, Rokok Elektronik dan Vape, Unit Kesihatan Masyarakat I-Medik
  3. Siti Aishah binti Abas, Bahagian Kajian Tembakau, Rokok Elektronik dan Vape, Unit Kesihatan Masyarakat I-Medik
  4. Mohd. Khairol bin Jambli, Bahagian Kajian Tembakau, Rokok Elektronik dan Vape, Unit Kesihatan Masyarakat I-Medik