13 April 2023 (Atmeh, Free Syria) – Hari ini kami berada di Atmeh setelah 3 hari menjelajah khemah2 di Jindayris. Perkhemahan di Atmeh hakikatnya tak dapat kami jelajahi kesemuanya kerana terdapat lebih 40,000 keluarga IDP di sini.
Destinasi pertama adalah ke Perkampungan ATAA. Lebih sedekad Syria berada dalam ketidak stabilan dan perang. Lebih 2 juta rakyat Syria terbunuh, dan lebih 15 juta menjadi pelarian di serata dunia dan IDP. ATAA kini menumpukan usaha untuk mengeluarkan IDP daripada khemah dan membina semula infrastruktur agar mereka dapat memulakan kehidupan yang lebih stabil. Setakat ini ATAA telah membina 4 buah perkampungan yang terdiri daripada rumah-rumah batu dan bekalan air bersih. Sebahagian perkampungan telah dilengkapi masjid dan sekolah. Mereka masih mengumpul dana untuk membina masjid, sekolah, klinik dan menjadikan perkampungan tersebut sebuah township yang lengkap bagi pelarian. Ini semua adalah hasil daripada derma orang ramai dari seluruh dunia.
Kami di bawa ke Klinik ATAA, yang mirip klinik kesihatan. Ianya dibuka seawal jam 8 pagi dan memberikan perkhidmatan percuma sepenuhnya kepada semua pesakit. Klinik ini dilengkapi dengan kemudahan asas, mesin ultrasound yang sudah lebih 20 tahun umurnya, makmal, farmasi dan bilik-bilik pemeriksaan. Pengunjung harian lebih kurang 300-350 pesakit yang terdiri daripada wanita hamil, kanak-kanak dan dewasa. Petugas kesihatan terdiri daripada 4 orang doktor, seorang bidan dan 2 orang jururawat dan 2 orang pegawai farmasi, seorang lab technician. Ubat-ubatan dibeli dari dalam Syria sendiri. Terdapat ubat yang masih dikeluarkan oleh kilang di Aleppo.
Musim sejuk masih belum melabuhkan tirai sepenuhnya. Suhu masih boleh mencecah bawah 15 darjah selsius terutama di malam hari. Masih ramai anak-anak yang datang dengan masalah jangkitan kuman respiratori, ada yang mendapat masalah radang paru-paru akibat jangkitan tersebut. Perawatan seperti antibiotik, ubat demam dan ubat cairkan kahak diberikan. Ramai juga dikalangan wanita yang mempunyai masalah kuman air kencing berpunca dari fasiliti sanitasi yang kurang sempurna. Darah tinggi, kencing manis dan masalah sendi turut menjadi rintihan pesakit yang datang.
Hakikatnya bangunan klinik perlu diperbesarkan bagi menampung jumlah pesakit yang ramai, lebih ramai doktor dan staf perawatan kesihatan yang diperlukan seperti jururawat dan paramedik. Mesin ultrasound yang lusuh perlu diganti, namun ini semua menelan belanja dan kos yang tinggi, sementara perkhidmatan diberikan adalah dengan percuma.
Perawatan kesihatan yang lebih rumit masih belum dapat disediakan di sini disebabkan oleh kekurangan infrastruktur. Setelah selesai tugasan klinik, kami bersama dengan Aman Palestin untuk mengagihkan bantuan bekalan makanan ke kem-kem pelarian.
Kem Maarat Wattah merupakan sebuah kem yang dibina oleh NGO Turki yang menempatkan 221 buah keluarga. Lokasinya di atas bukit di pinggir bandar. Tanah yang digunakan adalah tanah Syria tanpa pemilikan. Jauhnya jarak mereka dari bandar menimbulkan pelbagai kesukaran bagi penduduk. Antaranya bekalan air bersih datang 4 hati dalam seminggu dan akan mengisi 20 tangki untuk kegunaan 221 rumah. Kesukaran mencari kerja dan jarak yang jauh dari bandar menyebabkan ramai yang menganggur. Jarak sekolah lebih kurang 3 kilometer dan terpaksa melalui bukit bukau samada dengan berjalan kaki atau dengan menaiki motor. Perkhidmatan kesihatan sangatlah jauh dan memerlukan kehadiran klinik bergerak bagi membantu mendapatkan ubat bagi penyakit ringan.
Di Kem Taubat pula Kami berjumpa dengan seorang ayah yang mengadu tentang keadaan anaknya. Anaknya mempunyai masalah untuk makan kerana memilki rahang yang kecil (micrognathia) sejak lahir. Ianya menyukarkan anaknya untuk membuka mulut dan makan dan kebersihan mulut juga tidak dapat dijaga dengan baik. Si ayah pernah berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan tetapi diberitahu bahawa rawatan hanya boleh diberikan setelah anaknya berumur 10 tahun dan perlu ke luar negara kerana tiada teknologi untuk pembedahan sedemikian di kawasan Free Syria. Antara lain adalah kesukaran akses kepada fisioterapinbagi mereka yang mempunyai masalah tempang atau kecacatan anggota disebabkan petempatan mereka di atas bukit.
Saya mendapat peluang beramah mesra dengan sebuah keluarga balu yang kehilangan suami serta 3 orang lagi ahli keluarganya ketika berlaku pengeboman pada tempat tinggal beliau. Beliau meninggalkan kampung halaman yang telah ranap bagi membesarkan anak-anaknya serta anak adiknya yang kini yatim piatu dan merupakan seorang wanita besi yang gigih sekali. Anak-anak yang dijaganya dipastikan ke sekolah dan menghafal al-Quran. Nasib keluarganya sedikit baik kerana anak lelakinya bekerja di Turkiye dan mampu menghantar wang secara berkala. Anak perempuannya yang bernama Fatimah menceritakan bagaimana dia telahpun mendaftarlan diri ke universiti sebelum berlaku peperangan namun tidak dapat meneruskan cita-citanya akibat peperangan ini. Fatimah turut mengalami masalah mata akibat dimasuki kaca. Kedua-dua belah matanya mempunyai pandangan yang agak kabur. Apabila pergi mendapatkan rawatan, dia turut mendapat feedback yang sama iaitu teknologi untuk merawat mata beliau tiada di sini dan kemungkinan perlu dibuat di Tukiye. Balu ini turut mempunyai seorang anak yang menghidap cerebral palsy dan cacat seluruh anggota. Dia dijaga di rumah sehari-hari kerana kesukaran untuk dibawa ke klinik untuk perawatan berkala.
Isu sanitasi dan lojistik terus mencengkan para pelarian Syria di bumi Atmeh. Manakala kos pembangunan infrastruktur merupakan limitasi kebanyak organisasi di sini untuk memberikan lebih kepada masyarakat. Hakikatnya rakyat Syria kini ingin keluar daripada kancah pelarian dan mula menjalani kehidupan seperti biasa dan membina semula negara dari runtuhan semalam.
Coretan daripada Dr Fatimah Zaharah Rosli