Bulan Ramadhan telah pun membuka tirainya, umat Islam rata-ratanya tidak ingin melepaskan peluang keemasan ini untuk merebut segala keberkahan yang ada di bulan mulia ini. Justeru, menjadi kewajipan bagi seluruh umat Islam untuk berpuasa. Namun, persoalannya, bolehkah wanita mengandung melaksanakan ibadah puasa? Adakah selamat untuk mereka meneruskannya?
Dari sudut perubatan, berpuasa dibolehkan & selamat untuk ibu hamil & janin. Tetapi masih diberi keringanan di dalam agama Islam. Boleh rujuk kepada: IRSYAD AL-FATWA KE-31: HUKUM WANITA HAMIL MENINGGALKAN PUASA. ADAKAH WAJIB QADHA’ ATAU FIDYAH ATAU LAINNYA? (EDISI KEMAS KINI).
Terdapat keterangan hadith berkaitan keringanan bagi wanita hamil untuk tidak berpuasa & boleh menggantikannya dibulan yang lain.
إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ وَضَعَ عَنِ الْمُسَافِرِ شَطْرَ الصَّلَاةِ، وَعَنِ الْمُسَافِرِ وَالْحَامِلِ وَالْمُرْضِعِ الصَّوْمَ، أَوِ الصِّيَامَ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah meringankan daripada orang yang musafir dengan separuh solat dan meringankan daripada puasa bagi perempuan hamil dan menyusukan anaknya.”
Riwayat al-Tirmidzi (715), al-Nasaie (2775) dan Ibn Majah (1667).
Para ibu yang hamil perlu mengetahui paras gula anda adalah lebih rendah berbanding wanita yang tidak mengandung. Gula/glukos di dalam darah untuk perlu untuk dibekalkan kepada janin. Justeru, tubuh anda sangat memerlukan sumber nutirisi yang Baik untuk penghasilan glukos & zat-zat penting untuk perkembangan janin.
Selain itu, mengekalkan hidrasi yang mencukupi adalah amat penting sekali, terutama ketika berpuasa. Antara risiko kurang hidrasi bagi ibu hamil adalah sembelit (constipation), kencing kotor (urinary tract infection), kontraksi (Brixton hicks contraction) & pelbagai lagi yang lebih serius yang diakibatkan oleh kepekatan darah yang tinggi. Ibu hamil pada awal trimester yang mengalami muntah-muntah dinasihatkan untuk tidak berpuasa bagi mengelakkan dehidrasi yang lebih teruk.
Bagi yang ingin meneruskan berpuasa, anda dinasihatkan untuk berbincang dengan doktor/ pakar yang merawat anda. Ini kerana, keupayaan wanita hamil berbeza mengikut peringkat. Ditambah pula jika anda mempunyai penyakit kencing manis, darah tinggi, anemia(kurang darah merah) dan sebagainya. Dos serta pengambilan ubat tentu perlu diubah mengikut kesesuaian waktu.
Wanita hamil yang mempunyai penyakit kencing manis, anda dinasihatkan untuk memeriksa paras gula anda pada waktu sebelum & selepas sahur, waktu tengahari, selepas berbuka & sebelum tidur. Jika bacaan gula anda rendah, atau mengalami hypoglysemia (menggigil, berpeluh, loya/ muntah) anda dinasihatkan untuk tidak meneruskan berpuasa. Manakala bagi yang memerlukan insulin dos yang tinggi anda dinasihatkan untuk tidak berpuasa atau terlebih dahulu berbincang dengan pakar yang merawat anda.
Akhir sekali, ibu hamil dinasihatkan untuk mengambil pemakanan yang mengandungi sumber protein untuk tumbesaran janin, vitamin, serat dan karbohidrat yang seimbang diwaktu anda bersahur dan berbuka. Tidak dilupakan pengambilan air yang mencukupi sebanyak 1.5-2 liter (6-8 gelas) sehari adalah sangat penting. Tambahan, elakkan melakukan aktiviti lasak, cuaca terlampau panas dan elakkan pengambilan makanan yang terlalu banyak ketika berbuka. Sebaiknya ambik jumlah makanan yang sedikit tetapi kerap.
Jangan lah memaksa diri anda jika bimbang tentang kesihatan diri & anak anda. Ketahui kemampuan diri kita & teruskan melaksanakan ibadah wajib yang lain. Sentiasalah merujuk dengan yang lebih pakar dalam setiap perkara yang melibatkan kesihatan diri.
Akhir kalam, selamat menyambut bulan Ramadhan Kareem.
Oleh,
Dr Noor Syafiqa binti Ahmad Bustamam
Pegawai Perubatan
Setiausaha I-Medik Johor