“ Umi, air paip ni panas”, rungut anak saya.
“Biarkan dulu ia di dalam kolah, hati-hati jangan tadah air terus dalam tangan waktu berwuduk”, pesan saya.
Saya baru sampai ke kampung di utara tanah air. Rungutan anak saya itu adalah berkaitan dengan kepanasan melampau yang dialami bersempena dengan fenomena ekuinoks.
Fenomena ekuinoks berlaku apabila matahari berada tepat di atas garisan Khatulistiwa. Di Malaysia, ia berlaku lazimnya di bulan Mac dan September.
Fenomena ini diburukkan lagi oleh pemanasan global atau “global warming” , satu keadaan yang melibatkan kenaikan suhu bumi dan laut yang ketara. Suhu dibumi telah meningkat dari 0.4 hingga 0.8 0C dalam tempoh 100 tahun. Paras air laut meningkat mendadak kerana pencairan bongkah ais batu di Kutub Utara dan Selatan disamping bencana alam seperti ribut, banjir dan kemarau yang melampau.
Bulan lepas, Jabatan Metereologi melaporkan fenomena El-Nino yang dijangka melanda negara pada suku pertama tahun ini menyebabkan pengurangan hujan sebanyak 20% hingga 60% dan peningkatan suhu sebanyak 0.5 0C hingga 2.0 0C. Badan manusia mempunyai mekanisma menyejukkan diri melalui perpeluhan, namun jika kepanasan luar melebihi 32.2 0C, jumlah haba melebihi kesan penyejukan yang dihasilkan melalui perpeluhan. Perpeluhan bertambah dan badan terdedah kepada dehidrasi. Dalam bulan Januari misalnya, suhu di daerah Klang meningkat sehingga 350C.
Berbalik kepada fenomena ekuinoks, dua hari lepas, Datuk Wilfred Madius Tangau, Menteri di Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi melalui laporan akhbar menyatakan bahawa keadaan cuaca panas ini boleh menyebabkan kepanasan melampau atau “heatwave” jika suhu melebihi 35°C selama 5 hari berturut-turut atau melebihi 37°C selama 3 hari berturut-turut. Kedah, Perlis dan Pulau Pinang telahpun dikenal pasti mencatatkan suhu setinggi 38°C.
Apakah yang perlu kita lakukan bagi memastikan kepanasan melampau ini tidak mengakibatkan gejala buruk seperti dehidrasi teruk, yang mungkin menyebabkan gangguan kesihatan kepada organ-organ penting?
1. Minum banyak air – minum 8 hingga 10 gelas air bersamaan 2.4 – 3.0 liter.
Kita kena tahu bahawa 60% daripada berat badan kita ialah air. Oleh sebab itu penting kita memastikan kandungan air dalam badan ini stabil. Kandungan air ini datangnya dari:
a) pengambilan air – sebanyak 47%
b) pengambilan makanan – sebanyak 39%
c) metabolisma badan – sebanyak 14%
Kita perlu mengambil air dengan kerap, dalam sela masa setiap 1-2 jam, selepas berbuka. Masalah kita sebenarnya adalah kita sentiasa terlupa untuk minum air secukupnya.
Adalah dicadangkan kita sentiasa memastikan air MUDAH DICAPAI dengan menyediakan botol-botol air dan gelas diseberapa banyak bahagian rumah (bukan hanya di dapur seperti lazimnya) eg dibilik tidur, di ruang tamu, yang memudahkan kita mencapai minuman sentiasa. Kita juga perlu sentiasa membawa botol minuman ke mana-mana. Kita tidak digalakkan meminum air dalam kuantiti yang banyak sekaligus.
Cuaca panas yang juga berlaku diwaktu malam mendedahkan seseorang Muslim dan Muslimat kepada masalah dehidrasi. Sebagai ahli kariah surau, adalah amat baik jika kita dapat menggunakan wang sumbangan ahli surau bagi menyediakan bekalan air masak yang mencukupi.
2. Jenis minuman
Perbanyakkan minum air masak dan air bersifat isotonik. Kurangkan minum air berkafein berlebihan seperti kopi, teh dan minuman manis yang menambahkan proses dehidrasi kerana minuman-minuman ini merangsang diuresis (kencing banyak). Minumlah juga jus buah-buahan segar.
3. Jenis makanan
Di hari yang panas, kurangkan makanan pedas dan makanan masin/bergaram kerana ia menambahkan rasa haus. Garam berlebihan didalam makanan akan menyebabkan badan berusaha membuang garam, yang secara fisiologinya akan turut memerlukan pembuangan air (melalui air kencing).
Lebihkan buah-buahan dan sayur berserat kerana makanan ini mengandungi banyak air, dan berada lebih lama didalam usus bagi membenarkan penyerapan air ke dalam badan perlahan-lahan.
4. Jenis pakaian
Di dalam cuaca panas, pilihlah pakaian yang sesuai. Warna pakaian yang hitam misalnya memerangkap haba. Pakaian berwarna legap, tidak memerlukan singlet lebih baik daripada memakai baju putih tapi memerlukan singlet didalam. Begitu juga, pastikan pakaian yang dipakai longgar.
5. Kurangkan aktiviti di luar
Dalam cuaca panas, terutama bagi kanak-kanak, kurangkan aktiviti permainan atau sukan diluar.
Apakah tanda-tanda AWAL DEHIDRASI ?
Di dalam cuaca panas ini, berkemungkinan sesetengah daripada kita akan mengalami kesukaran untuk menyesuaikan diri. Jika kita mengalami tanda-tanda AWAL DEHIDRASI seperti keletihan yang amat sangat, bibir kering dan pecah, suhu badan meningkat, kadar pernafasan meningkat dan pening, kita boleh berusaha untuk menurunkan suhu badan dengan membasahkan kepala terus dibawah air, atau menggunakan kain tuala kecil yang dibasahkan dengan air sejuk seterusnya mengelap dahi, pangkal kepala, leher, dibelakang telinga, didada juga ditengkuk. Sekiranya cara ini tidak berkesan, kita patut terus berjumpa doktor untuk nasihat perubatan.
Akhir sekali, bagaimana kita membantu mengurangkan kesan pemanasan global?
Pemanasan global berlaku apabila gas-gas seperti karbon monoksida,karbon dioksida, kloro flourokarbon[CFC], metana dan nitros oxida menyerap sinaran daripada matahari dan mengeluarkan semula sinaran tersebut,suhu purata atmosfera bumi akan meningkat.
Oleh itu secara dasarnya kita harus mengurangkan penghasilan bahan-bahan diatas dengan:
1. Pilih produk dalam tin aerosol yang tidak menggunakan CFC.
2. Mengamalkan penjimatan bekalan elektrik. Selain daripada tidak meninggalkan alatan elektrik terpasang, cara lain yang boleh dibuat ialah:
a. Tanggalkan plak wayar elektrik pada soketnya apabila tidak digunakan. Hal ini demikian kerana plak wayar elektrik yang masih bersambung pada soket akan menyebabkan arus elektrik masih mengalir walaupaun suis telahpun dimatikan.
b. Penggunaan lampu pendaflour juga lebih menjimatkan tenaga berbanding lampu bilik atau lampu mentol.
3. Kurangkan pergantungan kepada kenderaan persendirian, guna pengangkutan awam. Berjalan atau berbasikal untuk perjalanan yang dekat.
4. Kurangkan penjanaan sampah. Pereputan sisa-sisa organik mengeluarkan gas-gas rumah hijau seperti metana.
5. Beli barangan yang boleh dikitar semula dan jadikan kitar semula sebagai amalan hidup kita.
6. Tanam pokok di kawasan rumah. Penanaman pokok mengurangkan ketumpatan gas karbon dioksida yang terkumpul di sekeliling rumah.
7. Elakkan pembakaran terbuka.
Dr Rafidah Hanim Mokhtar
MD (UKM)
PhD Physiology (IIUM)
Naib Presiden I-Medik