#KitaJagaKita

Fasa peralihan ke endemik perlu SOP berkesan

WhatsApp Image 2022-03-25 at 5.44.57 PM

Berita Harian | Edisi 25 Mac 2022

Selepas lebih dua tahun rakyat berpadu melawan COVD-19, pada 8 Mac lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Malaysia akan memasuki fasa peralihan ke endemik mulai 1 April ini.

Endemik adalah satu fasa terkandung dalam pengurusan kesihatan awam bagi penyakit berjangkit. Ia adalah keadaan di mana sesuatu penyakit atau agen pembawa penyakit sentiasa berada di dalam komuniti, namun kewujudannya berada pada kadar stabil dan terkawal.

Contoh penyakit yang berada dalam fasa endemik dan paling hampir dengan kehidupan masyarakat adalah demam denggi.

Bermakna, situasi sama juga dijangkakan turut berlaku bagi penyakit COVID-19 namun, masih belum dapat dipastikan berapa lama ia berada di dalam masyarakat tempatan atau global.

Pengumuman fasa peralihan ke endemik antara langkah besar dalam mengembalikan semula norma kehidupan masyarakat seperti sebelum COVID-19 melanda negara.

Bertemakan Reopening Safely, kerajaan dilihat begitu berhati-hati merangka prosedur operasi standard (SOP) bagi memastikan tiada peningkatan ketara kes kritikal COVID-19 yang dibimbangi akan membebankan sistem kesihatan negara.

Harapan tinggi diletakkan ke atas kerajaan supaya merangka sebaiknya garis panduan dalam memasuki fasa peralihan ke endemik ini dan tidak perlu berpatah balik dengan SOP ketat seperti sebelumnya.

Antara inti pati pengumuman fasa peralihan ke endemik, had tempoh waktu perniagaan premis dimansuhkan sepenuhnya mengikut lesen perniagaan masing-masing, manakala kegiatan di rumah ibadat boleh dijalankan tanpa penjarakan.

Akan tetapi, paling utama dalam fasa peralihan ke endemik ini adalah pembukaan sepenuhnya sempadan negara dengan garis panduan tertentu.

Ia bermatlamat merancakkan kembali sektor ekonomi negara disamping rakyat tempatan dan pelancong luar negara bebas bergerak ke mana-mana dengan peraturan yang minimum.

Melihat kepada kadar vaksinasi negara yang meliputi seawal usia lima tahun, kemampuan sistem kesihatan negara merawat pesakit kritikal COVID-19 dan beberapa petunjuk lain dilihat menunjukkan Malaysia mampu beralih kepada fasa endemik seperti dirancang.

Namun, perlu diingatkan ia bukan jaminan untuk masyarakat boleh bergerak bebas sepenuhnya selepas berada di fasa peralihan ke endemik.

Fasa peralihan ke endemik masih menuntut rakyat mematuhi SOP terutama memakai pelitup muka, penjarakan fizikal dan kerap mencuci tangan masih perlu diamalkan. Individu bergejala perlu mendapatkan rawatan segera termasuk melakukan saringan secara kendiri atau menerusi khidmat profesional.

Namun, ancaman terhadap kemunculan varian baharu COVID-19 selepas pembukaan sempadan negara berada di fasa peralihan ke endemik masih perlu diberi perhatian.

Kesiapsiagaan pada peringkat nasional dan kesedaran dalam komuniti perlu sentiasa berada di tahap tertinggi.

Dalam fasa peralihan ke endemik, mesej kesihatan 3W, iaitu kerap mencuci tangan dengan air dan sabun (wash), memakai pelitup separuh muka di tempat awam atau jika bergejala (wear) dan amaran (warn) daripada Kementerian Kesihatan (KKM) perlu diteruskan.

Ia termasuk mematuhi 3S atau 3C, iaitu jauhi kawasan sesak (crowded place), elakkan kawasan sempit (confined space) dan elak sembang atau berbual dengan jarak dekat (close conversation).

Paling utama, rakyat perlu sedar dan sentiasa beringat fasa peralihan ke endemik bukan tiket untuk melupakan segala ilmu pencegahan awal jangkitan COVID-19 yang diamalkan sejak dua tahun lalu.

Artikel ini ditulis oleh Dr Abdul Salam Abd Manaff

Aktivis Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik) Johor