#KitaJagaKita

“Doktor, saya rasa ini gangguan jin.”

headache

Bulan lepas saya merawat seorang pesakit kencing manis di klinik, saya bertanyakan perihal penyakitnya. Kali ini jawapannya agak berbeza daripada jawapan tipikal pesakit saya;

“Doktor, saya rasa penyakit yang saya hadapi ini bukan kencing manis. Segala simptom kebas-kebas tangan, kerap buang air kecil ini ada penyebabnya, Dan saya yakin sebabnya bukan kencing manis.”

Saya semakin tertarik dan bertanya, “Apa sebabnya, puan?”

“Saya terkena gangguan jin. Ada orang dengki dengan saya. Ketika saya muda saya tak pernah sakit apa-apa. Tapi lepas berlaku gangguan ini, menyebabkan saya banyak masalah. Bermula dengan badan rasa sakit-sakit kemudian datang simptom lain.”

Saya terus mendengar sambil membelek keputusan darahnya;

  • Fasting blood sugar (FBS) : 16 mmol/L
  • HBA1C : 12%

Ini menunjukkan kawalan kencing manis yang sangat teruk, tidak terkawal langsung. Saya tersenyum sambil memberi peluang kepadanya menerangkan lagi.

“Kadang-kadang bila datang gangguan tu lagi, tangan dan kaki saya memang akan kebas-kebas, tapi lepas saya berzikir dan baca ayat pendinding. Alhamdulillah, terus hilang.”

Saya mencelah, “Bagaimana puan yakin semua itu adalah kesan gangguan?” Beliau menjawab ada seorang ustaz berkata begitu. Terus percaya dan yakin, berpegang dengannya sampai sekarang. Saya cuba menerangkan keadaan sebenar, bahawa segala simptom yang dihadapi adalah berpunca daripada taraf gula dalam darah yang tidak terkawal.

Namun selaku pensyarah di sebuah kolej, beliau menolak mentah-mentah tanpa mempertimbangkan penerangan saya. Mungkin kerana saya nampak lebih muda barangkali. Kemudian saya cuba menambah dos ubat Metformin (ubat kencing manis), namun beliau menolak. Saya lihat di hadapan bukunya, sudah tertulis “difficult patient” oleh rakan doktor lain.

Saya terangkan risiko kencing manis tidak terkawal seperti strok, buah pinggang rosak, kerosakan saraf mata dan lain-lain. Namun jawapannya sangat menyejukkan hati; semua itu adalah ketentuan Allah, jika berlaku pun. Saya mengiyakannya tanpa membantah, sambil berkata, “Tapi kita manusia diberi pilihan untuk berusaha mengelakkan mudarat.”

Sesi rawatan saya tamat, sambil hati terasa berat dan kecewa.

* * * * * * * * * *

Gejala diabetes
  1. Beriman dengan kewujudan jin dan malaikat itu adalah rukun iman. Kita semua perlu mempercayainya. Namun tidak semua perkara adalah disebabkan gangguan jin. Ilmu sains juga adalah ilmu Allah. Ilmu yang diizinkan oleh Allah untuk manusia mengambil manfaat darinya. Perubatan yang diamalkan sekarang adalah satu cabang ilmu yang sangat bernilai, ilmu yang berkesinambungan daripada tokoh-tokoh perubatan islam terdahulu seperti Ibn Sina, Azzahrawi dan lain-lain.
  2. Kencing manis atau diabetes mellitus berpunca daripada berkurangnya taraf hormon insulin yang berfungsi untuk mencerna gula dalam darah, ataupun sel-sel badan tidak sensitif kepada insulin. Selepas kita makan karbohidrat (nasi, roti, gandum) atau minum minuman manis, kandungan gula dalam badan akan meningkat, Hormon insulin inilah yang akan membawa gula tersebut ke sel-sel badan untuk digunakan sebagai tenaga. Jadi bila kurangnya insulin, menyebabkan kandungan gula akan tinggi. Ia tidak dapat digunakan untuk tenaga, dan mendatangkan banyak komplikasi lain.
  3. Ubat kencing manis berfungi untuk mengawal gula dalam darah, tapi tidak menyembuhkan kencing manis. Sehingga kini tidak ada lagi penawar kepada kencing manis. Ia boleh dikawal tapi tidak boleh diubati.
  4. Tanda-tanda kencing manis tidak terkawal adalah;
    • Cepat rasa haus
    • Kerap buang air kecil
    • Badan tidak bermaya
    • Kebas-kebas tangan dan kaki
    • Mata semakin kabur dan mungkin buta
    • Luka susah sembuh dan semakin teruk
    • Strok atau lumpuh yang kekal

Berlakunya semua simptom di atas ada penerangannya. Apabila taraf gula tinggi dalam darah, menyebabkan air lebih banyak dikeluarkan dari badan melalui kencing. Ini menjadikan badan sentiasa rasa lemah dan cepat haus. Gula menyebabkan kerosakan pada saraf dan salur darah, menyebabkan kebas-kebas tangan dan kaki, luka susah sembuh kerana salur darah tidak efektif.  Gula yang tinggi juga merosakkan banyak organ lain seperti buah pinggang dan jantung. Juga merosotnya antibodi badan, menyebabkan mudah dijangkiti penyakit termasuk TB (tuberkulosis/batuk kering). Komplikasi paling menakutkan adalah strok dan rosak buah pinggang.

  1. Memilih untuk tidak mengawal gula adalah memilih untuk mendatangkan mudarat pada tubuh badan, kerana ia akan mendatangkan komplikasi yang lebih buruk dalam jangka masa yang lama. Perbuatan memudaratkan diri sendiri itu adalah haram di sisi Islam.
  2. Kencing manis adalah penyakit yang boleh mendatangkan kesan yang sangat teruk jika tidak dikawal dengan baik. Sedikit demi sedikit ia merosakkan sistem badan, berhati-hatilah wahai para pembaca. Jika anda mula mempunyai simptom kerap buang air kecil, kerap haus, lesu-lesu badan, berjumpalah dengan doktor anda dulu sebelum anda jumpa bomoh. Kesian jin, tak pasal-pasal kena tuduh!

 

Muhammad Hazim bin Mohd. Azhar
Pegawai Kesihatan UD44
Klinik Kesihatan Kuala Sungai Baru, Melaka