“Doktor, saya tidak mahu berubat di hospital. Saya mahu ikhtiar cara perubatan Islam.”
Seringkali saya mengalami situasi ini di mana pesakit menolak untuk menerima atau mengambil rawatan atas sebab ikhtiar menggunakan rawatan alternatif atau perubatan Islam. Adalah hak individu untuk menerima rawatan setelah mendapat nasihat dari doktor. Namun, adalah amat malang sekiranya pesakit memilih rawatan pseudosains dan menolak perubatan konvensional yang ditawarkan doktor lebih-lebih lagi untuk penyakit kritikal dan kronik seperti ulser di kaki disebabkan kencing manis atau kanser. Rawatan pseudosains ini juga kadangkala dikaitkan dengan nama perubatan Islam dan diselitkan ayat Al-Quran dan bahan-bahan makanan atau ubatan yang digunakan dalam hadis Rasulullah S.A.W dengan tujuan agar masyarakat lebih mudah percaya. Malang sekali rawatan seperti ini lebih banyak memperdaya dari merawat pesakit melalui ilmu yang dikatakan ilmiah tetapi tidak mengikut metodologi yang saintifik atau ilmiah. Akhirnya, pesakit akan kembali semula kepada rawatan di hospital setelah rawatan tersebut gagal dan penyakit berada di tahap akhir.
Saya bukan menolak sepenuhnya ayat ayat Al-Quran dan hadis sebagai satu ikhtiar malah saya juga mengamalkan bacaan Al-Mathurat sebelum pergi kerja sebagai satu ikhtiar. Artikel ini ditulis untuk kita sama-sama menghayati tentang perubatan Islam.
BUKU PERUBATAN
Era Islam bermula pada tahun berhijrahnya Rasullulah s.a.w dari Mekah ke Madinah, iaitu tahun 632 dan berakhir 1492. Tahun di mana Granada jatuh dan tahun di mana Christopher Columbus belayar ke benua Amerika untuk mencari tanah jajahan baru. Sepanjang tempoh itu, umat Islam telah menghasilkan 4000 buku perubatan yang ditulis dalam bahasa Arab. Buku-buku ini telah diterjemah dan dijalankan kajian lanjut di dalam bahasa Inggeris selepas itu. Contohnya Vesalius (1514-1564) dari Belgium dan Harvey (1578-1657) yang berbangsa Inggeris telah belajar bahasa Arab untuk menterjemah segala ‘harta berharga’ iaitu perubatan Arab pada masa itu.
PEMBINAAN HOSPITAL
Nabi Muhammad S.A.W ialah yang pertama memperkenalkan klinik bergerak kecil yang digunakan sebagai tempat merawat sahabat yang berperang. Rufaydah ialah wanita pertama merawat sahabat di dalam khemah kecil tersebut.
Selepas perang Khaibar , Khalifah Umar Al Khattab telah menubuhkan satu institusi wakaf. Ia adalah dana untuk orang miskin, hamba atau musafir dan yang memerlukan. Institusi ini semakin berkembang dari masa ke masa sehingga dana tersebut dapat membina sekolah, masjid dan juga hospital bagi menempatkan orang yang sakit.
Noushirawy dalam bukunya “Islamic Bimaristans in the Middle Ages” menyebut bahwa Bimaristan pertama didirikan di Damaskus oleh al-Walid bin Abd el-Malik tahun 86 H (707 M). Bimaristan adalah nama Parsi yang bermaksud hospital. Ianya dibina untuk merawat penyakit leprosy dan pesakit dirawat secara percuma. Sistem Bimaristan adalah hampir sama dengan hospital pada masa kini. Pertama, ia digunakan untuk merawat pesakit melalui perubatan yang terkini. Kedua, ia digunakan untuk para doktor mempraktikkan rawatan ke atas pesakit dengan kaedah perubatan yang dipelajarinya. Sistem Bimaristan ini dibangunkan dari semasa ke semasa dengan memperkenalkan pembantu perubatan, ahli farmasi yang memberikan ubat dan lain-lain. Bimaristan bergerak juga diperkenalkan untuk merawat pesakit pedalaman.
Pada tahun 1248, Hospital al-Mansuri dibina di Kaherah Mesir. Hospital ini mempunyai 8000 katil yang meliputi wad-wad berasingan seperti perubatan dalaman, pembedahan patah tulang sakit mata dan sebagainya. Setelah pulih, pesakit akan diberikan ubatan dan juga wang tambahan dan diberikan baju yang baru.
SUMBANGAN DALAM PERUBATAN
Dalam era kegemilangan Islam, banyak sumbangan yang telah diberikan oleh cendekiawan Islam dalam perubatan. Antara tokoh yang ternama adalah Ar-Razi yang telah menemukan beberapa penyakit semasa zamannya. Antaranya ialah masalah kulit mati di kantung telur lelaki (Scrotal Gangrene). Di dalam catatannya menulis,
“Saya pernah menemui pesakit di dalam hospital di mana kesemua kulit yang melindungi telurnya musnah dan hampir hilang sehingga tidak ada lagi kulit. Saya merawatnya dengan menggunakan cendana, bunga ros dan mencampurkan dengan ekstrak dari buah beri. Daging bertumbuhan disekitarnya tetapi tidak sama dengan kantung telur yang sebelumnya. Walaubagaimanapun, telur itu kembali ke tempat yang asal dan tidak tergantung lagi dan pesakit itu sembuh.”
Setelah itu, pada tahun 1883, seorang pakar perubatan Perancis Jean Alfred Fournier telah mengkaji hal yang sama dan menamakan penyakit tersebut sebagai Fournier’s Gangrene.
DI MANAKAH KITA HARI INI?
Sumbangan Islam dalam perubatan konvensional adalah sangat besar. Masyarakat seharusnya memahami perkara ini. Sikap menolak perubatan konvensional dan mengiktiraf perubatan alternatif lain sebagai perubatan Islam secara total adalah salah. Diharap artikel ini dapat mengembalikan persepsi masyarakat terhadap perubatan hospital. Sejarah pembinaan dan rawatan di hospital adalah sejarah umat Islam. Amat malang sekiranya tidak digunakan oleh umat Islam sendiri. Khusus untuk para doktor dan pengamal perubatan Islam, marilah kita mengambil semangat para cendekiawan Islam dahulu dengan memberikan rawatan terbaik kepada pesakit melalui pemerhatian yang teliti dan kajian yang terkini.
Dr. Mohd Hanis bin Mohd Nor
Pegawai Perubatan Hospital Kuala Lumpur
Unit Sukarelawan & Kemanusiaan I-Medik