#KitaJagaKita

DI SEBALIK TABIR: SIMPOSIUM FIQH PERUBATAN PAHANG 2014; PENGHARGAAN BUAT SUKARELAWAN

Sukarelawan dan AJK SFP 2014
Menganjurkan program berbentuk simposium, melibatkan lebih 600 peserta dari kalangan profesional dan pelajar bidang perubatan, kejururawatan dan farmasi  serta menjemput Pengarah Kesihatan Negeri Pahang sebagai perasmi adalah satu pengalaman yang sangat berharga buat seluruh warga kerja Simposium Fiqh Perubatan Pahang 2014.
Sukarelawan dan AJK SFP 2014
Melihat kepada kepentingan mendidik masyarakat dan profesional dalam bidang ini tentang aplikasi  fiqh perubatan dalam pengurusan dan merawat pesakit,  I Medik Pahang mengambil inisiatif untuk menganjurkan Simposium Fiqh Perubatan 2014 dengan tema Peranan & Cabaran Pengamal Perubatan & Kesihatan Muslim Masakini pada hari Sabtu, 15 Mac 2014 yang lalu. Dengan yuran serendah RM20 (dewasa) dan RM 15 (pelajar), sambutan peserta amat menggalakkan, sehingga pendaftaran terpaksa ditutup dua minggu lebih awal.
“ Program fiqh perubatan sememangnya dinanti-nantikan oleh warga kerja hospital, selalunya simpsosium sebegini yurannya mahal, dan dilakukan pada waktu kerja. Adanya NGO seperti I Medik yang menyediakan alternatif yang lebih murah dan dibuat di hujung minggu adalah sangat baik”.  Itulah antara maklum balas salah seorang Matron semasa menghubungi AJK Pendaftaran untuk mendaftarkan hampir 20 orang jururawat dari jabatannya.
Hakikatnya, SFP 2014 tidak akan berjaya tanpa komitmen ahli jawatan kuasa dan sukarelawan yang telah bersungguh-sungguh  memastikan kelancaran SFP 2014. Dengan memahami bahawa penganjuran ini adalah salah satu fardhu kifayah dan usaha dakwah untuk merealisasikan hospital mesra ibadah,  SFP 2014 telah menjadi medan gandingan mantap antara AJK I Medik, barisan moderator dan ahli panel yang terdiri dari pakar dalam pelbagai bidang bersama sukarelawan yang majoriti adalah pelajar untuk duduk bersama berbincang, dan bekerjasama untuk menjayakan setiap slot.
Dalam kehidupan manusia yang serba sibuk ini, adanya barisan profesional yang sedia meluangkan masa untuk usaha  sebegini, pastinya memberi inspirasi kepada golongan muda bahawa tidak kira setinggi mana jawatan dan kedudukan, mahupun sesibuk mana kehidupan, kewajipan dakwah perlu tetap dilaksanakan. Dalam penganjuran SFP, tokoh-tokoh I Medik ini telah menunjukkan qudwah yang baik kepada ahli-ahli I Medik dan sukarelawan muda bagaimana kerjaya mampu menjadi batu loncatan untuk mendekati masyarakat.
SFP 2014 telah memberi peluang kepada lebih kurang 40 orang sukarelawan yang terdiri dari pelajar UIAM dan Universiti Kolej Shahputra, untuk mencurah bakti  dan menimba pengalaman menguruskan program pada skala besar. Mereka telah terlibat dalam penyedian bag program, dan latihan rehersal sepanjang minggu terakhir sebelum SFP 2014. Jutaan penghargaan kepada semua sukarelawan yang terlibat!
Akhir kata, memahami bahawa fiqh perubatan asas adalah satu kewajipan kepada semua pengamal perubatan Muslim, I Medik akan terus komited untuk menganjurkan program-program sebegini di masa akan datang dan diharap akan dapat memperbaiki kualiti penganjuran dari semasa ke semasa. Semoga Allah memberkati segala usaha yang kerdil ini.
Coretan pengalaman, Dr Norbaiyah Mohamed Bakrim – I Medik Pahang.