Kita baharu sahaja menyambut Hari Pekerja dan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yasin telah mengumumkan bahawa beberapa sektor ekonomi dan sosial akan mula beroperasi mulai 4 Mei ini dengan syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN). Ini bermakna cuti sempena Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan tamat awal bagi mereka yang akan kembali bekerja.
Namun begitu, pasti timbul persoalan adakah rakyat selamat untuk kembali bekerja? Adakah majikan sudah mempersiapkan tempat kerja dengan peralatan yang mencukupi seperti alat pengimbas suhu, topeng muka, cecair pembasmi kuman dan arahan-arahan pemantauan penjarakan sosial?
Di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994, setiap majikan dan organisasi hendaklah memastikan persekitaran tempat kerja yang sihat dan selamat untuk pekerja-pekerja. Sehubungan dengan kelonggaran PKP dan kebanyakan sektor dibenarkan kembali bekerja, para majikan hendaklah memastikan pekerja-pekerja mereka selamat dari risiko dijangkiti COVID-19 di tempat kerja.
Berdasarkan kenyataan Menteri Kanan (Ekonomi) yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Seri Azmin Ali pada 16 April 2020, setiap pekerja diwajibkan menjalani saringan COVID-19 sebelum dibenarkan bekerja. Selari dengan itu PERKESO turut membuat kenyataan bahawa syarikat-syarikat yang mencarum boleh menghantar pekerja-pekerja untuk menjalani ujian Covid-19 secara percuma termasuk pekerja-pekerja asing di 3000 klinik panel PERKESO seluruh negara.
Perlu ditekankan bahawa penyakit COVID-19 mudah tersebar melalui air liur atau mukosa pesakit apabila bercakap, batuk atau bersin dan permukaan yang dicemari pesakit berkenaan. Lebih membimbangkan lagi kebanyakan pesakit COVID-19 tidak mempunyai gejala demam, batuk, sakit tekak dan sesak nafas tetapi masih boleh menyebarkan virus berkenaan. Dibimbangi akan ada yang melepasi saringan suhu dan gejala di pintu masuk tempat kerja.
Panduan terkini yang dikeluarkan oleh MKN hanyalah menyatakan saringan gejala dan suhu di pintu masuk selain wajib memakai topeng muka, cuci tangan menggunakan cecair pembasmi kuman dan penjarakan sosial namun ia sebenarnya tidak mencukupi untuk menghalang jangkitan berlaku jika ada pekerja yang positif di dalam bangunan atau kawasan yang sama.
Dengan adanya kes sporadik di dalam komuniti, definisi kes untuk COVID-19 pastinya akan berubah, iaitu bukan lagi risiko hanya di kalangan mereka yang pulang dari luar negara atau mempunyai kontak rapat dengan pesakit positif COVID-19 tetapi sesiapa sahaja yang sudah terdedah kepada persekitaran yang dicemari virus dan kini masih ramai yang belum disaring.
Gesaan untuk mewajibkan ujian saringan ke atas semua pekerja tempatan dan asing sebelum mula bekerja mestilah ditekankan.Ini juga adalah hak pekerja untuk dilindungi daripada dijangkiti COVID-19. Menteri Kanan Datuk Seri Azmin Ali juga perlu memaklumkan rakyat akan jumlah pekerja yang telah disaring beserta keputusan ujian mereka sebelum Isnin ini jika mahu rakyat kembali bekerja.
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah juga pernah menyatakan bahawa Malaysia akan menerima 200,000 kit ujian saringan pantas (RTK) antigen COVID-19 dari Korea Selatan yang boleh mengesahkan status jangkitan seseorang dengan pantas dalam masa 45 minit tanpa perlu menghantar sampel ke makmal. Dengan kadar kepekaan dan kekhususan yang tinggi, kit ini boleh digunakan untuk saringan yang lebih meluas.
Kerajaan sepatutnya melonggarkan PKP secara berperingkat dengan memastikan majikan-majikan telah membuat ujian saringan di kalangan pekerja terlebih dahulu dan kaedah pencegahan COVID-19 disediakan dengan baik sebelum membenarkan mereka beroperasi sepenuhnya. Kerajaan juga sepatutnya menguji dahulu kepatuhan rakyat pada kelonggaran yang diberi sebelum memberi lebih banyak kelonggaran dalam aktiviti social yang lain.
Jika usaha pencegahan dan kawalan ini tidak dilakukan dengan baik oleh industri-industri dan majikan-majikan dibimbangi segala usaha Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) selama ini mengekang penyebaran COVID-19 menjadi sia-sia apabila kes kembali meningkat dari cluster-kluster baru.
Dr Mohd Ihsanuddin Abas
Ketua Unit Kesihatan Awam I-Medik
#KitaJagaKita
COVID-19: Adakah Selamat Untuk Kembali Bekerja?
- Suka artikel ini? Kongsikan ke media sosial anda!
Kategori
- vape
- Utama
- Uncategorized
- Sumbangan & Bantuan
- Program Sunathon
- PrEP
- politik
- Pholcodine
- Pendidikan Seksualiti
- Pencapaian
- Motivasi
- Misi Bantuan
- Mesej
- Kolumnis
- Kesihatan Mental
- Kerjaya
- Keratan Akhbar
- Kempen & Penerangan
- Info Sihat
- Iklan
- HIV dan Aids
- Forensik
- Dasar Vaksinasi
- COVID-19
- baikpulih negara
- Aktiviti