#KitaJagaKita

Catatan misi bantuan I-Medik Pahang ke Kelantan (I)

4

Hari pertama 5 Januari 2015

Misi diketuai Prof Dr Azmi Md Nor, Presiden I-Medik, dan diringi oleh Dr Mohd Nasiruddin Johari (Bendahari), Dr Rashidah Abdul Rahman (Timbalan Pengerusi I-Medik Pahang), Dr Norzila Baharin (JKP Jawatankuasa Pusat), Puan Rohana Embong (sukarelawan I-Medik) serta dua orang anak PGH iaitu Iqbal Azmi dan Mujahid Azmi.

Perjalanan bermula pada pukul 11.30 pagi mengikut lebuhraya LPT Kuantan-Kuala Terengganu.
Singgah di Ajil untuk makan dan solat. Seterusnya meneruskan misi bantuan ke Gua Musang. Melalui bandar-bandar Jertih, Machang dan Kuala Krai.
Kami sampai di Kuala Krai sekitar jam 5 petang. Di sini di bimbing dan dipandu oleh Ustaz Abdul Rahman Pegawai Operasi Banjir Yayasan Ikhlas Kelantan, Ustaz Hadi, Hazwan, Dr Syahmi dan Ustaz Solehudin. Seterusnya perjalanan ke Gua Musang melalui jalan-jalan berliku dan berbukit bukau.
Sungguh mengharukan di sepanjang perjalanan banyak rumah yang rosak teruk, atap tercabut, ada yang roboh dan ada yang terperangkap di mana kawasan sekitarnya dipenuhi air seolah-olah menjadi pulau.

Melalui jalan ke Gua Musang untuk ke rumah ahli PEMBINA saudari Nordi sangat menggerunkan. Di pertengahan jalan, jalannya putus di dua-dua belah, cuma selebar 6 kaki yang boleh dilalui, dan dalamnya ialah 180 kaki ke bawah.

Kami terpaksa berjalan kaki untuk kurangkan load kereta supaya kereta tidak terjunam ke dalam sungai. Cuma driver sahaja dibenarkan memandu kereta di jambatan selebar 6 kaki itu.
Satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan. Kami beriringan berjalan sambil berpegangan tangan takut untuk melihat ke bawah. Moga perjalanan seterusnya selamat dalam perlindungan Allah.
Alhamdulillah sampai juga di rumah Nordi di Kampung Perak antara Dabung dan Gua Musang. Keluarganya menyambut dengan mesra dan memberi layanan yang baik walaupun sedang ditimpa musibah. Sempat juga merawat ahli-ahli keluarga dan jiran Nordi. Rumah mereka ditenggelami air sepenuhnya. Buat sementara ini, bekalan air ada, tetapi bekalan eletrik masih terputus.
Berdekatan rumah Nordi, jambatan ke pekan Gua Musang runtuh terus sepanjang 200 kaki. Ia disebabkan longgokan kayu balak yang bertimbun dan tersangkut di jambatan yang di bawa arus air yang laju hingga meruntuhkan jambatan.

6  3 2 1

Bagi yang nak ke Gua Musang perlu menaiki bot dengan bayaran rm 20 sehala. Ada juga jalan alternatif lain yang agak jauh untuk ke Gua Musang iaitu berpatah balik ke Jeli.

Selanjutnya berpatah balik melalui Jeli ke Kota Bharu. Dalam perjalanan, singgah makan di kedai ayah Hazwan, Halim Mee Udang di Tanah Merah, malangnya mee udang tak boleh dirasa sebab udang dah habis. Akhirnya sampai di Kota Bharu pukul 4 pagi.
Hari pertama yang sungguh mendebarkan dan mengharukan. Apakah yang menanti kami di hari kedua pula?