#KitaJagaKita

Bengkel Bantuan Asas Psikologi untuk Wanita (HealHer) Zon Timur

315542169_5763877250344797_1003030947246946505_n
KUALA TERENGGANU: 9 November 2022. Bengkel #HealHer Zon Pantai Timur telah berjaya dianjurkan di Permai Hotel dengan kehadiran hampir 150 peserta dari agensi-agensi kerajaan, NGO, persatuan dan orang perseorangan dari sekitar negeri Terengganu, Kelantan dan Pahang. Bengkel ini yang merupakan program nasional anjuran Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) ini telah dijayakan dengan kerjasama WAFIQ dan I-Medik Terengganu serta dibantu ahli-ahli ISMA Kuala Terengganu dan mahasiswa kaunseling Universiti Malaysia Terengganu (UMT).
Program kali ini telah dirasmikan oleh Puan Hasmaryanti binti Kamaruzzaman, Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita Kelantan, KPWKM. Beliau menjelaskan peranan besar KPWKM dalam menyokong dan membantu wanita di dalam keluarga dan komuniti melalui pelbagai program. Antaranya adalah penubuhan Skuad Waja untuk membantu wanita dalam isu keganasan rumahtangga. Beliau menekankan peri pentingnya menganjurkan bengkel kemahiran seperti ini untuk terus memperkasa wanita di dalam negara. Selain itu, bengkel ini turut dihadiri oleh Presiden WAFIQ, Prof. Dr Rafidah Hanim binti Mokhtar dan Prediden I-Medik, Prof. Dr Azizi bin Ayob.
Sesi pertama berkenaan Kesihatan Mental Wanita telah disampaikan oleh Dr Hanisah binti Mohd Noor, yang merupakan Pensyarah Perubatan Psikiatri dan Ketua Jabatan Psikiatri Hospital Pengajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA). Beliau telah menyampaikan berkenaan kepentingan wanita untuk mengetahui penjagaan kesihatan mental dalam menguruskan kehidupan seharian kerana merekalah tunggak keluarga dan masyarakat. Terdapat beberapa bentuk penyakit mental dan gejala yang mesti diketahui agar golongan wanita boleh mendapatkan pengesahan dan rawatan awal.
Sesi kedua pula berkenaan Bantuan Asas Psikologi yang disampaikan oleh Dr Izyan Syazwani binti Khairuddin, Pakar Perubatan Psikiatri dari Hospital Raja Perempuan Zainab I, Kota Bharu, Kelantan. Sepertimana bantuan kecemasan, bantuan asas psikologi atau psychological first aid (PFA), adalah suatu kemahiran baharu yang perlu dipelajari bagi berdepan dengan pelbagai situasi stres dan mencabar hari ini. PFA biasa dikaitkan dengan mangsa bencana alam seperti banjir, tanah runtuh dan gempa bumi. Kemahiran asas PFA seperti Look, Listen and Link ditekankan agar para sukarelawan dapat mahir mengendalikannya apabila berdepan dengan mangsa-mangsa ini.
Sesi ketiga pula adalah sesi praktikal PFA yang dikendalikan oleh Dr Muna Hamiza binti Asiff, Pensyarah Perubatan Piskiatri, Fakulti Perubatan UniSZA. Berkongsi pengalaman beliau sebagai sukarelawan banjir di Kuala Berang awal tahun ini, beliau menekankan betapa pentingnya membina hubungan (rapport) dahulu dengan mangsa sebelum mendengar dan mengambil tahu masalah mereka. Konsep 6M iaitu mendekati, menstabilkan, membantu, memaklumkan, menyokong dan menghubung dijelaskan lagi dengan penglibatan peserta-peserta yang menjawab soalan ditanyakan sepanjang sesi ini.
Secara keseluruhannya, program Bengkel HealHer Zon Pantai Timur telah berjaya mencapai objektif memberikan pendedahan berkenaan kesihatan mental wanita dan bantuan asas psikologi kepada peserta-peserta. Semoga ilmu dan kemahiran yang diperolehi dapat dipraktikkan dalam kehidupan harian dan semasa bertugas sebagai sukarelawan.