#KitaJagaKita

Bakal kehilangan tenaga produktif jika gagal terima organ baharu

SHAH ALAM – Negara akan kehilangan tenaga yang produktif sekiranya anak muda yang mengalami masalah kegagalan organ tidak berjaya menerima organ baharu.

Naib Presiden Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik), Profesor Dr Rafidah Hanim Mokhtar berkata, tindakan menderma organ selepas meninggal dunia atau masih hidup dapat memberi sinar baharu kepada pesakit yang sedang menunggu untuk mendapatkan organ baharu.

“Tindakan menderma organ kepada golongan memerlukan boleh menyelamatkan mereka yang mengalami masalah kegagalan organ penting terutama melibatkan pesakit yang masih muda.

“Justeru negara tidak lagi kehilangan tenaga kerja produktif apabila anak-anak muda ini berpeluang untuk menyumbang kemahiran dan kepakaran dalam bidang kerja tertentu setelah mereka pulih dan sihat selepas pemindahan organ tersebut.

“Selain ia dapat membaiki kualiti kehidupan mereka yang mengalami masalah kegagalan organ,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Semalam media melaporkan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin memaklumkan kadar pendermaan organ dalam kalangan rakyat Malaysia antara 10 negara yang terendah di dunia.

Berdasarkan Cerapan Derma dan Pemindahan Organ Global, kadar transplantasi di Malaysia hanya 2.84 pembedahan bagi sejuta populasi pada tahun lalu berbanding 5.64 pembedahan dalam 2020.

Rafidah Hanim yang juga Profesor Fisiologi Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) memberitahu kerajaan juga perlu mengeluarkan perbelanjaan bagi rawatan seperti Haemodialisis susulan masih kekurangan penderma organ.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan hukum pendermaan dan pemindahan organ adalah harus (dibolehkan), menurut Fatwa Kebangsaan pada 1970.

“Saya berpandangan masih ramai lagi pihak yang tidak ‘jelas’ mengenai hukum pendermaan dan pemindahan organ.

“Ada di antara mereka merasakan sekiranya menderma organ tersebut akan disalah guna malah prosedur itu akan merosakkan jasad penderma orang yang meninggal dunia dan sebagainya,” ujarnya.

Beliau menambah individu yang mendermakan organ kepada golongan memerlukan bukan sahaja merupakan satu tindakan yang mulia malah memberi kehidupan lebih baik kepada penerima sekali gus mereka dapat meluangkan masa dengan orang tersayang pada jangka masa lebih lama.

Menurutnya, pengikrar penderma organ diminta untuk memaklumkan hasrat mereka kepada ahli keluarga dan waris bagi memastikan tidak berlaku permasalahan di kemudian hari.

“Kita faham masalah mendermakan organ ini merupakan isu sensitif kerana ia melibatkan persetujuan ramai pihak.

“Sebagai contoh ada kes walaupun individu yang meninggal dunia itu telah berikrar untuk mendermakan organ mereka selepas meninggal dunia.

“Bagaimanapun ada ahli keluarga yang tidak dimaklumkan mengenai perkara tersebut tidak bersetuju atau membenarkan organ itu diambil bagi tujuan pendermaan organ,” katanya.

Justeru, beliau berkata, setiap pengikrar penderma organ perlu menjelaskan hasrat mereka itu kepada waris dan ahli keluarga supaya mereka memahami dan membenarkan prosedur pemindahan organ berkenaan.

Beliau juga menyokong usaha Kementerian Kesihatan (KKM) untuk memperkenalkan ciri baharu dalam MySejahtera bagi membolehkan pengguna menjadi pengikrar penderma organ selepas kematian, menerusi aplikasi itu.

“Saya rasa ia suatu langkah yang bagus untuk mengalakkan lebih ramai masyarakat mendaftar untuk menjadi pengikrar penderma organ.

“Namun perkara paling penting adalah sesiapa yang berhasrat untuk menjadi penderma perlu memaklumkan dan berbincang dengan ahli keluarga supaya mereka tahu anak-anak atau ahli keluarganya menjadi pengikrar penderma organ selepas kematian,” jelasnya.

Sumber daripada Sinar Harian