Pengharaman arak dan kesan buruk akibat mengambilnya telah dijelaskan dalam ayat-ayat al-Quran dan Hadis Rasulullah s.a.w. lebih 1400 tahun dahulu. Antara kesan-kesannya yang disebut ialah berpaling daripada ketaatan kepada Allah seperti meninggalkan solat dan berani melakukan maksiat, boleh menghilangkan akal, serta menyebabkan kebencian dan permusuhan. Ayat-ayat Al Quran tentang pengharaman arak diturunkan dalam 4 peringkat dengan mengambilkira orang-orang yang masuk Islam ketika itu masih lagi kurang imannya dan agak sukar melepaskan tabiat kegemaran mereka ketika Jahiliyah.
Tahap pertama mengatakan tentang adanya kandungan alkohol dalam anggur (An Nahl: 67), tahap kedua menyatakan tentang mudharat minum arak lebih besar daripada manfaatnya (Al Baqarah: 219), tahap ketiga pula tentang larangan melakukan solat ketika mabuk (An Nisaa’: 43) dan tahap keempat ialah penetapan terus pengharaman arak (Al Maidah: 90).
Allah berfirman yang bermaksud,
“Wahai orang yang beriman! Sesungguhnya meminum khamar, berjudi, (berkorban untuk) berhala dan mengundi nasib dengan anak panah, adalah perbuatan syaitan. Maka jauhilah (perbuatan-perbuatan) itu agar kamu berjaya.”
Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud,
“Barangsiapa meminum minuman keras hingga masuk ke dalam perutnya maka tidak diterima solatnya selama 7 hari, apabila meminum minuman keras sampai hilang akalnya (mabuk) maka tidak diterima solatnya selama 40 hari, apabila ia mati, matinya dalam keadaan kafir, apabila ia bertaubat maka Allah akan menerimanya, apabila ia mengulanginya lagi maka hak Allah nanti akan memberikan minuman dari darah campur nanah.”
Dikatakan juga bahawa kebanyakan agama di dunia seperti Buddha, Hindu, Kristian dan Sikh juga mengharamkan arak di dalam kitab-kitab mereka kerana kesan-kesan dan akibat-akibatnya lebih banyak mendatangkan keburukan daripada kebaikan. Orang yang minum arak didapati apabila mabuk, mereka mudah melakukan kejahatan dan maksiat berterusan tanpa rasa bersalah di samping pelbagai masalah kesihatan yang dihadapinya.
Pada tahun 2015, data terbaru daripada Badan Kesihatan Dunia (WHO) tentang laporan status global mengenai alkohol dan kesihatan, menunjukkan bahawa orang-orang di Tajikistan mengambil minuman beralkohol paling banyak setiap tahun, dengan jumlah rata-rata 30.3 liter seorang. Ini agak mengejutkan kerana majoriti penduduk ialah 80 peratus Muslim. Ini bermakna orang-orang bukan Islam minum alkohol dengan jumlah yang sangat banyak. Pada urutan kedua ialah Rusia, dengan rata-rata konsumsi alkohol 22.3 liter seorang. Di tempat ketiga ialah Cina (15.1 liter) diikuti Ireland dan Jerman (14.7 liter). Dikatakan bahawa antara sebab-sebab pengambilan alkohol ialah memanaskan badan, menghilangkan rasa sedih dan stress serta sebagai suatu kebiasaan.
Di Eropah, di mana masalah ketagihan arak agak menular dan telah menyebabkan kadar kematian yang tinggi akibat kemalangan, kecederaan dan penyakit ‘liver cirrhosis’ serta kanser hati, pelbagai pihak termasuk kerajaan telah melaksanakan beberapa langkah untuk mengurangkannya termasuk mengharamkan penjualan arak di stesen-stesen minyak, menaikkan cukai jualan arak dan meletakkan amaran kesihatan di label-label botol-botol arak.
Menurut catatan World Health Organization (WHO) pada tahun 2011, tercatat 2.5 juta penduduk dunia meninggal dunia akibat alkohol dan 9% kematian tersebut terjadi pada orang muda (15-29 tahun). Adalah difahamkan bahawa minuman beralkohol yang ada di kalangan masyarakat mengandungi kadar alkohol yang agak berbeza. Bir umumnya mengandungi alkohol 3.5-5 peratus, wine mengandungi alkohol 10-14 peratus, fortified wine mengandungi alkohol 14-20 peratus manakala whisky dan vodka mengandungi alkohol yang paling tinggi iaitu 40 peratus.
KESAN-KESAN ALKOHOL PADA MANUSIA
Kesan ketagihan akibat meminum alkohol bukannya bergantung kepada jenis alkohol tetapi jumlah yang diminum pada satu-satu masa. Pada dasarnya terdapat dua kesan yang ketara pada penagih alkohol iaitu kesan jangka pendek dan jangka panjang.
Kesan jangka pendek pengambilan alkohol lebih kurang satu botol besar menjadikan seseorang itu kurang daya koordinasi seperti tidak boleh berjalan dengan betul dan tidak boleh membuka pintu. Dalam masa yang singkat ini juga boleh menyebabkan hangover. Hangover lazimnya disebabkan oleh keracunan alkohol, bahan lain dalam alkohol dan tindakbalas ketagih alkohol. Tanda-tanda hangover alkohol termasuklah sakit kepala, loya, muntah, cirit birit, gangguan pergerakan usus dan menggeletar selama 8 – 12 jam kemudian.
Kesan jangka panjang akan dirasai selepas meminumnya selama beberapa bulan atau tahun. Kesan utama adalah seperti sakit jantung, hati atau penyakit dalam perut. Bila situasi ini berlaku mereka akan kurang selera makan, kekurangan vitamin, jangkitan penyakit, mati pucuk atau kekurangan haid. Kematian yang awal adalah lebih kerap pada orang yang kuat minum, terutamanya daripada sakit jantung atau hati, radang paru-paru, kanser, keracunan alkohol yang teruk, kemalangan, pembunuhan dan pembunuhan diri.
- KESAN PADA OTAK
Pada asasnya selepas diminum, alkohol akan meresap dari usus kecil ke dalam darah. Alkohol terus dibawa ke jantung yang kemudiannya mengepam darah beralkohol tadi ke seluruh tubuh. Dari sini ia terus meresap ke dalam otak dan seterusnya ke urat saraf. Otak merupakan salah satu organ penting yang dimiliki oleh manusia kerana otaklah yang mengawal segala pergerakan dan perlakuan seseorang dan dengan kemasukan bahan asing ini ke dalamnya ia akan mempengaruhi pergerakan dan kelakuan peminumnya. Di sini, alkohol menyebabkan penindasan kawasan-kawasan yang biasanya mengawal maruah dan disiplin diri sehingga peminum mula merasa kurang sifat malu, fikiran bercelaru, dan pergerakannya pula agak tidak terkawal.
Peminum juga kurang keupayaan dari segi belajar, membentuk idea spontan, menumpukan fikiran, dan membuat pertimbangan yang teliti. Semakin banyak jumlah alkohol yang diminum semakin kuat otak tertindas sehinggakan boleh menyebabkan tidak sedarkan diri dan seterusnya kematian.
- KESAN PADA HATI
Kesan alkohol yang paling bahaya adalah kesan pada hati. Setiap kali seorang peminum meminum alkohol, hati akan mengalami kecederaan (mendapat luka). Sel hati akan mati dan menjadi parut. Parut ini akan mengurangkan kemampuan hati untuk berfungsi dengan sempurna. Parut yang serius akan menyebabkan hati tidak dapat berfungsi langsung. Keadaan ini disebut sirosis hati dan boleh membawa maut.
- KESAN PADA PERUT
Alkohol juga menyebabkan kerengsaan perut (gastritis) yang akhirnya boleh membawa kepada ulser. Bagi mereka yang memang menghidapi ulser perut, sakitnya akan menjadi semakin teruk.
- KESAN PADA SARAF
Kerosakan saraf boleh menyebabkan pelbagai jenis penyakit seperti sindrom Wernicke-Korsakoff dan kerosakan sel-sel otak, yang seterusnya membawa kepada komplikasi psikiatri. Peminum boleh mengalami halusinasi pendengaran, amnesia, paranoia, kemurungan, dan kecenderungan membunuh diri.
- KESAN PADA JANIN
Peminum alkohol kronik yang sedang hamil boleh menyebabkan kandungannya mempunyai ciri-ciri kecacatan seperti kekurangan berat badan, saiz kepala yang terlalu kecil berbanding tubuh, kurang penyelarasan otot, keadaan muka yang rata, dan kelemahan sendi-sendi.
LAIN-LAIN KESAN
Selain daripada kesan-kesan di atas, alkohol juga bertindak dengan pelbagai sistem dan organ tubuh. Contohnya, kesan terhadap sistem peredaran tubuh menyebabkan darah lebih banyak dialirkan ke kulit. Ini menyebabkan kulit peminum menjadi kemerah-merahan dan perpeluhan meningkat. Pengepaman jantung juga bertambah pantas dan kuat seperti individu yang sedang melakukan senaman. Kepada penghidap penyakit jantung, mereka mempunyai kemungkinan diserang penyakit itu.
Peminum alkohol juga didapati lebih cenderung membuang air kecil dengan kerap kerana etanol boleh merencat hormon penahan kencing. Peminum alkohol juga mungkin mengalami anemia atau kurang darah, hipoglisemia (kekurangan gula di dalam darah), dan ketandusan vitamin.
Bagi perokok yang meminum alkohol, ia boleh meningkatkan risiko kanser sebanyak 15 kali terutamanya pada bahagian mulut dan tekak.
Selain daripada kesan ke atas kesihatan ia boleh juga menimbulkan pelbagai masalah sosial. Masalah ketagihan alkohol boleh merosakkan hubungan persahabatan, kehilangan pekerjaan, hutang, simpanan keluarga dihabiskan, masalah rumah tangga, penganiayaan, penderaan, keruntuhan moral dan sebagainya.
Oleh itu hindarilah dari meminum minuman tersebut kerana jelas alkohol sangat ketara kburukannya.
MINUMAN KERAS – MALAYSIA
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah meletakkan Malaysia sebagai negara ke 10 tertinggi di dunia dalam jumlah pengambilan atau minum arak oleh rakyatnya. Rakyat negara ini membelanjakan RM1.5 bilion untuk arak setahun. Ini adalah perkara yang amat serius tetapi tidak diambil berat oleh banyak pihak untuk membendungnya, demikian laporan akhbar The Star 23 Mei 2011)
Mengimbas kembali sejarah negara kita, 36 tahun yang lepas iaitu pada 25 Januari 1981, negara diselubungi dengan berita yang amat memilukan apabila sekurang-kurangnya 32 orang disahkan meninggal dunia dalam tempoh dua hari di Lunas, Kulim akibat minum samsu murah. 49 orang lagi dimasukkan ke hospital, dengan lima daripadanya menjadi buta buat selama-lamanya. Walaupun pada awalnya terdapat pelbagai pandangan dan tindakan yang akan dilakukan daripada pihak Kerajaan Persekutuan hinggalah peringkat pejabat daerah akan keperluan untuk mengharamkan samsu atau arak dari bumi Malaysia namun setelah 36 tahun arak masih lagi dijual di merata tempat.
Pernah dikatakan bahawa Kerajaan Persekutuan menerima pendapatan sebanyak RM 1.75 billion bagi tahun 2010 daripada penjualan arak iaitu satu sumber pendapatan yang amat tinggi bagi negara tetapi ianya tidak bermakna kerana pendapatan tersebut dijana dengan kos kepada kesihatan dan nyawa manusia. Peruntukan undang-undang mengklasifikasikan arak sebagai minuman dengan kandungan alkoholnya melebihi dua peratus (2.0%) sahaja sementara yang di bawah peratusan itu bukan arak.
Masalah sosial akibat penjualan arak amat ketara seperti pergaduhan, gangguan seksual, penderaan anak dan isteri, gangsterisme, kemalangan, dan pelbagai masalah sentiasa menular di kalangan masyarakat di Malaysia. Statistik kerajaan membuktikan bahawa hampir 45% manusia yang minum arak murah di Malaysia adalah golongan belia yang dibawah umur 18 tahun.
Kini di pasaran terdapat lebih dari 300 jenis arak buatan tempatan dengan lesen dijual di paras bawah RM30 dengan kandungan 40% alkohol dengan isipadu 750ml, manakala yang paling murah dijual ialah RM1.70 sebotol isipadu 125ml dengan kandungan 38% alkohol, ia sangat murah berbanding air bergas seperti 100 Plus atau sebungkus Milo ais. Pelbagai jenama yang menarik perhatian remaja bawah umur 18 tahun untuk mencuba arak-arak murah ini.
Jadi, kami tidak nampak di mana manafaatnya mengadakan Beer Festival di Malaysia sedangkan banyak negara Barat sedang mengambil langkah-langkah untuk membendung gejala sosial ini. Pengambilan alkohol jelas mendatangkan kesengsaraan dan penderitaan kepada peminumnya, keluarganya, masyarakat sekeliling dan mampu menjejaskan pembangunan dan ekonomi negara jika yang terlibat adalah belia-belia yang merupakan tonggak dan pewaris bangsa dan ummah.
Kami berharap agar pihak kerajaan ‘membuat apa yang dikatakan’ iaitu mengharamkan arak atau alkohol dalam apa jua bentuk atau keadaan dan menolak sebarang penganjuran pesta arak dan yang seumpama dengannya demi kebaikan semua rakyat Malaysia.
Dr. Norzila binti Baharin
MD (USM)
Unit Pendidikan I-Medik