Salah satu daripada keperluan hidup manusia adalah keperluan kesihatan. Dalam nikmat keselesaan yang kita nikmati, terdapat kelompok masyarakat yang masih jauh daripada akses dan kurang berkemampuan untuk menyempurnakan kesihatan mereka.
Menyertai misi perubatan dan kesihatan bukan sahaja dapat memenuhi keperluan masyarakat kurang mampu, tetapi mendidik diri untuk selalu bersyukur atas nikmat kesihatan dan kemudahan perubatan yang serba mudah. Kerap kali keluhan apabila kami menanyakan kenapa tidak membuat pemeriksaan kesihatan? Penjaganya menjawab, jauh dan kos yang tinggi jika hendak ke pusat kesihatan. Seperti kes di Kampung Sungai Asap, penduduk terpaksa keluar ke Bandar Bintulu hampir 150km jauhnya, dan jika keluar terpaksa mengeluarkan kos juga untuk penginapan.
Misi-misi tahun 2016 I-Medik Sarawak dan Yayasan Ikhlas telah dimudahcara oleh beberapa agensi antaranya Urusetia Saudara Kita (USK) Majlis Islam Sarawak, HIKMAH Sarawak, dan YADIM Sarawak untuk memberikan khidmat perubatan dan kesihatan kepada masyarakat tanpa mengira bangsa dan agama.
Dalam keadaan serba kurang, para sukarelawan tetap memberikan khidmat terbaik kepada pesakit dan masyarakat kampung kerana harapan yang menggunung terpampang dari saat pertama menjejakkan kaki ke kawasan misi. Sukarelawan ini tidaklah melainkan insan yang Allah pilih untuk menyampaikan nikmat-Nya kepada insan lain yang lebih memerlukan.
Allah mencipta pelbagai ruang untuk manusia menjadi bermanfaat. Walaupun objektif misi adalah untuk memenuhi keperluan mereka yang dhaif, namun pelaksanaan misi tersebut mempunyai sebuah misi yang juga penting; menghakis sifat bakhil (menahan harta untuk diinfakkan) dan kikir (tamak dan rakus dengan harta orang lain) dalam diri sukarelawan.
Di dalam hati berbisik, alangkah bagusnya kalau kemudahan dan ubat-ubatan kami serba lengkap dan serba cukup. Namun itulah ibrah dari sebuah misi; melangkau batas rutin biasa dan mengajar erti kemandirian dalam keadaan terdesak. Namun begitu, kualiti kesihatan tanpa kompromi mendesak untuk keperluan kami harus ditambah baik – walaupun hanya sekadar misi. Dengan harapan misi akan datang lebih berjaya dan menepati keperluan perkhidmatan.
Alhamdulillah, ramai juga insan di luar sana yang berhati mulia menyumbangkan wang dan kelengkapan misi – ucapan terima kasih setinggi-tingginya. Duit anda bukan untuk membayar elaun sukarelawan namun sepenuhnya disumbangkan kepada mereka yang memerlukan. Semoga Allah membalasnya dengan segala kebaikan. Keperluan misi ini sentiasa berkembang dengan luasnya cakupan kawasan yang menjangkau dari Kuching ke Bintulu (pada tahun 2016) dan semestinya sumbangan anda sentiasa dialu-alukan.
Saya sertakan terus nombor akaun berikut untuk anda menyumbang.
Maybank Islamic I-MEDIK 5628-3463-5104
Maybank Islamic Yayasan Ikhlas 5628-3463-6228
Di saat ini mari kita mendoakan kesejahteraan juga buat saudara yang lebih perit dugaannya; di Aleppo, Arakan, dan Gaza – yang bertumpahan darah mempertahankan nyawa dan tanah air. Allah-lah yang berkuasa mengatur kehidupan hamba-Nya.
الله المستعان
Kembali Menyusun Misi 2017. Jom!
Mohammed Rasheedan b Ellin
Jawatankuasa I-MEDIK Sarawak
Jururawat dan Pengajar Klinikal,
Jabatan Kejururawatan,
Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan,
Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).