#KitaJagaKita

“Apa faktor yang buat seseorang itu tidak melakukan hubungan seks di luar perkahwinan?” , Perkongsian Dr. Anayasmin Azmi

Saya pernah lontarkan soalan,
“Apa faktor yang buat seseorang itu tidak melakukan hubungan seks di luar perkahwinan?”
Di tengah dewan seorang pelajar mengangkat tangan, pelajar bukan muslim, tingkatan 3 mungkin melihat pada kedudukan kelasnya.
“Agama saya tak benarkan hubungan seks luar perkahwinan” jawabnya dengan yakin.
Saya senyum, bangga dengannya.
Confident dan proaktif dia dalam memberi pendapatnya.
Bukankah jika ibu dan ayah nya berada disitu berasa lega dan bangga?
Pendidikan seksualiti, bukan hanya pemindahan informasi tetapi kita sebenarnya membentuk nilai yang akan anak pegang.
Pendidikan seksualiti adalah pelajaran untuk menguatkan nilai kekeluargaan, menumbuhkan pemahaman diri dan hormat terhadap diri,
mengembangkan manusiawi yang sihat, membangun tanggungjawab sosial dan seksual,
perkahwinan yang bertanggung jawab, serta menjadi orang tua yang bertanggung jawab. Banyak kata kunci disitu.
Bukan tidak boleh untuk ajar tentang kontrasepsi tapi ia perlu holistik dengan penerangan, didikan,bimbingan berterusan dalam konteks kekeluargaan tanpa memberi gambaran zina dibenarkan asal sahaja ia selamat dari penyakit kelamin.
Kerana apa tau?
Komplikasi zina terlalu banyak,
bukan hanya sekitar penyakit kelamin (STI), tetapi kesan psikologinya, aspek tanggungjawab yang datang dengannya, kemungkinan penderaan turut ada sama.
Kesan nasab keturunannya dan banyak lagi lah.Boleh jadi topik baru kalau nak senaraikn disini.
Anak-anak ada hak untuk mendapat maklumat lengkap termasuklah cara dan kemahiran menjauhi zina,
risiko dan implikasi berkaitan hubungan seks juga termasuklah dari perspektif agama.
Dan kita bertanggungjawab menyampaikan semua ini kepada anak-anak dalam membantu mereka membuat sesuatu keputusan.
Pendidikan seksualiti semestinya bukan taboo, pelbagai pihak berperanan penyampaikannya kepada anak-anak atau pelajar namun biarlah nilai sosiobudaya,perubatan,agama disertakan bersama kerana ia adalah kemahiran bagi anak-anak menghadapi era informasi tanpa sepadan kini.
Jika kita tidak memberikan pengetahuan dan kemahiran menyeluruh, mana mungkin mereka mampu membuat ‘informed decision’ dalam hidup mereka.
“Saya menyesal sungguh, doktor…” ini antara jawapan pesakit yang pernah saya temui.
“Jika boleh diputar masa,jika saya diberi kemahiran dan saya faham sungguh bahaya zina ni,pasti saya tak buat doktor..” sambil menitis air matanya.
Apalah makna,
“Jika boleh diputar masa..”
Kerana masa tidak boleh diputar.
Didiklah dari awal, dengan maklumat dan cara yang betul menurut agama, sosiobudaya kita.