PENGEMBALIAN ELAUN PERPINDAHAN SATU KEPUTUSAN YANG PERLU DISEGERAKAN

Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik) menyambut baik keputusan bersejarah kerajaan memberikan kuasa penuh kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menguruskan perjawatan, termasuk pelantikan tetap ke atas 4,500 pegawai perubatan kontrak. Kami juga memuji langkah pengembalian kelayakan menuntut elaun perpindahan bagi pegawai perubatan yang melapor diri di fasiliti baharu. Tindakan ini merupakan satu anjakan paradigma yang tepat dalam membela kebajikan barisan pegawai perubatan kontrak yang sekian lama berkhidmat.

 

Namun begitu, kelulusan dasar ini harus diiringi dengan pelaksanaan yang efisien. I-Medik menggesa agar proses tuntutan elaun perpindahan ini dipermudahkan tanpa birokrasi yang merumitkan dan disalurkan dengan segera.

 

Gesaan ini berdasarkan kepada realiti sistem kesihatan negara yang sedang berada pada tahap kritikal. Data terbaharu mendedahkan bahawa tenaga kerja doktor di sektor awam telah menyusut buat kali pertama dalam tempoh satu dekad selepas penyusutan yang berlaku pada tahun 2014. Lebih membimbangkan, ramalan Timbalan Menteri Kesihatan bahawa kadar ketidakhadiran melapor diri (no-shows) di Sabah boleh mencecah sehingga 50 peratus adalah satu isyarat kecemasan.

 

Kadar no-shows yang tinggi ini berakar umbi daripada ketidakmampuan pegawai perubatan muda menanggung kos pemindahan yang menelan belanja besar, terutamanya penempatan merentasi Laut China Selatan. Jika bantuan kewangan lambat diterima, tekanan logistik dan kewangan ini akan mendesak lebih ramai pegawai menolak tawaran atau memilih untuk meletakkan jawatan. I-Medik mencadangkan agar pihak kementerian turut mempertimbangkan inisiatif pendahuluan elaun atau pemberian waran tiket penerbangan bagi meringankan beban kewangan pendahuluan (upfront cost) para pegawai.

 

Kesimpulannya, I-Medik menyokong penuh segala inisiatif proaktif KKM untuk memperkukuhkan perkhidmatan kesihatan awam di Malaysia. Memastikan kelancaran dan kepantasan penyaluran elaun perpindahan ini bukan sahaja akan memulihkan semangat dan motivasi pegawai perubatan, malah ia adalah satu pelaburan wajib bagi menghalang krisis penyusutan tenaga kerja kesihatan negara daripada terus meruncing.

 

Dr Ahmad Muslim Bin Ahmad Roslan

Naib Presiden

Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik)

Leave a Comment