#KitaJagaKita

80 peratus penduduk Jandiris terpaksa berlindung di 75 kem pelarian

11dele1_1681182572

AFRIN: Wabak campak, kolera, polio dan penyakit kulit berjangkit antara masalah kesihatan yang membelenggu lebih 115,000 penduduk di Jandiris, di sini, susulan gempa bumi 6 Februari lalu, sekali gus memerlukan tindakan segera.

Ketika ini dianggarkan lebih 80 peratus penduduk terpaksa berlindung di 75 kem pelarian yang setiap satunya menempatkan antara 2,000 hingga 3,000 orang.

Pakar perubatan daripada I-Medik , Dr Fatimah Zaharah Rosli memberikan perkhidmatan di klinik bergerak kepada perlarian di kem rahamat Jandiris di utara syria

Keadaan itu mencetuskan pelbagai masalah kesihatan berikutan ketiadaan bekalan air bersih selain kesesakan di khemah pelarian yang asalnya menempatkan pelarian dalaman (IDP) dan kini ditambah dengan kehadiran mangsa gempa bumi.

Lebih memburukkan keadaan, gempa bumi pada skala 7.8 Richter yang mengorbankan kira-kira 4,000 penduduk Jandiris meninggalkan kesan lebih buruk ke atas akses perubatan apabila tragedi itu turut ‘melenyapkan’ hospital besar serta hospital wanita dan kanak-kanak.

Tragedi itu turut menyebabkan 210 bangunan di Jandiris musnah sepenuhnya dan dianggarkan 90 peratus bangunan perlu dirobohkan kerana tidak lagi selamat untuk didiami.

Ketua Pejabat Kesihatan Daerah Jandiris, Dr Shamsudin Huto, berkata ketika ini hanya hospital tentera yang beroperasi, namun ia tidak dibuka kepada orang awam.

Pakar obstetrik dan ginekologi itu berkata, ketika ini penduduk terpaksa bergantung kepada dua klinik bergerak diuruskan Ataa Humanitarian Relief Association (ATAA), badan bukan kerajaan (NGO) yang menguruskan dana antarabangsa termasuk dari Malaysia bagi IDP Syria dan pelarian Syria di Turkiye

Menurutnya, klinik bergerak itu terpaksa memenuhi keperluan hampir 100,000 IDP dan mangsa gempa yang ditempatkan di 75 kem di seluruh Jandiris.

Katanya, setiap hari klinik bergerak yang mengadakan lawatan secara berkala di setiap kem dan beroperasi lapan jam sehari, menerima kunjungan antara 60 hingga 100 pesakit.

“Kes lebih berat yang memerlukan pemeriksaan lanjut atau pakar perlu dirujuk ke hospital terdekat di Afrin, Atma mahupun di wilayah Idlib.

“Kami memerlukan sebuah hospital yang beroperasi 24 jam dengan segera selain dana untuk menggerakkan operasi institusi kesihatan ini,” katanya ketika dikunjungi kumpulan sukarelawan Aman Palestin di Pejabat Daerah Jandiris.

Jandiris adalah sebuah kawasan di utara Syria di negeri Aleppo yang kini dalam jajahan kerajaan Turkiye.

Kunjungan itu sempena Misi Ramadan Bersamamu dan Bantuan Gempa Bumi yang membawa bantuan keseluruhan bernilai AS$280,000 (RM1.3 juta) yang memanfaatkan 8,500 penduduk.

Yang turut hadir pakar ortopedik selaku Penyelaras Perubatan ATAA, Dr Aref Abo Korsh; Pegawai Media dan Dokumentasi Aman Palestin, Ismail Muhammad Juffri serta dua pakar perubatan daripada Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik), Dr Fatimah Zaharah Rosli dan Dr Muhammad Ikmal Mohamad Kamil.

Dr Shamsuddin berkata bagi penyelesaian jangka pendek, pihaknya memerlukan lebih banyak klinik bergerak bagi memenuhi keperluan perubatan penduduk yang semakin mendesak.

Untuk rekod, sebanyak AS$5,000 (lebih RM22,000) diperlukan untuk mewujudkan sebuah klinik bergerak, manakala tambahan AS$5,000 lagi diperlukan untuk membiayai operasi setiap bulan.

Beliau berkata Jandiris yang berada di bawah penguasaan Turkiye kini tidak lagi menerima bantuan terus dari kerajaan negara berkenaan sejak gempa bumi berlaku, sebaliknya projek kesihatan hanya dibiayai dengan kerjasama kerajaan dan NGO.

Katanya, dalam tempoh 10 hari, AS$100,000 (RM485,000) perlu dibelanjakan hanya untuk membiayai bekalan ubat-ubatan.

Beliau turut menjelaskan hanya 27 peratus penduduk Jandiris menerima vaksin termasuk polio dan MMR yang dibekalkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), manakala majoriti penduduk sudah mendapatkan vaksin COVID-19.

Dalam pada itu, Dr Fatimah Zaharah yang juga pakar perubatan dalaman di Hospital Pekan dan Dr Muhammad Ikmal, pakar mata Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang bertugas di Hospital Queen Elizabeth turut memberikan perkhidmatan perubatan di dua klinik bergerak.

Dalam tempoh dua jam, klinik dikunjungi hampir 80 pesakit yang rata-rata mengalami batuk, selesema dan demam.

Ramai pesakit dewasa menghadapi masalah sendi manakala wanita hamil memerlukan vitamin dan kanak-kanak mengalami kekurangan zat serta jangkitan kuman air kencing.

Ada juga yang datang mengalami masalah mata, telinga selain mereka yang mendapatkan rawatan dan ubat untuk sakit baki luka akibat gempa bumi.

Pada sebelah petang, Aman Palestin mengagihkan 600 pek makanan berbuka puasa kepada 600 keluarga di tiga kem pelarian, antaranya Kem Rahamat dan Kem Abu Ya’rok.

Jelas kelihatan kehadiran kumpulan sukarelawan Aman Palestin ke kem berkenaan amat ditunggu-tunggu dan membawa keceriaan khususnya kepada kanak-kanak.

Gempa bumi paling kuat dalam tempoh 100 tahun yang kemudiannya diikuti beberapa gempa bumi susulan menambah lagi kesengsaraan penduduk yang sedia terkesan akibat pergolakan dalam negara.

Pemberontakan Syria atau Perang Saudara Syria adalah konflik dalaman yang masih berterusan sejak awal 2011. Bantahan bermula pada Januari 2011, dan meningkat kepada tahap kebangkitan pada 15 Mac 2021.

Statistik dikeluarkan Syrian Observatory for Human Rights menyatakan antara 503,064 hingga 613,407 maut dalam tempoh 12 tahun sehingga 15 Mac lalu.

Orang ramai yang ingin menyalurkan sumbangan boleh berbuat demikian menerusi laman jommenyumbang.com. (Aman Palestin) Sebarang maklumat lanjut boleh hubungi talian 03-89267019.

– Sumber daripada Berita Harian

Orang ramai turut boleh sampaikan sumbangan melalui tabung I-Medik