Tips Keempat : Sentiasa Merancang Masa & Bergiat Aktif Dalam Aktiviti Di Luar Hospital
Berkecimpung dalam sebuah badan bukan kerajaan (NGO) I-Medik, membolehkan saya terlibat dalam aktiviti di luar waktu bekerja. Contohnya memberikan ceramah dan kursus kesihatan di sekolah, kolej perubatan dan universiti, menyertai aktiviti-aktiviti kemasyarakatan, mesyuarat dan lain-lain memerlukan saya merancang jadual saya sekurang-kurangnya sebulan, malah ada juga dua bulan sebelum sesuatu event. Disamping itu, saya juga sudah berkeluarga dan mempunyai anak. Ini tidak menjadikan saya mengabaikan tanggungjawab saya terhadap keluarga dan organisasi NGO.
Saya akan mengambil peluang untuk cuti berehat dan meluangkan masa bersama keluarga. Ungkapan houseman tiada life sebenarnya terlalu umum. Hendak seribu daya, tak mahu seribu dalih. Perancangan masa dan penyusunan jadual hidup perlu dilakukan awal kerana sememangnya tugasan kita di hospital agak sibuk. Dengan perancangan awal, sekurang-kurangnya kita boleh merancang jadual kerja dan cuti kita dengan baik. Saya juga menyarankan agar para HO turut sama berkecimpung dalam persatuan atau badan bukan kerajaan untuk menjadikan kita sentiasa bersedia dan memastikan masa-masa terluang kita akan terisi dengan perkara yang bermanfaat.
Tips Kelima : Berdoa Dan Bertawakkal Kepada Allah
Pada saya, inilah perkara yang paling penting. Setiap kali kita melangkah keluar daripada rumah ke hospital, sentiasalah berdoa kepada Allah agar dipermudakanh segala urusan pada hari tersebut. Niatkan agar kerjaya kita hanyalah semata-mata kerana-Nya, hanya amalan yang ikhlas kerana-Nya akan diterima dan dikira sebagai ganjaran pahala sebagai bekalan diakhirat kelak.
Sebagai pengakhiran, ruangan ini sebenarnya terlalu singkat untuk menukilkan segala-galanya berkenaan kehidupan HO. Setiap orang mempunyai caranya yang tersendiri untuk mewarnai kehidupan HOnya. Semoga perkongsian ini bermanfaat dan memberikan sedikit gambaran ringkas untuk doktor pelatih yang sedang berkhidmat dan juga mereka yang bakal berkhidmat kelak. Lakarlah hari-hari HO kita dengan warna-warna yang terang dan ceria.
Dr. Muhammad Hashemi Dahalan B Md Razip
HO, Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar.
Pengerusi I-Medik Kedah.