#KitaJagaKita

Saring Pencemaran Maklumat Kesihatan Mental di Media Sosial

317845382_696142068710282_7339417470169074914_n

Pandemik sememangnya mengubah banyak aspek dalam kehidupan manusia termasuk bagaimana mengesan status dan keadaan kesihatan mental seseorang. Dengan kes masalah mental seperti kemurungan, kebimbangan dan kecenderungan mencederakan diri meningkat secara ketara, generasi muda antara paling terkesan.

Bukan itu sahaja, pandemik juga mengubah dinamika akses kesihatan dalam banyak sudut. Tidak hairanlah Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus pernah mengingatkan dunia bukan sekadar sedang melawan epidemik, malah turut melawan ‘infodemik.’

Istilah ini merujuk kepada lambakan maklumat bercampur-baur antara benar dengan tidak benar hingga menimbulkan banyak kekeliruan. Malah, kajian di Korea dan India turut melaporkan lambakan maklumat palsu di media sosial itu sendiri boleh menyumbang kepada gangguan psikologi dalam kalangan masyarakat.

Daripada sudut positif, kita melihat kewujudan media sosial sebagai platform alternatif kepada masyarakat mendapatkan akses kesihatan mental. Populariti media sosial baharu semakin bertambah susulan pandemik menjadi antara sumber penyebaran maklumat kesihatan.

Platfom seperti TikTok misalnya dilaporkan meningkat hingga 180 peratus dalam kalangan pengguna media sosial berusia 15 ke 25 tahun sejak 2020. Tanda pagar #mentalhealth atau kata kunci kesihatan mental akan menemukan kita dengan 18 bilion capaian. Ini termasuk dalam kalangan pengguna berkongsi pengalaman hingga individu memberikan maklumat spesifik seperti tanda penyakit kemurungan, kebimbangan, bipolar dan rawatan berkaitan.

Pada masa sama, ramai pakar dalam bidang ini seperti kaunselor, pakar psikiatri dan ahli psikologi menggunakan platfom media sosial untuk menyebarkan maklumat kepada masyarakat sebagai sumber untuk memahami apa yang boleh dilakukan bagi mencegah, mendapatkan rawatan serta membantu individu memerlukan sokongan psikologi.

Ini kerana akses terhadap kesihatan mental turut terjejas, di samping kekangan seperti logistik, kekurangan sumber manusia, kewangan dan stigma menyebabkan lebih separuh daripada golongan bermasalah tidak mendapatkan bantuan.

Namun, di celah-celah kebaikan ini wujud isu pencemaran maklumat serius. Ini berlaku apabila maklumat tidak tepat dan palsu mengenai kesihatan mental boleh tersebar secara meluas.

Ini boleh berlaku kerana tiada pemantauan ketat dan arus penghasilan kandungan terlalu pesat dalam media baharu ini. Sesiapa sahaja, tidak kira latar belakang, sekalipun tidak mempunyai kelayakan boleh berkongsi secara bebas.

Cenderung pilih cara rawatan salah

Antara kesan utama pencemaran maklumat ini ialah salah faham terhadap isu kesihatan mental boleh menyebabkan sama ada individu cenderung untuk mendiagnosis diri sendiri atau memilih cara rawatan salah.

Contohnya, nasihat dikongsikan mungkin bersifat toksik yang akhirnya menyebabkan individu terkesan menyalahkan diri sendiri, cuba merawat diri sendiri ataupun berasa malu dengan kekurangan yang berlaku dalam diri.

Kandungan yang secara mudah memberikan tanda penyakit secara umum akan menyebabkan mereka yang mengikuti kandungan berkenaan tersalah anggap apa yang mereka alami adalah penyakit mental. Padahal, proses penilaian dan pengesahan diagnosis hanya boleh dilakukan pakar dalam bidang ini sahaja melalui proses tertentu.

Perkongsian pengalaman pesakit mengalami masalah mental juga perlu dilakukan secara berhati-hati. Walaupun dengan niat baik untuk meningkatkan kesedaran, jika salah kaedah, ia boleh mencetus kebimbangan.

Contohnya, perkongsian mengenai pengalaman mencederakan diri dan trauma lampau boleh mencetus krisis kepada mereka yang dalam keadaan tidak stabil emosinya.

Lebih menakutkan lagi, ada laman sawang dan perkongsian menormalisasi kaedah mencederakan diri atau penggunaan dadah sebagai sesuatu yang wajar dilakukan untuk merawat gangguan psikologi. Ini dibimbangi akan mempengaruhi pemikiran remaja yang masih belum matang menilai.

Sebagai langkah pencegahan, semua pihak, terutama mereka yang pakar dalam bidang ini perlu turut sama terjun dalam lapangan ini bagi menangkis maklumat tidak sahih ini daripada terus mempengaruhi minda masyarakat. Masyarakat perlu dididik dengan maklumat yang tepat serta cara mendapatkan maklumat yang betul.

Kerajaan dan institusi pengajian tinggi (IPT) turut perlu mengiktiraf usaha ini sebagai sebahagian sumbangan ilmuwan kepada masyarakat, sekali gus bukan sekadar sibuk di platfom jurnal akademik semata-mata.

Media sosial seperti TikTok sendiri misalnya pernah mengambil usaha bekerjasama dengan WHO sewaktu pandemik untuk menyediakan sumber maklumat sahih mengenai kesihatan mental.

Libat sama pakar bidang dengan pengendali platfom ini perlu dipergiat bagi memastikan pencemaran maklumat ini dapat dicegah sebelum parah. Masyarakat pula perlu bijak memilih dengan menyemak latar belakang penyampai dan maklumat disampaikan. Jangan terlalu mudah terikut malah menyebar setiap maklumat diperoleh.

Kita perlu sedar impak penyebaran maklumat ini kepada individu yang terkesan. Bimbang menjadi seperti tikus membaiki labu, niat membantu akhirnya menjadi racun dan bukannya penawar.

Penulis adalah Pakar Psikiatri dan Pensyarah Jabatan Psikiatri, Kulliyyah Perubatan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

https://www.bharian.com.my/…/saring-pencemaran-maklumat…