#KitaJagaKita

Minum Arak Budaya Merosakkan Masyarakat

DCVF_CASE_Heineken-vid.muslim

Bagi peminum arak, arak didapati dapat mengurangkan stress, meningkatkan mood, keramahan dan perasaan relaks. Bagi pemain industri arak, ia memberi pulangan yang banyak, malah menguntungkan negara. Sebanyak RM 1.75 billion keuntungan telah diperolehi bagi tahun 2010 daripada penjualan arak. Terdapat beberapa kajian yang mengaitkan minuman arak dengan pengurangan risiko kematian yang disebabkan oleh penyakit jantung dan penyakit kardiovaskular terutama pada kadar sederhana. Amalan minum arak sudah lama menjadi budaya atau gaya hidup bagi sesetengah kelompok, keluarga atau kaum dan ia pasti dihidangkan dalam majlis-majlis sosial atau keramaian. Tidak terkecuali di Malaysia, dianggarkan penggunaan minuman arak rakyat Malaysia perkapita sekitar 0.8 liter bagi tahun 2018 dan sekitar 11.8% rakyat Malaysia merupakan peminum arak. Tetapi adakah ini sudah cukup merasionalkan amalan minum arak di Malaysia?

Bilakah minuman arak memberi kebaikan kepada kehidupan manusia? Secara jelas, kita tidak menemuinya dengan pasti dalam setiap sudut. Tetapi banyak kajian dan pengalaman menunjukkan keburukan minuman arak yang besar dan akan membiak daripada satu keburukan kepada keburukan lain yang lebih teruk. Kesan keburukan itu juga membiak daripada peminum kepada orang sekeliling, kemudian komuniti dan negara. Apa yang kita tahu mengenai minuman arak?

  1. Tiada kandungan arak yang selamat diminum
    • Satu kajian analisis sistematik terhadap Global Burden of Disease Study 2016 mendapati tiada tahap kandungan arak yang selamat untuk kesihatan.
    • Hampir kesemua kajian yang menunjukan hubungan kebaikan minuman arak pada kadar rendah atau sederhana dengan risiko penyakit jantung adalah dapatan daripada kajian epidemiologi.
    • Malah terdapat beberapa kajian terbaru yang lain mendapati tiada faktor perlindungan terhadap risiko penyakit jantung atau penyebab kematian lain dengan meminum arak pada kadar sederhana.
    • Kebanyakan saintis barat menyarankan agar tidak mula meminum arak sekiranya masih belum pernah minum disebabkan kesan buruk arak terhadap kesihatan.
  1. Tiada kebaikan nutrisi dalam arak
    • Arak secara asasnya mengandungi air, alkohol (ethanol) dan gula. Namun ratusan jenis minuman arak yang dijual mempunyai banyak lagi campuran lain yang menambah lebih banyak kesan buruk kepada peminum.
    • Tidak ada kandungan nutrisi yang diperlukan dalam arak atau kalori daripada arak (empty calories)
    • Arak sebenarnya dikategorikan sebagai dadah dalam kumpulan dadah penindas (depressant) yang boleh melambatkan aktiviti saraf dan fizikal tubuh badan.
    • Kita tidak memerlukan arak untuk hidup sihat mahupun untuk menjadi lebih sihat.
  1. Antara penyebab utama kematian awal dan kecacatan
    • Sebanyak 3.3 juta kematian setahun (5.9% daripada keseluruhan kematian) di dunia dikaitkan dengan amalan minum arak.
    • Kajian juga mendapati hubungan penyebab antara arak dengan lebih 200 jenis penyakit dan kecederaan yang tidak dapat dikawal.
    • Antara penyebab utama kematian yang dikaitkan dengan alkohol adalah penyakit kardiovaskular dan kencing manis (33.4%), kecederaan (17.1%), sirosis hati (liver cirrhosis) (16.2%), kanser (12.5%), dan penyakit berjangkit (8%).
  1. Kemalangan jalan raya antara penyebab utama kematian disebabkan arak
    • Kemalangan jalan raya adalah penyebab kematian ke-4 tertinggi pada tahun 2014 (6.8%).
    • Kematian yang disebabkan arak yang melibatkan kemalangan jalan raya (1111) lebih tinggi berbanding sirosis hati (411) dan kanser (355).
    • Sebanyak 461 kemalangan jalan raya dibawah pengaruh alkohol pada tahun 2016 dengan 237 kematian.
    • Kajian daripada Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia menunjukkan pemandu dibawah pengaruh alkohol adalah 13 kali berisiko tinggi menyebabkan kemalangan.

Apa lagi yang kita boleh senaraikan dengan kesan budaya minum arak dalam sebuah masyarakat atau negara? Antara penyebab utama keganasan rumah tangga, masalah sosial, kes depresi, bunuh diri dan juga kematian serta kecederaan kepada orang disekeliling samada disebabkan kemalangan jalan raya atau tindakan tanpa kawalan pemabuk.

Adakah ada lagi alasan rasional untuk membenarkan minum arak sebagai satu budaya (kalaupun ia telah diamalkan berkurun lamanya dalam satu-satu keluarga atau kaum) dengan segala keburukan yang telah kita ketahui ini? Dan adakah ada alasan yang lebih munasabah untuk membiarkan penjualan arak secara berleluasa atau membenarkan pesta arak secara terbuka atau membiarkan penguatkuasaan yang lemah bagi kemalangan yang melibatkan penggunaan minuman arak? Jawapannya sudah pasti TIADA!

Jadi apa yang perlu kita lakukan? Semuanya bermula daripada kita sebagai sebahagian daripada masyarakat dan rakyat Malaysia. Ambil tahu tentang bahayanya minuman arak dari sudut agama, kesihatan, keselamatan, sosial, keluarga dan negara, yang sepatutnya menjurus kepada pengharaman minuman arak secara menyeluruh. Jaga diri, ahli keluarga dan komuniti daripada terlibat dengan aktiviti dan budaya minum arak. Sokong mana-mana kempen menolak budaya minum arak secara terbuka. Bantah penjualan minuman arak secara meluas, tanpa kawalan dan dikawasan yang tidak sesuai. Desak pemimpin atau wakil rakyat agar penguatkuasaan dan polisi berkaitan minuman arak diperketatkan sehingga minuman arak dapat diharamkan. Bantu mereka yang terlibat dengan budaya minum arak berlebihan serta ketagihan dengan nasihat, sokongan moral dan rujuk kepada pusat kesihatan.

Semoga Malaysia sejahtera tanpa arak.

Dr Ahmad Muslim Bin Ahmad Roslan

Sumber:

https://www.who.int/substance_abuse/publications/global_alcohol_report/profiles/mys.pdf?ua=1

https://www.statista.com/statistics/948299/malaysia-number-of-alcohol-related-deaths-by-cause/

https://codeblue.galencentre.org/2020/06/03/malaysians-binge-drink-more-than-british-survey-claims/

https://iku.gov.my/images/IKU/Document/REPORT/NHMS2019/Infographic_Booklet_NHMS_2019-English.pdf

https://data.worldbank.org/indicator/SH.ALC.PCAP.LI?end=2018&locations=MY-1W&start=2005

https://theaseanpost.com/article/drunk-driving-rise-malaysia

https://www.medicinenet.com/alcohol_and_nutrition/article.htm

https://arcr.niaaa.nih.gov/alcohol-organ-interactions-injury-and-repair/alcohols-effects-cardiovascular-system

https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC6713002/