Isu perkahwinan bawah umur kembali menarik perhatian umum berikutan kes perkahwinan seorang remaja berusia 11 tahun dengan seorang lelaki dewasa berusia 41 tahun yang telah beristeri di Kelantan baru-baru ini. Kes ini telah mendapat liputan meluas terutamanya di dalam aspek kehakiman dan perundangan serta dikhuatiri terjadinya eksploitasi seksual terutamnya apabila pernikahan itu dilakukan di Thailand dan tidak melalui kuasa Makhamah Syariah di Malaysia.
Di Malaysia, “legal adulthood” atau usia kematangan di ambil sebagai 18 tahun. Usia ini juga dikira sebagai satu usia yang menentukan kematangan dalam membuat keputusan misalnya keizinan pembedahan atau prosedur tertentu . Manakala bagi “legal age of marriage’ pula, di bawah Seksyen 8, Akta Undang-undang Keluarga Islam (wilayah-wilayah Persekutuan) adalah 16 tahun bagi perempuan dan 18 tahun bagi lelaki. Perkahwinan sebelum usia ini memerlukan keizinan dari Hakim Syarie.
I-Medik memandang serius perkahwinan remaja yang terlalu muda seperti kes ini berikutan kebimbangan seandainya terdapat unsur eksploitasi seksual terhadap kanak-kanak. Pada masa yang sama, isu perubatan juga menjadi asas kepada kebimbangan ini. Perkahwinan yang terlalu muda boleh mengundang pelbagai risiko kehamilan seperti anemia, darah tinggi sewaktu hamil, kelahiran pramatang, berat bayi yang rendah serta pelbagai komplikasi sewaktu kelahiran kerana dari sudut anatomi dan fisiologi yang belum mencapai kematangan reproduksi.
Selain itu, kematangan kanak-kanak dari segi psikologi dan emosi juga perlu diambil berat dalam menentukan kesediaan mereka untuk berkahwin. Ini penting kerana perkahwinan pada usia sebelum kematangan telah terbukti meningkatkan risiko masalah mental seperti kemurungan di kalangan remaja wanita. Risiko ini akan lebih ketara jika kanak-kanak tersebut terdedah kepada pengabaian, penderaan emosi, fizikal atau seksual. Oleh yang demikian, penilaian psikologi juga dilihat menjadi keperluan dalam kes-kes tertentu bagi memastikan keputusan yang dibuat adalah baik untuk remaja terbabit.
Namun pada masa yang sama I-Medik merasakan mengharamkan terus perkahwinan bawah umur harus diteliti dengan sedalam-dalamnya. I-Medik menyokong kenyataan Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail bahawa melindungi kanak- kanak harus selari dengan memartabatkan Mahkamah Syariah dan Mahkamah Adat di Malaysia Timur.
Adapun remaja yang berusia sekitar 16-18 tahun, risiko kehamilan semakin berkurangan terutamanya jika mendapat jagaan antenatal yang sempurna. Ada remaja yang berumur 16-18 tahun yang sudah mencapai kematangan dari sudut emosi, fisiologi dan anatomi dan sudah bersedia untuk berkahwin apalagi telah menamatkan pendidikan sekunder. Menghalang perkahwinan boleh mengundang lebih banyak kes perzinaan dan kelahiran tanpa nikah.
I-Medik menyeru supaya undang-undang yang sedia ada diperkukuhkan dengan meletakkan syarat yang ketat bahawa sebarang perkahwinan di bawah usia 16 tahun perlu diteliti dan diletak di bawah kuasa hakim Syarie. Pertimbangan yang sewajarnya hanya harus diberi setelah melihat dari segala sudut agar kebajikan remaja akan terpelihara.
I-Medik menghargai respon yang telah diberikan oleh masyarakat umum terhadap kes ini. Sensitiviti masyarakat menunjukkan masyarakat prihatin terhadap nasib remaja. Pada masa yang sama, I-Medik juga menyeru agar masyarakat juga terus cakna dalam isu-isu yang melibatkan remaja seperti perzinaan, LGBT, pengguguran kerana semua ini boleh membawa kemudaratan dalam aspek kesihatan fizikal serta struktur sosial negara.
Dekan,
Presiden I-Medik (Ikatan Prngamal Perubatan & Kesihatan Muslim Malaysia).