Imunisasi atau Vaksinasi merupakan salah satu kaedah pencegahan yang dapat dilakukan bagi mengelakkan penyakit – penyakit berbahaya yang mengancam nyawa seperti demam campak (measles), tibi (batuk kering), batuk kokol (pertussis), difteria, tetanus (kancing gigi) atau polio, khususnya terhadap kanak-kanak. Namun begitu, mutakhir ini semakin ramai ibu bapa yang menolak pengambilan vaksin kerana menerima pelbagai maklumat dan dakwaan yang salah berkenaan vaksin. Antaranya ialah vaksin mengandungi bahan yang merosakkan otak, menyebabkan autism dan beberapa kesan sampingan lain. Bukan itu sahaja, malah vaksin juga dilabelkan sebagai haram dan didakwa merupakan konspirasi Yahudi untuk melemahkan umat Islam.
Natijahnya, penyakit berjangkit yang sebelum ini dapat dikawal, telah muncul kembali dan menjadi ancaman kepada masyarakat. Kebimbangan golongan ini terhadap vaksin menyebabkan mereka tidak memvaksinkan anak tanpa menyedari bahawa keengganan mereka akan meletakkan tahap kesihatan masyarakat awam pada tahap berisiko tinggi dan terancam. Penyakit-penyakit yang selama ini hanya dapat dilihat di dalam buku teks sahaja telah kembali dan kos rawatan penyakit tersebut nyata lebih tinggi berkali ganda berbanding mengambil suntikan vaksin.
Sebenarnya penggunaan vaksin dalam program imunisasi bagi mengelak bahaya penyakit -penyakit yang berkenaan adalah diharuskan oleh syarak selaras dengan Kaedah Fiqhiyyah iaitu kerosakan adalah didahulukan daripada mencari kemaslahatan. Dalam hal ini Islam amat menitikberatkan keselamatan umat manusia. Perlu difahami bahawa sesuatu perkara yang hendak dilaksanakan untuk maslahah ummah hanya diperakukan oleh syarak sekiranya tidak bercanggah dengan Maqasid Syar’iyyah iaitu menjaga agama, nyawa, aqal, keturunan dan harta.
Menurut fuqaha’, sebarang penyakit perlu dihindari, dirawat dan diubati. Dalam konteks ini pencegahan daripada sebarang bentuk gejala yang boleh menjejaskan kesihatan dan nyawa adalah menjadi pegangan dan keutamaan ajaran Islam.
Berdasarkan ketetapan dan panduan syarak tersebut, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia sejak dari tahun 1988 lagi telah mengeluarkan beberapa pandangan hukum yang berkaitan langsung dengan imunisasi yang seharusnya menjadi panduan seluruh umat Islam, antaranya Imunisasi Hepatitis B Menurut Islam, Pandangan Islam Terhadap Imunisasi Campak, Tibi, Batuk Kokol, Difteria, Tetanus Dan Polio, Ubat Pelalian Rubela (Imunisasi Rubela), Hukum Suntikan Pelalian Vaksin Meningococcal Meningitis Oleh Orang Islam, Hukum Penggunaan Vaksin Biothrax Dan Vaksin Rotateq Yang Menggunakan Unsur Babi Dalam Proses Penghasilannya, Hukum Pengambilan Vaksin Human Papilloma Virus (HPV) dan Hukum Penggunaan Vaksin Meningitis Menveo. Maklumat-maklumat mengenai keputusan tersebut boleh diperolehi melalui Portal e-fatwa (www.e-fatwa.gov.my).
Sekiranya dinilai daripada fatwa-fatwa yang telah diputuskan, jelas Islam tidak mengHARAMkan vaksin. Para mufti dan ulama telah bersidang dan menjalankan kajian berkenaan isu ini sebelum diputuskan. Fatwa bukan dibuat secara semborono kerana ia melibatkan prinsip Islam dan penyelidikan secara holistik sebelum fatwa tersebut dikeluarkan. Justeru, umat Islam harus bersangka baik dan meletakkan kepercayaan kepada pihak berkuasa dalam menjalankan tugas serta tidak melampau dalam hal yang boleh menjurus kepada kekeliruan dan kekacauan di dalam masyarakat.
Tidak dinafikan bahawa melangkah ke dunia yang serba moden dengan maklumat di hujung jari membawa manfaat yang besar bagi petugas kesihatan memandangkan para pesakit sudah mula peka terhadap penyakit, rawatan dan ubat-ubatan yang diterima. Hal ini selaras dengan kempen “Kenali Ubat Anda” yang dilancarkan oleh Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia bagi memberi kesedaran kepada masyarakat agar mengambil tahu tentang ubat masing-masing untuk mengelakkan kesilapan-kesilapan yang boleh membahayakan nyawa pesakit. Walau bagaimanapun, adalah dinasihatkan kepada semua pihak agar menapis info yang diterima dan tidak hanya percaya kepada info-info yang diviralkan tanpa merujuk kepada pihak yang lebih berautoriti.
Ku Hasna Zayani Bt. Ku Zainol Abidin
Ketua Penolong Pengarah,
Amalan & Perkembangan Farmasi,
Jabatan Kesihatan Negeri Kedah.
Jawatankuasa I-Medik Kedah.