#KitaJagaKita

Hijrah: Azam Kesihatan

Hijrah

Tidak terlambat untuk mengucapkan Salam Maal Hijrah kepada sekalian umat Islam. Pada kebiasaannya, Awal Muharam akan dijadikan sebagai titik mula bagi menetapkan azam tahunan bagi sesetengah umat Islam untuk berhijrah kepada keadaan yang lebih baik.

Oleh sebab itu, boleh juga kita cuba menambah di dalam azam hijrah tahun ini kandungan azam yang berbentuk kesihatan. Hal demikian kerana penjagaan kesihatan juga merupakan sebahagian daripada tanggungjawab agama yang dituntut.

Sabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya kamu mempunyai tanggungjawab untuk menunaikan hak terhadap tubuh badan kamu.” (Hadis Riwayat Bukhari)

Di dalam hadis lain: “Orang mukmin yang kuat lebih baik dan disukai oleh Allah daripada orang mukmin yang lemah.” (Hadis Riwayat Muslim)

Nabi SAW juga pernah bersabda: “Ada dua jenis nikmat yang banyak melekakan ramai manusia iaitu nikmat sihat dan nikmat masa lapang.” (Hadis riwayat Bukhari)

Doa Rasulullah SAW yang sering dibaca di dalam Al-Ma’thurat: “Ya Allah, sihatkanlah badanku, Ya Allah sihatkanlah pendengaranku, Ya Allah sihatkanlah penglihatanku.”

Tokoh dakwah terkenal, Imam Hassan Al-Banna yang mengasaskan pertubuhan dakwah Ikhwan Muslimin di Mesir pernah menasihati ahlinya agar melengkapkan diri dengan ciri-ciri peribadi muslim yang salah satunya ialah “tubuh badan yang kuat”. Beliau menasihati ahlinya (umat Islam umumnya) supaya melakukan pemeriksaan kesihatan secara menyeluruh, menjauhkan pengambilan teh dan kopi, serta tidak makan secara berlebihan.

Hanya dengan tubuh badan yang sihat dan kuat, kita akan mampu menunaikan tanggungjawab agama. Di dalam kaedah feqah ada menyebut: “Apa-apa yang tidak sempurna sesuatu perkara wajib kecuali dengannya, maka hal itu menjadi wajib”. Penunaian tanggungjawab agama hanya dapat disempurnakan dengan tubuh badan yang sihat.

CADANGAN PERTAMA bagi azam kesihatan untuk tahun hijrah kali ini ialah mengamalkan gaya hidup yang sihat. Perkara ini meliputi:

i. Mengamalkan pemakanan sihat

  • Seperti rendah kalori dan lemak tepu, kurang garam, tinggi kandungan serat, rendah glycaemic index (GI), mengurangkan pengambilan minuman bergula tinggi.

ii. Kerap bersenam

  • Individu yang beriadah secara sederhana sebanyak 150 minit seminggu dilaporkan kurang berisiko mendapat penyakit jantung sebanyak 14% berbanding mereka yang tidak beriadah.
  • Bagi mereka yang sihat, kerap melakukan aktiviti fizikal dapat mengurangkan risiko daripada menghidap penyakit-penyakit yang menyebabkan masalah kardiovaskular sebanyak 20%-30%.
  • Aktiviti seperti berjalan, berjoging, dapat menurunkan tekanan darah sebanyak 13/18mmHg (SBP/DBP)

iii. Berhenti merokok

  • Amalan merokok berisiko meningkatkan kebarangkalian sebanyak 2-4 kali menyebabkan penyakit kardiovaskular berbanding dengan mereka yang tidak merokok.
  • Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang kali ke-37 di Dewan Syura, Tingkat 11 Pusat Islam Kuala Lumpur pada 23 Mac 1995 telah membincangkan isu Merokok Dari Pandangan Islam dan telah bersetuju memutuskan seperti berikut:

“Merokok adalah haram dari pandangan Islam kerana padanya terdapat kemudaratan”.

  • Bagaimana pula dengan rokok elektronik atau vape? Laporan terbaru US Surgeon General melaporkan remaja yang terdedah kepada nikotin akan menyebabkan ketagihan dan membahayakan perkembangan otak mereka.

iv. Mengekalkan berat badan pada tahap ideal

  • Berat badan ideal (BMI 18.5-22.9), ukur lilit pinggang (lelaki <90cm, wanita <80cm). Obesiti (BMI >27.4)
  • Obesiti meningkatkan risiko kematian disebabkan oleh penyakit jantung sebanyak 50% bagi wanita dan 60% bagi lelaki.
  • Pengurangan berat badan sebanyak 5-10% dapat menurunkan tekanan darah, mengawal paras gula dan lemak dalam darah dan kehidupan akan lebih berkualiti.

v. Faktor diet dan gaya hidup seperti merokok, kurang melakukan aktiviti fizikal dan pengambilan alkohol, akan menyumbang kepada faktor kardiovaskular seperti obesiti, darah tinggi, kencing manis dan tinggi paras kolesterol dalam darah sebanyak 70%. Juga kesemuanya menyumbang kepada lebih 95% serangan jantung.

CADANGAN KEDUA ialah menjalankan pemeriksaan kesihatan berkala.

  • Pemeriksaan kesihatan bertujuan untuk mengesan penyakit lebih awal supaya boleh diberi rawatan awal bagi mengelakkan komplikasi.
  • Bagi mereka yang sihat dan tidak mempunyai risiko, ujian saringan untuk penyakit kencing manis harus dilakukan semenjak umur 30 tahun. Jika keputusan normal, ujian boleh dilakukan sekali pada setiap tahun.
Pemeriksaan kesihatan tidak mengira usia

CADANGAN KETIGA ialah bagi mereka yang telah menghidap sebarang penyakit, berazam untuk mematuhi temujanji kesihatan, berdisiplin memakan ubat-ubatan dan mematuhi nasihat doktor.

  • Mematuhi sepenuhnya pengambilan ubat pencegah penyakit kardiovaskular (aspirin, ubat darah tinggi dan ubat penurun kolesterol) dapat menurunkan kebarangkalian serangan penyakit kardiovaskular kali pertama atau kali kedua sebanyak 80%.
  • Lebih lama tempoh interaksi antara pembimbing dan pesakit, penurunan A1C (kandungan gula dalam darah selama 3 bulan) akan lebih baik. Pembimbing di sini boleh jadi merupakan seorang doktor, ahli farmasi, jururawat diabetes, dan pakar pemakanan.

Bagi mereka yang mengimani kesempurnaan Islam, mereka pasti tidak akan mengasingkan kepentingan penjagaan kesihatan daripada kesempurnaan agama ini. Tubuh badan merupakan amanah daripada Allah yang harus dijaga seperti amanah-amanah lain. Muslim yang mempunyai tubuh badan yang sihat akan melahirkan umat yang kuat. Semoga tahun 1439 Hijrah merupakan tahun yang lebih baik untuk kita semua. Insya-Allah.

Dr Mohamad Azrul Azly Bin Zarul Fu’ad
Pegawai Perubatan Hospital Selama, Perak
Ahli I-Medik Perak

 

Rujukan:

  1. Risalah Taalim Imam Hassan Al-Banna
  2. Clinical Practice Guidelines On Primary And Secondary Prevention Of Cardiovascular Disease 2017, KKM.
  3. Clinical Practice Guidelines On Management Of Hypertension 4th Edition, KKM.
  4. Clinical Practice Guidelines On Management OF Type 2 Diabetes Mellitus 5th Edition, KKM
  5. Kenyataan Media JAKIM Mengenai Hukum Merokok Dari Pandangan Islam Pada 25 Julai 2011.