#KitaJagaKita

Banteras Gejala Zina

Memandangkan gejala sosial seperti zina dan buang bayi amat berleluasa sekarang ini, I-Medik Pahang telah mengadakan kempen ‘Say No To Zina’ pada 22 Julai, Selasa, di Kolej Vokasional Kuantan.

Ini adalah antara usaha I-Medik untuk sama-sama memberi penyelesaian kepada gejala yang nyata haram hukumnya di sisi Allah.

Statistik daripada Jabatan Pendaftaran Negara pada 2009 menunjukkan terdapat 17, 303 anak luar nikah Melayu Islam didaftarkan sepanjang tahun, bermakna 47 anak luar nikah dilahirkan setiap hari. Ini bersamaan dengan 2 kes zina setiap jam berlaku di kalangan pasangan Melayu Islam.

Statistik juga menunjukkan ramai para pelajar yang menonton video lucah disebakan mudahnya melayari internet melalui telefon bimbit. Di samping itu, lebih kurang separuh daripada pelajar tidak menunaikan solat wajib.

Atas kesedaran ini, maka I-Medik Pahang mengambil inisiatif ini untuk memberi pendedahan tentang sistem reproduksi dan kesan zina ke atas kesihatan di samping memberi kefahaman agama tentang hukum haramnya serta kesan-kesannya ke atas diri, masyarakat dan yang penting pada institusi kekeluargaan itu sendiri.

Dihadiri oleh 200 orang pelajar lelaki dan perempuan dan beberapa orang guru, sambutan agak menggalakkan.

Borang soal selidik tentang kesedaran zina telah diedarkan. Di samping itu, kuiz tentang ceramah diberikan bersama hadiah.

Penceramah-penceramah yang terlibat adalah Dr Muhammad Syamil bin Mohamad Salmi, Pegawai Perubatan Hospital Daerah Kuala Lipis yang juga AJK Pusat I-Medik dan Ustaz Ahmad Zaharuddin bin Mohd Alias, Penolong Pengarah Bahagian Undang-undang Keluarga Islam JAIP.

Adalah diharapkan agar program- program seperti ini dapat diadakan berterusan demi kebaikan pelajar dan kemaslahatan ummah. Banyak lagi usaha-usaha yang perlu dilakukan dan pelbagai pihak perlu memainkan peranan masing-masing terutama ibubapa, pihak sekolah dan media massa.

Moga kita sama-sama prihatin dengan keadaan anak-anak jiran sepertimana kita kasih sayang dan ambil peduli akan anak-anak kita.


Dr Norzila Baharin

JKP I-Medik