Jan 9, 2011

Posted | 3 Comments

Sepuluh Minggu di Wad Sakit Jiwa

 

Dr Rozanizam Zakaria,

Pegawai Perubatan, Lyell McEwin Hospital, Adelaide, South Australia

Ketua Biro Pembangunan Insan, ISMA Australia

 

 

Diam tak diam dah hampir 10 minggu saya bertugas di wad sakit jiwa untuk orang-orang tua di hospital ni (terjemah langsung dari istilah psychogeriatrics). Kata orang perkara yang kita suka selalunya terasa cepat berlalu. Mungkin benar, sebab rotation lain selalunya rasa terlalu lambat masa berlalu. Tapi rotation yang satu ni lain pula. Mungkin ada sesuatu yang istimewa.

Lain. Itulah satu perkataan yang saya boleh gunakan untuk mengungkap pengalaman bekerja dalam rotation ini. Hari-hari yang berlalu tidak disibukkan dengan darah, ubat, xray, scan, luka dan sebagainya. Yang ada di hadapan saya hari-hari bukan pesakit yang punya barah, minta disembuhkan. Bukan juga pesakit yang patah minta disambungkan. Apatah lagi pesakit yang punya jangkitan minta dibersihkan. Yang ada di hadapan saya saban hari ialah pesakit yang nampak sihat pada zahirnya. Sekali imbas, tiada beza dengan orang-orang tua lain di luar sana. Cuma bezanya, ada sesuatu yang kurang pada diri mereka, kekurangan yang besar yang bukan sedikit. Kekurangan yang tidak terkesan dari darah, tidak terimbas oleh mana-mana scan dan tidak boleh dibuang oleh mana-mana alat bedah.

“I wish I’m dead”, “I felt edgy”, “I feel hopeless”, “nothing you can do to help me, doctor”, “I don’t remember”, “I’m not crazy, they say I’m crazy!”, “doctor, they put something in my brain”

Itulah ungkapan-ungkapan yang mengalunkan hari-hari saya di sini. Kalimah-kalimah itu adalah ungkapan jujur dari jiwa mereka yang sakit tenat. Tiada siapa yang mengerti, walaupun saya, walaupun siapa. Kerana saya atau sesiapa pun tidak memiliki jiwa yang tenat ini. Tapi itulah tugas saya sehari-hari, “merawat” jiwa manusia.

Kadang-kadang kita terasa perkara itu terlalu remeh. Perkara yang membuat mereka anxious, depressed, manic, psychotic. Kadang-kadang tidak masuk akal. Lazimnya kita akan ketawa dalam hati. Tapi itulah kenyataan bagi mereka. Itulah kehidupan bagi mereka.

Sepuluh minggu disini, bukan sekadar mengajar saya menjadi seorang doktor yang lebih baik dan menambah pengalaman dan kemahiran saya dalam bidang psychiatry. Tapi ada sesuatu yang lebih besar saya belajar dari sini.

Sebagai manusia, pengalaman ini mengajar saya mengenal jiwa manusia. Ruh yang mungkin tiada dalam mana-mana kamus perubatan. Sebagai hamba pencipta, saya tersentak dengan kelemahan diri sendiri. Kekurangan kita dalam mensyukuri nikmat pencipta. Nikmat akal dan jiwa yang sempurna. Hari ini anda membaca artikel ini, berfikir, mampu memahami maksud dan kemudian meneruskan kehidupan. Tapi berapa ramai dari kita berhenti seketika dan bersyukur pada Al Khaliq, yang mengurniakan kita akal, kepandaian, ingatan, ketenangan jiwa dan paling penting kewarasan. Benarlah kata-kata Dia, “amatlah sedikit kamu bersyukur”. Kerana kita terlupa bahawa kewarasan ini ada pemiliknya, dan ada ketikanya, pemiliknya mengkehendakinya semula, walaupun pada ketika yang kita tidak bersedia.

“katakanlah (wahai Muhammad) “Allah menciptakan kamu (daripada tiada kepada ada) dan mengadakan kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (untuk kamu bersyukur, tetapi) amatlah sedikit kamu bersyukur” (Al-Mulk:23 )

Untuk bakal-bakal doktor, ataupun yang sudah bergelar doktor, bersyukurlah kerana tugas ini hari demi hari akan membawa kita dekat pada Dia, sekiranya kita mengerti apa sebenarnya yang diajar oleh kehidupan ini kepada kita.

Menjadi doktor, bukan sekadar bangun pagi, datang kerja, mulakan ward round, admit patient, ambil darah, order investigation, interpret results, start treatment, review dan discharge patient. Tapi ia lebih dari itu, kerana kita bukan mesin pengubat manusia, tetapi kita seorang hambaNya yang dipilih Allah untuk mengubati manusia. Tubuh dan jiwanya.

468 ad
  1. Abu Wafa' says:

    Perkongsian yang sangat bernilai..boleh saya dapatkan emel penulis?

  2. sarasareera says:

    this is why Islam requires Muslims to believe that humans are created by Allah with a dual nature; body and spirit (ruh). the spiritual dimension here is the very essence of human nature. therefore,  an understanding of the nature and role of spiritual factors in influencing human behavior and mental processes are crucial.

Leave a Reply